Perkara pertama yang perlu dilakukan Muhyiddin apabila kembali bertugas selepas menjalani kuarantin selama dua minggu adalah untuk memanggil satu persidangan khas Parlimen untuk membahaskan isu-isu berkaitan Covid-19

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau kembali bertugas selepas menjalani kuarantin selama dua minggu adalah untuk mengadakan satu persidangan khas Parlimen yang berfokuskan kepada isu-isu berkaitan penularan wabak Covid-19.

Malaysia tidak boleh dicatatkan dalam sejarah sebagai satu-satunya negara yang gagal menyatu-padukan tenaga dan suara rakyat dalam menghadapi wabak Covid-19 kerana kegagalan kerajaan pintu belakang untuk mencari legitimasi sehinggakan Parlimen terpaksa disekat dan Ahli Parlimen dihalang daripada menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyemak imbang dan meneliti tindakan kerajaan semasa negara dilanda Covid-19.

Sedangkan di negara yang teruk terjejas dengan Covid-19 seperti Sepanyol, United Kingdom, Itali, Jerman, dan Perancis (yang masing-masing berada di kedudukan ke 4, 5, 8 dan 12 dari jumlah terkumpul kes positif tertinggi) sekalipun, Parlimen mereka masih berfungsi dan menjalankan tugas mereka, begitu juga dengan Parlimen di Thailand, Singapura, Indonesia, dan Filipina.

Begitu juga dengan parlimen di Jepun dan Korea Selatan. Malah, Korea Selatan juga telah mengadakan pilihan raya parlimen semasa wabak Covid-19 pada bulan April 2020 untuk memilih 300 Ahli Parlimen baharu.

Mengapakah Malaysia perlu dicatatkan dalam sejarah sebagai negara yang menyekat fungsi Parlimen di bawah pentadbiran Muhyiddin?

Hakikat bahawa terdapat sifar kematian dalam 13 hari yang lepas dalam negara kita adalah satu perkara yang harus dipuji dan menjadi bukti professionalisme dan dedikasi perjuangan para petugas barisan hadapan dalam negara kita serta kerjasama yang ditunjukkan oleh rakyat dalam melawan wabak ini.

Jumlah peningkatan kes baharu harian dalam negara kelihatan terkawal dan selain daripada dalam kalangan buruh asing, peningkatan ini secara kasarnya telah turun kepada peningkatan satu angka.

Kini negara kita berhadapan dengan satu cabaran baharu yang terbesar -- untuk belajar hidup bersama dengan virus ini sehinggalah satu vaksin atau penawar yang berkesan diciptakan dan tersedia dengan meluas, proses yang mungkin akan mengambil masa sehingga lima tahun. Kejayaan dalam menghadapi cabaran ini tidak boleh bergantung kepada kepercayaan kepada kerajaan semata-mata tetapi memerlukan perpaduan, sokongan, dan kerjasama semua rakyat Malaysia.

Apakah strategi untuk kita semua -- bukan sahaja untuk memenangi peperangan melawan wabak ini -- tetapi juga untuk menyekat sebarang kemungkinan berlakunya penularan semula, memastikan pelonjakan semula ekonomi negara, membuka semula institusi pendidikan, dan mengembalikan gaya hidup negara yang telah dilumpuhkan oleh wabak ini?

Kerana inilah penting untuk demokrasi berparlimen dikembalikan di dalam negara kita -- supaya strategi dan rancangan keluar oleh kerajaan yang dapat dipersetujui oleh segenap masyarakat majmuk Malaysia dapat dibentangkan, dibahaskan, dan diluluskan di Parlimen sebagai sebuah Rancangan Pemulihan Wabak Covid-19 Kebangsaan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri