Diaspora Malaysia di seluruh dunia harus mengambil bahagian dalam menyusun konsensus nasional baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia -- mengetengahkan faktor mengapa rakyat Malaysia berjaya merealisasikan cita-cita mereka di luar negara tetapi tidak di tanah air sendiri
Kolumnis Mariam Mokhtar baru-baru ini menulis sebuah artikel bertajuk: "Rakyat Malaysia di luar negara merealisasikan cita-cita yang tidak dapat dicapai di tanah air sendiri".
Beliau menulis:
“Minggu lalu, banyak artikel diterbitkan mengenai rakyat Malaysia di luar negara yang cemerlang dalam bidang yang diceburi mereka. Seorang remaja Pulau Pinang, Celine Chung bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak dan kini beliau berlatih bersama pasukan wanita U-17 Bayern Munich. Jocelyn Yow dari Alor Setar telah menjadi Datuk Bandar termuda di sebuah bandar kecil di California, dan Sam Lim yang berusia 60 tahun, kelahiran Muar, telah diberi pengiktirafan sebagai polis terbaik tahun ini di Australia Barat.
"Tentera siber dengan semangat nasionalis berbondong-bondong keluar. Antaranya berkata, Baguslah. Semoga lebih ramai pendatang berambus.”
"Mungkin golongan nasionalis ini perlu cuba memahami apa yang membuatkan ramai ‘pendatang’ ini dilihat lebih berjaya daripada orang Melayu.
"Kejayaan golongan ‘pendatang’ ini datang daripada semangat, cita-cita, ketabahan, kerja keras, komitmen, disiplin dan dedikasi mereka terhadap tugas.
"Ramai golongan bukan Melayu diketepikan dan diabaikan di Malaysia, walaupun mereka mempunyai semangat patriotisme."
Terdapat ramai contoh rakyat Malaysia yang berjaya di luar negara tetapi tidak di tanah air sendiri, seperti anak kelahiran Pulau Pinang K. Gurunathan, yang merupakan bekas editor The Rocket, yang dilantik semula sebagai Datuk Bandar Kapiti Coast di New Zealand.
Diaspora Malaysia di seluruh dunia harus mengambil bahagian dalam menyusun konsensus nasional baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan mengetengahkan faktor mengapa rakyat Malaysia berjaya merealisasikan cita-cita mereka di luar negara tetapi tidak di tanah air sendiri.
Seperti yang dikatakan Mariam, Pilihan Raya Umum ke-14 memberi begitu banyak harapan kepada diaspora Malaysia di seluruh dunia, namun mereka berfikir dua kali untuk kembali ke tanah air selepas 22 bulan kemudian.
Tidak dinafikan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah salah satu faktor perubahan pemikiran Diaspora Malaysia ini -- bukan sahaja dengan Langkah Sheraton, tetapi juga mengenai pendiriannya.
Adakah beliau seorang Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama dan kawan atau masih berjiwa “Melayu dahulu, dan kemudiannya rakyat Malaysia”?
Muhyiddin berkata dalam Sidang Kemuncak Ekonomi Cina Dunia pada hari Isnin bahawa kerajaan akan terus memupuk ekosistem yang membolehkan perniagaan berkembang maju dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.
Pun begitu, Malaysia masih ketinggalan di belakang banyak negara dalam pelbagai bidang, termasuk keadaan yang menentukan daya penarik Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Dapatan Bloomberg's Covid Resilience Ranking yang diterbitkan pada hari Isnin mendapati Malaysia ketinggalan di belakang Taiwan (kedudukan ke-2), Singapura (ke-5), Jepun (ke-7), Korea Selatan (ke-8), China (ke-9) ), Vietnam (ke-12), Hong Kong (ke-13), Thailand (ke-14) di mana Malaysia berada di kedudukan ke-22, meninggalkan Indonesia (di tempat ke-32) dan Filipina (ke-35) dengan hanya beberapa anak tangga.
Covid Resilience Ranking adalah gambaran bagaimana wabak koronavirus berkembang di 53 ekonomi utama dunia. Dengan menilai pesanan vaksin mereka, kajian ini memberi gambaran tentang bagaimana nasib ekonomi-ekonomi ini dapat berubah dalam masa hadapan.
Ini bukanlah suatu pengakhiran, dengan ketidaksempurnaan data virus dan kepantasan krisis pandemik Covid-19 merebak di seluruh dunia, yang telah menyaksikan gelombang susulan yang membuatkan negara-negara yang pada awalnya menangani dengan baik gelombang penularan virus ini menjadi keliru tentang usaha mereka. Keadaan dan nasib juga memainkan berperanan, tetapi faktor tersebut sukar untuk diukur.
Namun, ada pandangan yang berpendapat bahawa Malaysia bukan destinasi yang menarik untuk melabur berbanding Indonesia kerana seperti Singapura dan Vietnam, Indonesia mempunyai kestabilan politik, banyak idea, dilihat sebagai mesra perniagaan dan menawarkan insentif ekonomi untuk perniagaan.
Adakah Malaysia telah tewas dengan negara-negara ini dalam mewujudkan tenaga kerja yang berpengetahuan dalam bidang teknologi, mempunyai kematangan dan kestabilan politik, keharmonian kaum, kedaulatan undang-undang, pembanterasan rasuah dan kelancaran pentadbiran?
Saya menyokong seruan oleh seorang bekas pegawai tinggi kerajaan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, harus menarik semula apa yang diperkatakan beliau baru-baru ini mengenai usaha mengekang aliran sekularisme dan liberal di Malaysia sebelum kerosakan pada imej negara kita sebagai pusat pelaburan yang menarik menjadi terlalu serius untuk dipulihkan.
Pemimpin dan menteri di Malaysia yang kini berada dalam kerajaan Perikatan Nasional harus memahami bahawa mereka tidak boleh pada satu sudut bercakap tentang usaha menarik minat pelabur asing dan syarikat berteknologi tinggi untuk melabur di Malaysia, tetapi dalam pada masa sama menakutkan penduduk tempatan dan orang luar dengan hasrat untuk membasmi aliran sekularisme dan liberal di negara ini.
Seperti yang disebut dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB, para pelabur akan menjauhkan diri dari Malaysia sekiranya mereka menganggap sikap tegas negara terhadap sekularisme dan liberalisme tidak selari dengan matlamat SDG itu.