Wabak Covid-19 dan rasuah adalah dua masalah terbesar yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam tahun baru yang mendatang

Dalam artikel beliau yang bertajuk “Pandemik vs Endemik”, Dr Mohamed Rafick Khan mengatakan yang beliau lebih bimbang mengenai rasuah dalam masyarakat berbanding dengan wabak Covid-19 memandangkan “masalah rasuah ini telah menjadi terlalu parah sehingga ia telah merebak ke segenap lapisan masyarakat”.

Beliau berkata: “Susah untuk untuk difahami tindakan orang yang memberikan salam, memuji Tuhan, bersembahyang lima kali sehari, yang tidak mempunyai sebarang isu dalam terlibat dengan perbuatan rasuah.

“Bagaimanakah boleh kita menjelaskan situasi di mana mereka dengan kedudukan tinggi, yang telah disabitkan dengan pertuduhan rasuah, tetapi masih disanjung oleh pengikutnya dan dilayan seperti selebriti yang boleh menyelamatkan negara kita?”

Saya tidak bersetuju dengan Dr Rafick.

Saya percaya wabak Covid-19 dan masalah rasuah ini adalah dua masalah terbesar yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia menjelang tahun baru yang akan datang dalam masa tiga hari lagi.

Kelihatan seakan-akan keadaan Covid-19 dalam negara kita telah berada di luar kawalan.

Walaupun dengan seruan saya enam bulan yang lalu supaya kerajaan mengunapakai pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dan supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 di Parlimen untuk melawan wabak Covid-19 ini, tidak ada satu pun daripada cadangan ini dilaksanakan oleh kerajaan.

Kita telah mengatasi kedudukan China dengan lebih banyak jumlah kes positif terkumpul pada 16 Disember, sebuah negara di mana wabak ini ditemui buat pertama kali dan mula menular dan negara yang mempunyai kira-kira 40 kali ganda jumlah penduduk berbanding dengan Malaysia. Nasib baik negara kita belum mencatatkan jumlah korban nyawa yang lebih tinggi berbanding dengan China.

Kini, Malaysia berada di tempat ke-74 di dunia dengan 106,690 kes manakala China berada di tempat ke-80 dengan 87,003 kes.

Dengan kadar peningkatan kes harian semasa kita, dengan Myanmar mencatatkan tiada perubahan kadar peningkatan kes mereka, Malaysia bakal menggantikan kedudukan Myanmar sebagai negara ke-69 dengan jumlah kes terkumpul dalam masa tiga minggu yang akan datang, sebelum terus memecut untuk berada dalam kalangan 30-40 negara dengan jumlah kes terkumpul tertinggi.

Menjelang waktu itu, yang berhampiran dengan Hari Angkat Sumpah Presiden ke-46 Amerika Syarikat pada 20 Januari 2021, Amerika Syarikat dijangkakan akan mencatatkan 25 juta kes Covid-19 dan dijangkakan kira-kira 100 juta kes dicatatkan di seluruh dunia.

Pakar kesihatan telah menyeru supaya strategi berbeza digunakan dalam usaha melawan Covid-19 di Malaysia untuk mengelakkan beban tambahan kepada sistem kesihatan dalam negara.

Perkara ini perlu menjadi perkara utama dalam agenda mesyuarat Kabinet esok, dan satu pengumuman strategi baharu untuk mengawal gelombang ketiga wabak Covid-19 ini perlu diumumkan esok selepas mesyuarat Kabinet.

Tetapi, rakyat Malaysia juga berhak untuk bertanya sama ada Malaysia bakal mengatasi kedudukan China dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang bakal diterbitkan oleh Transparency International (TI) seperti mana negara kita mengatasi kedudukan China dengan lebih banyak kes terkumpul Covid-19 pada 16 Disember, sedangkan China mempunyai 40 kali ganda jumlah penduduk berbanding dengan Malaysia!

Dalam enam daripada sembilan tahun pemerintahan Najib, markah CPI negara kita berada di bawah paras separa, dengan kedudukan kita dalam CPI jatuh ke tahap paling teruk pada kedudukan ke-62 daripada 180 buah negara di seluruh dunia.

Di bawah pemerintahan Najib, kita dijanjikan yang Malaysia akan berada dalam kalangan 30 negara teratas dalam CPI 2020.

Namun, saya tidak mempunyai harapan yang tinggi untuk membaca laporan TI CPI 2020 yang bakal diterbitkan pada bulan hadapan.

Melihat kedudukan dan markah TI-CPI negara kita untuk 24 tahun daripada tahun 1995-2018, tidak ada sebarang sebab untuk sesiapa pun percaya yang Malaysia akan mencapai kejayaan untuk berada dalam kalangan 30 negara teratas dalam CPI 2020 di bawah pemerintahan Najib.

Berdasarkan TI-CPI daripada tahun 2010 sehingga 2018, apa yang lebih berkemungkinan berlaku adalah untuk China mengatasi kedudukan Malaysia sebelum tahun 2030.

Negara yang berada di kedudukan bawah dalam senarai ini seperti China, Thailand, India, dan Indonesia, semua telah merapatkan jurangnya dengan Malaysia, sedangkan negara kita secara perlahan-lahan mundur ke belakang sejak daripada tahun 1995.

China berada di tempat ke-40 dengan markah CPI sebanyak 2.16 pada tahun 1995. Pada tahun 2018, negara tersebut berada di tempat ke-87 dengan markah sebanyak 39/100.

Pada kadar peningkatan tahunan China, dan kadar kemunduran ke belakang yang dicatatkan oleh Malaysia ini, China akan mengatasi kedudukan dan markah Malaysia sebelum tahun 2030.

Syukurlah, trajektori ke belakang ini telah dihentikan apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, di mana negara kita mencatatkan penambahbaikan dalam TI-CPI 2019 yang meletakkan Malaysia ke arah menjadi salah satu daripada 30 negara teratas dalam TI CPI menjelang 2030.

Namun begitu, Kerajaan Pakatan Harapan ini tidak panjang usianya, memandangkan ia telah ditumbangkan melalui konspirasi Langkah Sheraton yang membawa masuk kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional yang tidak mempunyai keabsahan.

Beranikah Kabinet Muhyiddin untuk membuat keputusan dasar dalam mesyuarat Kabinet esok untuk mengumumkan 2021 sebagai “Tahun Anti-Rasuah” untuk memastikan negara kita tidak dikalahkan oleh China dengan kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sama ada sebelum mahupun selepas 2030?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri