Rakyat Malaysia memerlukan “vaksin” dalam tahun 2021 untuk membentuk sebuah konsensus nasional baharu untuk mengembalikan usaha menjadikan negara kita sebuah negara bertaraf dunia dan untuk menyelamatkan negara kita daripada terhumban ke dalam gaung kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal

Kebanyakkan rakyat Malaysia tidak pun menyedari yang hari ini adalah hari terakhir rancangan 30 tahun Wawasan 2020 -- untuk membentuk sebuah Malaysia yang membangun sepenuhnya -- sebagai sebuah negara yang bersatu padu, berkeyakinan, bermoral, beretika, demokratik, liberal dan bertoleransi, penyayang, adil dan saksama dari segi ekonomi, progresif, makmur, dan mempunyai ekonomi yang berdaya saing, dinamik, kuat, dan utuh.

Kegagalan untuk mencapai cita-cita Wawasan 2020 ini boleh diukur daripada kegagalan negara kita untuk menyempurnakan sembilan tonggak utama rancangan ini menjelang tahun 2020, iaitu:

  • Mewujudkan negara Malaysia yang terdiri daripada satu bangsa Malaysia.
  • Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju.
  • Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang.
  • Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika.
  • Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur.
  • Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif.
  • Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi.
  • Memastikan masyarakat yang adil ekonominya, di mana terdapat pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama.
  • Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Hari ini, perkataan “liberal” dianggap sebagai satu perkataan yang kotor, di mana Perdana Menteri sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan perang terhadap liberalisme dan sekularisme, perkara yang merupakan batu asas Perlembagaan Merdeka 1957, Perlembagaan Malaysia 1963, dan Rukun Negara 1970.

Rakyat Malaysia kelihatan seakan-akan telah lupa kepada kedua-dua prinsip pembinaan negara dan cita-cita yang termaktub dalam Rukun Negara (sehinggakan kita mempunyai menteri kabinet yang menolak Rukun Negara ini), yang menetapkan untuk negara kita “mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya” dan “menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak”.

Hasilnya, kita tidak pernah berjaya untuk menjadi “sinar cahaya harapan dalam dunia yang kelam dan terganggu” seperti yang diaspirasikan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman dalam zaman penubuhan negara ini.

Di penutup Wawasan 2020, kita sekali lagi dihantui dengan kontroversi, seperti sama ada golongan Muslim boleh mengucapkan “Selamat Hari Krismas” kepada rakan-rakan Kristian mereka, sedangkan Menteri Hal Ehwal Agama di Indonesia yang baru saja dilantik, Yaqut Cholil Quomas, tidak mempunyai sebarang masalah mengucapkan “Selamat Hari Krismas” kepada orang Kristian di Indonesia, malah melawat sebuah Gereja Kristian dan menghantar mesej kepada semua komuniti agama di Indonesia untuk menjadi agama “sumber inspirasi, sumber keamanan, dan untuk menyebarkan kasih sayang sesama insan”.

2020 adalah tahun yang suram untuk semua negara di seluruh dunia akibat penularan wabak Covid-19 yang telah mencatatkan lebih daripada 83 juta kes di seluruh dunia, dengan lebih daripada 1.8 juta korban nyawa, dan peningkatan harian kes baharu yang melebihi angka 720,000 kes sehari -- petanda yang menunjukkan bahawa keadaan ini mungkin akan bertambah teruk dalam pertengahan pertama tahun hadapan.

Amerika Syarikat telah dilumpuhkan menjadi sebuah negara ketiga dunia dengan wabak Covid-19 ini, mencatatkan lebih daripada 20 juta kes, lebih daripada 350,000 kematian, dan mencatatkan rekod baharu peningkatan harian dengan 234,550 kes baharu semalam.

Jika kita telah berjaya dengan rancangan wawasan kita, kita akan mendapat nasib yang lebih baik dalam memerangi wabak Covid-19 ini dan tidak tergolong di antara negara yang terjejas teruk di ASEAN dalam memerangi wabak ini.

Kita akan memulakan tahun baharu 2021 di tempat ke-73 dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di seluruh dunia (dengan 110,485 kes) dan dalam pada yang sama, memecut ke arah 30-40 negara teratas dengan jumlah kes terkumpul tertinggi.

Singapura telah mula melaksanakan program vaksinasi Covid-19 Pfizer kepada golongan petugas kesihatan semalam, menjadi negara Asia pertama yang memulakan kempen pelalian terhadap koronavirus ini. Bersama dengan vaksin daripada sumber-sumber lain, negara tersebut menjangkakan yang ia akan mempunyai cukup vaksin untuk kesemua 5.7 juta penduduknya menjelang suku ketiga tahun 2021.

Penghantaran pertama vaksin untuk Malaysia dijangkakan tiba pada bulan Februari ataupun Mac, dan tidak ada rancangan yang diketahui umum mengenai bilakah negara kita akan mempunyai stok vaksin yang mencukupi untuk semua penduduk dalam negara.

Namun begitu, negara kita memerlukan “vaksin” dalam tahun 2021 untuk membentuk sebuah konsensus nasional baharu untuk mengembalikan usaha menjadikan negara kita sebuah negara bertaraf dunia dan untuk menyelamatkan negara kita daripada terhumban ke dalam gaung kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal.

Sejak dariapda tahun 1970, KDNK Malaysia telah meningkat 90 kali ganda, tetapi KDNK Indonesia pula telah meningkat 117 kali ganda, KDNK Vietnam meningkat 122 kali ganda, KDNK China meningkat 163 kali ganda, KDNK Singapura meningkat 175 kali ganda, dan KDNK Korea Selatan meningkat 178 kali ganda. Dalam tempoh 50 tahun yang lepas, kedua-dua Singapura dan Vietnam telah mengatasi kedudukan Malaysia dengan mempunyai KDNK yang lebih besar.

Rakyat Malaysia perlu meneliti sebab mengapa kita mundur di belakang negara-negara lain. Kita perlu mara ke hadapan dengan sebuah konsensus nasional baharu, untuk mengembalikan usaha menjadikan negara kita sebuah negara bertaraf dunia dan untuk menyelamatkan negara kita daripada terhumban ke dalam gaung kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal.

Langkah pertama ke arah adalah dengan semua rakyat Malaysia bersetuju untuk melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada Bangsa Malaysia -- dan di mana slogan untuk semua rakyat adalah “Perpaduan Bangsa Malaysia” dan bukannya “perpaduan Melayu”, “perpaduan Cina”, “perpaduan India”, “perpaduan Iban”, atau “perpaduan Kadazan”.

Hanya dengan cara ini sahaja dapat kita realisasikan Bangsa Malaysia seperti yang diiltizamkan dalam Wawasan 2020 yang telah gagal.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri