Keyakinan dan kepercayaan awam tercalar oleh kerajaan yang kuat “berpolitik” sambil menyembunyikan perbuatan tersebut konon-kononnya demi “kepentingan negara”
Semalam, Parlimen Thailand telah meluluskan pakej sokongan ekonomi bernilai RM252 bilion untuk mengurangkan impak wabak Covid-19 kepada negara tersebut, termasuklah bantuan untuk para petani dan pekerja sektor tidak formal seperti penjaja jalanan dan mereka yang bekerja di rumah urut dan bar yang kini tidak dapat menjalankan perniagaan.
Seminggu lepas pula, Parlimen Singapura telah meluluskan belanjawan tambahan yang bernilai SGD33 bilion. Ini merupakan inisiatif khas untuk membantu para pekerja dan perniagaan yang berhadapan dengan kesan wabak Covid-19.
Belanjawan yang diperkenalkan sebagai Belanjawan Ketabahan (Fortitude Budget) ini adalah belanjawan keempat negara tersebut dalam tempoh empat bulan sejak pengumuman Belanjawan Perpaduan, Ketahanan, dan Solidariti sebelum ini, yang secara keseluruhannya berjumlah lebih daripada SGD100 bilion ataupun hampir 20 peratus KDNK Singapura -- sebagai usaha membantu rakyat negara pulau tersebut dalam menghadapi wabak Covid-19.
Di Filipina, Dewan Rakyatnya masih bersidang, melalui kombinasi persidangan melalui video dan secara bersemuka sejak 23 Mac untuk meluluskan rang undang-undang yang yang diperlukan oleh kerajaan Filipina dalam melawan wabak ini. Satu Jawatankuasa Mengalahkan Covid-19 telah ditubuhkan dan jawatankuasa ini bermesyuarat melalui persidangan video sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Di Indonesia juga, Dewan Rakyat mereka terus bersidang seperti biasa dengan memberikan keutamaan kepada peraturan-peraturan yang berkaitan dengan penularan wabak Covid-19. Rang undang-undang menyemak semula undang-undang pengurusan bencana di negara tersebut telah diluluskan, yang memberikan kuasa lebih meluas kepada Badan Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNPB) dan juga peningkatan kepada peruntukan pengurusan bencana kepada belanjawan negeri.
Hanya di Malaysia sahaja Parlimen dikunci, dengan Ahli Parlimen dihalang daripada menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyemak imbang dan meneliti tindakan kerajaan sepanjang wabak Covid-19.
Walaupun negara kita berada di tempat pertama dari jumlah kes Covid-19 semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac (di mana Malaysia mencatatkan 790 kes, Indonesia 227 kes, dan Filipina 202 kes), kita akhirnya dipintas oleh Filipina pada 13 April apabila negara tersebut mencatatkan 4,932 kes berbanding dengan 4,817 kes di Malaysia. Indonesia memintas negara kedudukan Malaysia pada 15 April apabila negara tersebut mencatatkan 5,136 kes positif berbanding dengan 5,072 kes di Malaysia.
Hari ini, dengan hanya 7,819 kes, kita berada jauh di belakang Indonesia (26,472 kes) dan Filipina (18,086). Kita juga berada dalam kedudukan yang lebih baik dari segi kematian akibat Covid-19 dengan hanya 115 kematian, berbanding dengan 1,613 kematian di Indonesia dan 957 kematian di Filipina.
Bolehkah Perdana Menteri memberikan penjelasan mengapa Parlimen kita dikunci dan Ahli Parlimen dihalang daripada menjalankan tugas mereka dalam menyemak imbang dan meneliti tindakan kerajaan?
Di London, satu krisis politik sedang berlaku apabila tokoh kesihatan awam negara tersebut memberikan amaran kepada Perdana Menteri Boris Johnson yang menyatakan bahawa kepercayaan dan keyakinan terhadap kerajaan telah tercalar berikutan skandal yang disebabkan oleh Dominic Cummings dan perkara ini berpotensi untuk mendatangkan bahaya apabila kawalan pergerakan mula dilonggarkan minggu ini.
Cummings yang merupakan orang kanan Johnson telah mencetuskan skandal kebangsaan apabila beliau dilihat berada di Durham, 264 batu daripada rumah beliau di London sewaktu keseluruhan negara berada di bawah kawalan pergerakan dan beliau sedang mempunyai simptom jangkitan koronavirus.
Bagaimana pula dengan kepercayaan dan keyakinan terhadap kerajaan di Malaysia?
Tanpa menyentuh isu Langkah Sheraton, jelas dapat dilihat sekarang yang Perdana Menteri dan Kabinet pintu belakang ini adalah mereka yang paling kuat “berpolitik” disebalik cubaan mereka untuk menyorokkannya -- dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kononnya sejak beliau menjadi Perdana Menteri, tidak sekali pun beliau terfikir mengenai berpolitik kerana rakyat sudah “muak” dengan perkara tersebut.
Kini jelas, sejak menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac, Muhyiddin tidak pernah berhenti daripada merancang dan berpolitik walaupun beliau sedar yang rakyat sudah “muak”.
Maka terjadilah hal “berpolitik” seperti berikut:
- Penguncian Parlimen dan pelumpuhan tugas serta tanggungjawab Ahli Parlimen daripada menyemak imbang dan meneliti tindakan kerajaan, terutamanya semasa wabak Covid-19;
- Perbuatan jenayah dalam menyogok Ahli Parlimen untuk memberikan sokongan melalui pemberian jawatan Menteri dan kedudukan di dalam GLC;
- Penyalahgunaan kuasa, rasuah berleluasa, pengembalian kleptokrasi, dan pencabulan hak asasi manusia secara meluas; dan
- Pembatalan keahlian Bersatu Tun Dr Mahathir, Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan Amiruddin Hamzah yang bertentangan dengan Perlembagaan parti.
Kesemua perbuatan ini hanya membuahkan satu hasil; memusnahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan, terutamanya ketulusan kerajaan dalam melawan wabak Covid-19 dalam negara kita.
Adakah kerajaan akan memberikan penjelasan sejujurnya mengenai pendedahan rakaman audio berkenaan sogokan jawatan Menteri dan GLC?
Keyakinan dan kepercayaan awam dicalarkan oleh sebuah kerajaan yang kuat “berpolitik”, yang menyembunyikan perbuatan tersebut konon-kononnya demi “kepentingan negara”.