Mengapakah pemimpin PAS panik mengenai janji peralihan kuasa Pakatan Harapan?
Tiga hari yang lepas, saya telah menimbulkan satu persoalan: “Adakah pemimpin PAS dan oportunis pembangkang akan terus-menerus mengapi-apikan ura-ura yang kerajaan Pakatan Harapan kini berada dalam hari-hari terakhirnya?”
Saya telah mengatakan, “situasi politik semasa sepatutnya menjadi lebih stabil selepas pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir pada hari Khamis lepas, dimana Anwar telah menyatakan yang persetujuan Pakatan Harapan yang dicapai pada 7 Januari 2018 di mana Tun Dr Mahathir dipilih sebagai Perdana Menteri ketujuh dan peralihan kuasa daripada Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan berlangsung pada 21 Februari”, tetapi terdapat mereka yang telah mendakwa perkara sebaliknya, kononnya pelbagai perkara boleh berlaku sebelum Majlis Presiden PH bersidang pada 21 Februari.
Sekali lagi saya terbukti betul.
Mengapakah pemimpin PAS panik mengenai janji peralihan kuasa Pakatan Harapan?
Secara tiba-tiba, para pimpinan PAS kini kelihatan seakan-akan mereka adalah pakar dalam bidang perlembagaan yang layak untuk menjawat jawatan tinggi kehakiman, tanpa mengambil kira sama ada mereka mempunyai sebarang asas ataupun tidak dalam bidang tersebut.
Antara rahmat yang patut disyukuri oleh segenap rakyat di negara ini adalah hakikat yang sebenarnya para pemimpin PAS ini tidaklah menjawat sebarang jawatan tinggi kehakiman di dalam negara kita.
Seorang pemimpin PAS yang mempunyai latar belakang perundangan mendakwa bahawa perbincangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengenai isu peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim ini mencabuli kuasa Yang Di-Pertuan Agong.
Kenyataan ini membuatkan saya terfikir, daripada manakah beliau mendapat ilmu perundangan beliau.
Seorang lagi pula telah menyatakan yang Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak mempunyai locus standi untuk menentukan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri.
Mungkin, jika diperlukan satu bentuk ujian kecerdasan asas, kita akan dapat lihat pengurangan kenyataan tidak masuk akal daripada para ahli politik.
Kita dapat lihat dengan jelas sekali, semua kenyataan ini dikeluarkan oleh para pemimpin PAS kerana mereka tidak mahu Pakatan Harapan untuk menepati janji pilihan rayanya.
Namun begitu, pemimpin PAS juga amat rakus dalam menyerang Pakatan Harapan mengenai isu janji dan manifesto pilihan raya.
Adakah para pemimpin PAS mampu untuk menetapkan pendirian mereka mengenai isu ini, selepas mereka memilih untuk berkerjasama dengan para kleptokrat dan mengeluarkan pelbagai penipuan “mesra-syariah” selepas PRU 14?