Seratus hari pertama Muhyiddin -- daripada gelombang kedua penularan Covid-19 kepada pengembalian kleptokrasi dan kakistokrasi

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja menyambut 100 hari pertama pemerintahan beliau yang telah menyaksikan gelombang kedua penularan wabak Covid-19 dalam negara dan pengembalian kleptokrasi dan kakistokrasi (sistem kepimpinan daripada kalangan individu yang tidak berkelayakan).

Jika tidak kerana Langkah Sheraton, kita tidak akan berhadapan dengan gelombang kedua penularan wabak ini yang telah menyebabkan perlunya dilaksanakan kawalan pergerakan.

Kita bernasib baik kerana kita berjaya mengekang penularan gelombang kedua wabak ini, walaupun pada masa yang sama, seperti di seluruh dunia, kita perlu berhati-hati dan bersedia untuk sebarang penularan semula wabak ini -- yang akan dikira sebagai gelombang kedua untuk kebanyakkan negara lain, dan gelombang ketiga untuk negara kita.

Namun, apa yang tragis adalah apabila bukan sahaja negara kita dikenakan kawalan pergerakan akibat daripada penularan wabak ini, tetapi Parlimen juga dikunci daripada menjalankan tugas-tugasnya, bersama dengan kleptokrasi dan kakistokrasi yang kini telahpun kembali dengan kawalan terhadap kebebasan dan pencabulan hak asasi manusia yang berleluasa.

Pada 9 Mei 2018, Malaysia menunjukkan kepada seluruh dunia, masih terdapat sinar harapan dalam demokrasi, ketika dalam tempoh satu dekad yang lepas, sistem demokrasi berparlimen di seluruh dunia sedang terancam.

Kini, sinar harapan ini semakin suram.

Laporan terbaik negara kita di dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) kini tinggal sebagai sejarah dan harapan untuk Malaysia menjadi salah sebuah daripada 30 negara teratas dari segi integriti awam menjelang 2030 tinggal menjadi angan-angan.

Satu lagi perkara yang tinggal menjadi kenangan sejarah adalah lompatan 21 dan 22 kedudukan negara kita dalam Indeks Kebebasan Akhbar RSF pada tahun 2019 dan 2020 kepada kedudukan ke-101.

Laporan Indeks Persepsi Rasuah TI dan Indeks Kebebasan Akhbar RSF tahun depan pastinya akan menjadi satu perkara yang tidak menyenangkan.

Tetapi, rakyat Malaysia tidak boleh berputus asa dengan harapan untuk sebuah negara yang lebih baik.

Kita tidak mahu negara kita untuk mendapat malu dan nama buruk semula sebagai sebuah demokrasi di mana mandat rakyat boleh dikhianati begitu sahaja oleh sebuah kerajaan pintu belakang yang membenarkan pengembalian negara kita ke arah sebuah negara yang gagal dan kleptokratik, yang dipimpin oleh mereka yang tidak berkelayakan di mana mereka yang bersifat buruk menduduki jawatan-jawatan tinggi negara.

Tidak kira betapa susah sekalipun perjalanan ini, kita harus menuntut semula maruah negara, dan membina semula negara kita untuk memenuhi potensinya sebagai sebuah Malaysia yang lebih baik.

Semasa Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman mengumumkan “Merdeka” pada 31 Ogos 1957, beliau juga berkata “negara kita sangat bertuah kerana mempunyai penduduk daripada kalangan pelbagai kaum dan agama yang hidup bersama dengan aman dan makmur”.

Kita mesti memenuhi cita-cita Malaysia Tunku, di mana Malaysia menjadi satu “obor yang menyinari dunia yang penuh dugaan dan rintangan” dan memperbaharui harapan, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia, tetapi juga untuk seluruh dunia, di mana kita dapat lihat keruntuhan sistem demokrasi dan kenaikan rejim autoritarian yang korup dan tidak demokratik.

Tugas kita untuk membina satu Malaysia Baharu baru sahaja memasuki satu fasa baharu -- cabaran yang menanti adalah untuk menunjukkan kepada seluruh dunia yang kita boleh menuntut semula negara kita daripada sebarang cabaran yang mendatang dan mengubahnya daripada sebuah kleptokrasi global kepada sebuah negara terulung yang berasaskan kebebasan, keadilan, dan integriti di mata dunia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri