Penyusunan semula konsensus nasional yang baru untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat perlu mengambil pendekatan dari bawah ke atas (bottom-up), termasuk meneliti bagaimana cara kerajaan menguruskan krisis Covid-19, dengan menuntut penjelasan mengapa Malaysia perlu membayar RM3 bilion untuk mendapatkan imunisasi bagi 6.4 juta rakyat Malaysia sedangkan Menteri Belgium mendedahkan bahawa harga vaksin tersebut sebenarnya 20 kali ganda lebih murah
32 juta rakyat Malaysia mesti memikul idea konsensus nasional baru untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat pada tahun 2040 dan penyusunan konsensus nasional yang baru harus mengambil pendekatan dari bawah ke atas dan bukan dari atas ke bawah.
Saya telah menyatakan sebelum ini tentang keperluan mendesak untuk merangka konsensus nasional yang baru kerana Perlembagaan Merdeka 1957, Perlembagaan Malaysia 1963, Rukun Negara 1970 dan Wawasan 2020 yang diumumkan pada tahun 1991 telah menemui kegagalan sebagai instrumen pembangunan negara sehinggakan terdapat Menteri yang terang-terangan menolak dokumen asas pembinaan negara Malaysia ini.
Proses menyusun konsensus nasional baru untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat pada tahun 2040 harus memaksa kerajaan untuk bertanggungjawab atas kegagalannya dalam menguruskan pandemik Covid-19, termasuk kegagalan kerajaan Muhyiddin untuk menerapkan strategi “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan pandemik Covid-19, dan menuntut penjelasan atas banyak lagi kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, khususnya, harus menjelaskan mengapa Malaysia perlu membayar RM3 bilion untuk menyediakan vaksin kepada 6.4 juta rakyat Malaysia sedangkan Menteri Belgium mendedahkan bahawa harga vaksin tersebut sebenarnya 20 kali ganda lebih murah.
Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah bertindak berdasarkan maklumat yang didedahkan Menteri Belgium ini untuk memastikan bahawa tidak terdapat unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam usaha memerangi Covid-19?
Mengapa kerajaan Muhyiddin hanya menjangkakan yang kumpulan pertama yang akan diberikan vaksin Covid-19 dari Pfizer akan menerima vaksin tersebut pada bulan Februari tahun depan - sedangkan Singapura akan memulakan program vaksinasi secara meluas lebih awal iaitu pada minggu pertama Januari dengan orang yang berusia dan bekerja dalam sektor penting diberikan keutamaan, malah berjanji untuk secepat mungkin memberikan vaksin kepada keseluruhannya rakyatnya yang seramai 5.3 juta orang?
Ahli Parlimen DAP Bangi, Dr Ong Kian Ming telah menyatakan sokongan penuh dan mengemukakan pandangannya tentang bagaimana untuk melakukan "reset politik" bagi menyatukan kekuatan 108 anggota Parlimen Pembangkang di Parlimen.
Ini merupakan sumbangan yang paling berguna dalam proses merumuskan konsensus nasional baru untuk membina Malaysia yang hebat pada tahun 2040.
Mungkin ada yang setuju atau tidak setuju dengan pandangan dan cadangan khusus Kian Ming, tetapi permulaan proses untuk merumuskan konsensus nasional baru dan memberikan idea untuk rakyat Malaysia memikirkan masa depan adalah sangat diperlukan.