Masa untuk strategi dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” memandangkan rekod tertinggi 2,335 kes baharu Covid-19 telah dicatatkan semalam menjadi bukti kegagalan strategi semasa untuk mengawal lonjakan dalam gelombang ketiga wabak Covid-19

Sudah tiba masanya untuk strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” memandangkan rekod tertinggi 2,335 kes baharu Covid-19 telah dicatatkan semalam menjadi bukti kegagalan strategi semasa untuk mengawal lonjakan dalam gelombang ketiga wabak Covid-19.

Malah, perkara ini menunjukkan bahawa kita tidak jauh dari unjuran Institut Ukuran dan Penilaian Kesihatan (IHME) Amerika Syarikat yang menjangkakan 2,987 kes baharu setiap hari pada 1 Januari 2021 dan 5,379 jangkitan setiap hari menjelang 21 Mac 2021.

Tujuan model ini adalah untuk menjadi peringatan kes senario terburuk yang mungkin berlaku dan bahawa perlunya tindakan pemulihan segera diambil, supaya kita tidak terus mencatatkan lebih banyak kes.

Model IHME mengunjurkan peningkatan berterusan kes Covid-19 di Malaysia hingga pertengahan Mac 2021, mencatatkan lebih daripada 5,000 jangkitan setiap hari bermula 25 Februari 2021.

Ia meramalkan bahawa 2,987 kes Covid-19 baru setiap hari pada 1 Januari akan meningkat menjadi 4,176 kes Covid-19 pada 1 Februari, dan 5,130 kes pada 1 Mac. Trend ini dijangka meningkat hingga 21 Mac dengan 5,379 jangkitan pada hari itu, dan kemudian merosot kepada 5,301 kes pada 1 April.

Mengikut model IHME, jumlah keseluruhan kes Covid-19 terkumpul di Malaysia pada akhir bulan Mac adalah sekitar 400,000 kes, yang akan menempatkan Malaysia dalam kelompok 30-40 negara teratas di dunia dengan jumlah tertinggi kes Covid-19.

Dalam kedudukan dunia dengan jumlah kes terkumpul Covid-19tertinggi, Malaysia pada satu masa berada 50 kedudukan di belakang China semasa wabak ini mula menular. Tetapi sekarang kita telah mengatasi China apabila kita berada di tempat ke-75 dengan 103,900 kes sementara China berada di tempat ke-80 dengan 86,933 kes.

Hari ini, kita mungkin berada di kedudukan ke-74 apabila kita mengatasi Paraguay.

Pada 1 Jun tahun ini, indeks “Jumlah kes per sejuta penduduk” di Malaysia adalah sebanyak 243. Hari ini, ia meningkat 12 kali lebih tinggi, iaitu 3,032 berbanding China, yang mencatatkan indeks “Jumlah kes per sejuta penduduk” 58 pada 1 Jun dan kini meningkat sedikit kepada 60.

Sebenarnya, Malaysia mempunyai indeks “Jumlah kes per sejuta penduduk” yang lebih tinggi daripada kebanyakan negara di Asia dan ASEAN, selain Singapura (9,965) dan Filipina (4,253). Di Asia, kita mempunyai indeks yang lebih tinggi daripada Jepun (1,691), Korea Selatan (1,090) dan Taiwan (33). Di Asean, kita mencatatkan indeks yang lebih tinggi berbanding Indonesia (2,571). Indeks di negara-negara ASEAN lain adalah Thailand (86), Vietnam (15), Kemboja (22) dan Laos (6).

Di seluruh dunia, jumlah keseluruhan kes Covid-19 secara global telah melebihi 80 juta dengan lebih daripada 1.7 juta kematian Covid-19.

Jumlah terkumpul kes global semasa adalah lebih daripada 683 kali daripada 118,000 kes di seluruh dunia ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020 -- dan wabak ini terus melonjak mencatatkan rekod suram baharu, sama ada dengan jumlah kes terkumpul atau peningkatan harian jangkitan Covid-19.

Sebagai contoh, pada 11 Mac, peningkatan harian Covid-19 kes global adalah 11,384 kes. Ia terus meningkat kepada kenaikan harian sebanyak 736,079 kes pada 17 Disember, dan pada kadar kenaikan ini, ia akan mencapai kadar kenaikan satu juta kes Covid-19 setiap hari pada akhir suku pertama tahun depan.

Amerika Syarikat, yang merupakan negara yang paling terjejas teruk dengan jumlah kes terkumpul tertinggi, akan mencatatkan lebih daripada 20 juta kes Covid-19 menjelang akhir tahun, dan mungkin mencatatkan 25 juta kes menjelang hari Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-46 Amerika Syarikat.

Perayaan Krismas tahun ini disambut dengan suram di seluruh dunia -- dengan peningkatan kes Covid-19, penemuan jenis Covid baharu, dan sekatan perjalanan di seluruh dunia.

Menteri Kesihatan Korea Selatan, Kwon Deok-cheol mengatakan bahawa Korea Selatan "berada di persimpangan gelombang ketiga" di mana negara tersebut mencatatkan peningkatan harian kedua tertinggi -- 1,132 kes pada Hari Krismas dan 1,241 kes pada Malam Krismas.

Tetapi Korea Selatan berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding Malaysia, kerana ia mempunyai 55,902 kes Covid dan berada di kedudukan ke-87 di antara negara-negara di dunia dengan jumlah kes Covid-19 terkumpul, dan kenaikan harian tertinggi di negara tersebut adalah 1,241 kes berbanding dengan kenaikan harian 2,335 kes di Malaysia semalam dan kedudukan negara kita di tempat ke-75 di seluruh dunia.

Harus ada semakan semula segera terhadap strategi Malaysia untuk mengawal gelombang ketiga wabak covid-19 ini.

Sayangnya, kita mempunyai Menteri Kesihatan yang tidak memainkan peranan berguna dalam perang melawan wabak Covid-19.

Sebuah Majlis Nasional Covid-19, di bawah kepimpinan mantan Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad harus dibentuk yang harus menerajui strategi dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk mengawal penularan gelombang ketiga wabak Covid-19.

Majlis yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk merancang pemulihan segera negara kita daripada bencana wabak Covid-19 ini juga harus segera ditubuhkan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri