Sesusah mana sekalipun cabarannya, agenda Malaysia Baharu Pakatan Harapan adalah satu-satunya cara untuk menebus maruah, membina dan membangunkan potensi Malaysia sepenuhnya
Persoalan utama yang berlegar-legar dalam fikiran rakyat Malaysia sepanjang tiga hari yang lepas sudah tentunya berkisar tentang soal sama ada negara ini akan kembali terjunam ke kancah kerosakan di mana mandat rakyat boleh dirampas begitu sahaja dan diseleweng untuk memberi ruang kepada penubuhan satu kerajaan pintu belakang yang akan mengembalikan negara kita ke arah sebuah negara kleptokratik yang gagal, malahan lebih teruk lagi, sebuah kakistokrasi di mana anasir-anasir yang paling teruk, paling tidak berkelayakan, dan paling tidak berprinsip memegang jawatan tertinggi negara.
Sesusah mana sekalipun cabarannya, agenda Malaysia Baharu Pakatan Harapan adalah satu-satunya cara untuk menebus maruah, membina dan membangunkan potensi Malaysia sepenuhnya.
Seperti yang telah dinyatakan di dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 Pakatan Harapan, sejak perisytiharan kemerdekaan oleh Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957, “negara kita telah terbina sebagai sebuah negara yang bertuah kerana memiliki rakyat yang majmuk iaitu pelbagai kaum dan pelbagai agama”.
Manifesto tersebut menyambung lagi:
“Atas kesedaran itulah, maka Almarhum Tunku mengisytiharkan dalam Pemasyhuran Kemerdekaan bahawa negara kita ini “akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”
“Dengan berteraskan semangat ingin menjamin kebebasan, keadilan, kesejahteraan, kesentosaan dan keamanan itulah, negara kita telah ditadbir oleh para pemimpin terdahulu yang sentiasa meletakkan kepentingan negara di hadapan.
“Sejak era perjuangan kemerdekaan oleh para ulama, golongan nasionalis dan seterusnya diteruskan oleh pentadbiran Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan sehinggalah era Tun Dr Mahathir Mohamad, wawasan negara ini adalah untuk menjadi sebuah negara maju, merdeka dan dihormati di persada dunia.
“Kini, tatkala negara sedang dilanda krisis rasuah dan kleptokrasi yang hebat, sehingga kita terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang penuh dengan skandal, Pakatan Harapan tampil menawarkan diri untuk menyelamatkan negara dan mengembalikan Malaysia ke landasan yang seharusnya.
“Pakatan Harapan bertekad untuk mengembalikan kegemilangan tanah air kita, iaitu seperti yang diimpikan oleh rakyat seluruhnya.
“Pakatan Harapan bertekad untuk menebus semula maruah rakyat Malaysia yang telah digadai oleh UMNO dan Barisan Nasional.”
Kita semua perlu kekal komited bersama dengan ikrar Pakatan Harapan untuk memenuhi agenda pembinaan semula negara ke arah sebuah Malaysia yang berlandaskan prinsip-prinsip penubuhan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti, di mana pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, integriti awam, dan hak asasi manusia dihormati, sebuah Malaysia yang inklusif, moderat, dan dihormati di persada dunia.