Dua laporan yang sangat berbeza -- Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Covid-19 Pfizer, manakala di Malaysia Perdana Menteri masih di peringkat menandatangani perjanjian dengan AstraZeneca untuk 6.4 juta dos tambahan vaksin Covid-19
Dua laporan yang sangat berbeza -- Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Covid-19 Pfizer, manakala di Malaysia Perdana Menteri masih di peringkat menandatangani perjanjian dengan AstraZeneca untuk 6.4 juta dos tambahan vaksin Covid-19.
Singapura adalah negara Asia pertama yang menerima suntikan Pfizer-BioNTech selepas negara tersebut mengumumkan pada minggu lalu bahawa pihaknya telah meluluskan pemerolehan vaksin berkenaan dan berharap untuk memulakan program vaksinasi secara meluas pada minggu pertama Januari dengan memberi keutamaan kepada golongan berusia tua dan pekerja dalam sektor penting, dan menyasarkan untuk memberikan suntikan vaksin kepada seluruh penduduknya yang seramai 5.3 juta orang secepat mungkin.
Bagaimana pula dengan Malaysia? Perdana Menteri baru saja menandatangani perjanjian untuk mendapatkan tambahan 10 peratus atau 6.4 juta dos vaksin Covid-19 untuk 40 peratus penduduk Malaysia menerusi Covax, Pfizer dan AstraZeneca.
Saya berterima kasih kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kerana telah mengundang saya untuk hadir ke sidang media pasca-Kabinetnya esok berhubung isu harga vaksin Pfizer's Covid-19.
Saya tidak berada di Kuala Lumpur dan tidak akan berada di Putrajaya untuk menghadiri sidang akhbarnya, ini kerana saya percaya bahawa wartawan Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan dapat mengendalikan sidang media Khairy dengan baik.
Saya harap Khairy akan dapat memberitahu rakyat Malaysia tentang perbezaan harga vaksin Covid-19 yang dibeli oleh Malaysia berbanding negara-negara lain seperti Belgium dan Singapura.
Dan yang lebih penting lagi, Khairy perlu mengumumkan bahawa vaksin akan diberikan secara percuma kepada semua rakyat Malaysia.
Namun, sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk mengadakan sidang media atau acara khas untuk mengumumkan bahawa kerajaan akhirnya bersedia untuk mengguna pakai pendekatan "keseluruhan kerajaan" dan "keseluruhan masyarakat" dalam perang melawan gelombang ketiga pandemik Covid-19, dan mengumumkan langkah-langkah baharu dalam strategi dan pendekatan ini, saya bersedia untuk meluangkan masa untuk menghadiri acara pengumuman tersebut jika dijemput.
Institut Penilaian dan Metrik Kesihatan (IHME) yang berpusat di AS meramalkan peningkatan berterusan kes Covid-19 sehingga pertengahan Mac 2021, dengan lebih daripada 5,000 jangkitan setiap hari pada akhir Februari.
Sekiranya model IHME menjadi realiti, maka Malaysia akan menyertai 30 negara teratas di dunia dengan lonjakan jangkitan Covid-19 yang paling pantas, memandangkan tidak banyak daripada 25 negara di dunia yang mencatat kenaikan harian sebanyak 5,000 jangkitan Covid-19.
Pada 17 Disember, Malaysia mengatasi China apabila mencatatkan jumlah terkumpul kes Covid-19 yang lebih tinggi, bertukar tempat dengan China dalam kedudukan negara dengan jumlah terkumpul kes Covid-19 tertinggi - Malaysia di tempat ke-79 dan China ke-80.
Semalam, pada 21 Disember, Malaysia berada di tangga ke-76 tertinggi di dunia dengan kes positif Covid-19, setelah mengatasi tiga negara lagi, iaitu Bahrain, Kenya dan Libya selepas merekodkan 2,018 kes Covid-19 baru semalam, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 95,327 kes.
Malaysia akan mengatasi lebih banyak negara dalam jumlah kes Covid-19 tertinggi - isyarat serius yang menunjukkan Malaysia berada di ambang kegagalan.
Rakyat Malaysia semakin menunjukkan minat dan peduli terhadap cara kerajaan menangani pandemik Covid-19, bukan sahaja tentang pemerolehan, harga dan keselamatan vaksin Covid-19, malah persoalan mengenai mengapa kerajaan tidak menerapkan pendekatan “keseluruhan kerajaan" dan "keseluruhan masyarakat” bagi mengawal gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia juga telah dibangkitkan.