Malaysia harus mempelajari amalan terbaik daripada seluruh dunia dalam melawan wabak Covid-19 dan kita tidak boleh menjadi satu-satunya negara yang gagal bersatu-padu dalam melawan wabak ini akibat kegagalan kerajaan pintu belakang mencari legitimasi

Selepas lebih daripada lima minggu, wabak koronavirus ini tidak menunjukkan sebarang petanda untuk surut.

Dalam minggu yang lepas, satu rekod dunia baharu telah dicatatkan, di mana wabak Covid-19 ini merekodkan peningkatan harian yang melebihi 100,000 kes sehari, seperti berikut:

27 Mei - 106,475 kes
28 Mei - 116,304 kes
29 Mei - 125,473 kes
30 Mei - 124,102 kes
31 Mei - 108,767 kes
1 Jun - 103,946 kes
2 Jun - 109,901 kes
Jumlah - 794,968 kes

Dengan kadar peningkatan sebegini, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di seluruh dunia bakal meningkat sebanyak sejuta kes dalam tempoh sembilan hari, sedangkan wabak ini pada mulanya mengambil masa 13 minggu untuk mencapai angka sejuta pertamanya.

Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dijangkakan untuk melepasi paras 6.5 juta kes hari ini.

Adakah kita bakal melihat wabak ini melepasi paras 10 juta kes dalam bulan hadapan?

Selain daripada Amerika Syarikat yang masih mencatatkan peningkatan harian yang tinggi sekitar 20,000 kes baharu sehari -- pada paras tertinggi, negara tersebut mencatatkan peningkatan 38,958 kes dalam masa sehari pada 24 April -- peningkatan di negara-negara Eropah yang dulunya merupakan pusat penularan utama wabak ini, dengan peningkatan harian sekitar tujuh ke lapan ribu kes sehari, kini telah turun kepada julat tiga angka sehari, kecuali di United Kingdom yang masih berhadapan dengan peningkatan di dalam julat rendah empat angka.

Peningkatan mendadak kes Covid-19 semasa kebanyakkannya datang daripada negara-negara yang baru dilanda wabak ini seperti Brazil yang kini berada di kedudukan kedua dunia dengan 556,668 kes; Rusia di tempat ketiga dengan 423,741 kes; India di tempat ketujuh dengan 207,183 kes; Peru di tempat ke sepuluh dengan 108,686 kes, Mexico di tempat ke-14 dengan 93,435 kes; dan Kanada yang berada di tempat ke-15 dengan 92,410 kes.

Kesemua lapan negara ini tidak termasuk di dalam kedudukan kelima belas teratas semasa negara kita mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP pada 18 Mac.

Kini, terdapat kerisauan di seluruh dunia mengenai gelombang kedua penularan wabak ini, ataupun jika dalam negara kita, gelombang ketiga penularan.

Malaysia harus mempelajari amalan terbaik daripada seluruh dunia dalam melawan wabak Covid-19 dan kita tidak boleh menjadi satu-satunya negara yang gagal bersatu-padu dalam melawan wabak ini akibat kegagalan kerajaan pintu belakang mencari legitimasi.

Kejayaan negara kita memastikan tiada sebarang kematian dalam tempoh 12 hari yang lepas patut dipuji dan perkara ini dijayakan dengan profesionalisme para petugas barisan hadapan kerjasama semua rakyat Malaysia dalam mengekang wabak ini.

Kini, kita berhadapan dengan satu cabaran yang sama besar -- bukan sahaja untuk memenangi perjuangan kesihatan awam melawan wabak ini, tetapi juga untuk menjayakan usaha pemulihan ekonomi, pembukaan semula institusi pendidikan, dan pengembalian gaya hidup negara yang telah dilumpuhkan.

Kerana inilah seluruh negara masih menantikan pengumuman rancangan keluar kerajaan, yang sepatutnya dibentangkan dengan yakin oleh kerajaan di Parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri