Adakah Tan Sri Muhyiddin akan mencontohi tauladan Tun Hussein Onn dan mengadakan satu sidang khas Parlimen dalam bulan ini untuk memastikan beliau mempunyai kepercayaan majoriti ahli Parlimen sebagai seorang Perdana Menteri yang mempunyai legitimasi?

Sidang Parlimen yang telah dijadualkan untuk berlangsung pada hari Isnin 9 Mac depan telah ditangguhkan kepada 18 Mei 2020.

Perkara ini telah ditafsirkan sebagai satu “tanda kelemahan” di mana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai tidak mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk menjadi seorang Perdana Menteri yang sah.

Persidangan Parlimen dalam bulan puasa ini menimbulkan pelbagai tanda tanya memandangkan ini adalah kali pertama dalam sejarah negara Parlimen bersidang dalam bulan puasa.

Mengapakah tidak dijadualkan persidangan Parlimen ini untuk ditangguhkan sebelum bermulanya bulan puasa, yang dijangkakan bermula pada 25 April 2020?

Jika minggu pertama persidangan Parlimen di bawah Muhyiddin ini perlu juga diadakan dalam bulan puasa sekalipun, adakah beliau bersedia untuk mencontohi tauladan Perdana Menteri ketiga kita, Tun Hussein Onn, yang telah memanggil satu mesyuarat khas Parlimen pada 26 Januari 1976 -- hanya 11 hari selepas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri selepas pemergian Tun Razak -- untuk memastikan yang beliau mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk memimpin negara?

Urusan Parlimen berlangsung seperti biasa dengan upacara pembukaan Parlimen pada 30 Mac 1976 selepas undi kepercayaan kepada beliau ini diluluskan oleh Dewan Rakyat. Pada hari ini jugalah Dato’ Sri Najib Tun Razak telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pekan yang baharu.

Empat puluh empat tahun yang lalu, tidak timbul sebarang ragu-ragu mahupun persoalan mengenai sokongan terhadap kepimpinan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri oleh majoriti ahli-ahli Parlimen.

Tetapi hari ini, situasinya kelihatan sangat berbeza, di mana rakyat Malaysia, termasuklah mantan Perdana Menteri keempat dan ketujuh tidak yakin Tan Sri Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Adakah beliau bersedia untuk memanggil satu sidang khas Parlimen dalam bulan Mac, seperti yang telah dilakukan oleh Tun Hussein Onn dalam keadaan sebegini, untuk memastikan beliau mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri