Tiada sebarang cadangan daripada pimpinan DAP untuk menukar Ketua Pembangkang
Kadar jangkitan Covid-19 di Malaysia terus-menerus meningkat berbanding dengan negara-negara lain di seluruh dunia -- meninggalkan China yang kini berada di tempat ke-80, dan mengalahkan Bahrain dengan merampas tempat ke-78 dengan 91,969 kes. Hari ini, Malaysia bakal mara lagi ke kedudukan ke-77 sekiranya jumlah jangkitan baharu ini melebihi 1,792 kes.
Ini bukanlah satu pencapaian yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti mana negara kita berada di kemuncak kleptokrasi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
Perkara ini adalah petanda yang negara kita sedang menjunam ke arah sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal.
Kerana inilah perlunya untuk suatu konsensus kebangsaan baharu, memandangkan Perlembagaan Merdeka 1957, Perlembagaan Malaysia 1963, Rukun Negara 1970, dan Wawasan 2020 yang dirangka pada tahun 1991 semuanya telah gagal -- sehinggakan kini terdapat menteri di dalam Kabinet yang menolak dokumen-dokumen asas pembinaan negara bangsa Malaysia ini.
Kita memerlukan suatu penetapan semula polisi pembinaan negara bangsa selepas kegagalan-kegagalan ini.
Enam tahun yang lepas, pada bulan Disember 2014, sekumpulan 25 orang Melayu yang terkenal, daripada kalangan mantan penjawat awam kanan, hakim, duta, dan para ilmuan, telah mengeluarkan satu kenyataan bersama, menyeru Perdana Menteri semasa itu, Datuk Seri Najib Razak untuk menunjukkan kepimpinan memandangkan masanya telah tiba untuk golongan Melayu moderat untuk bersuara melawan unsur-unsur ekstremisme dan mereka yang tidak mahu bertoleransi dan berserdehana.
Kumpulan tersebut mengatakan yang mereka “amat bimbang” dan mendapati perlu untuk mereka mengambil satu pendirian awam memandangkan kesan berat yang dibawa oleh retorik toksik dalam hubungan antara kaum dan kestabilan politik di Malaysia.
Mereka juga menyeru kepada golongan Melayu dan Muslim moderat yang lain untuk bersuara, bagi mencetuskan perbincangan yang bermanfaat dan rasional mengenai Islam dalam negara kita.
Salah seorang daripada mereka ini, Ahmad Kamil, yang merupakan seorang diplomat selama 34 tahun sebelum persaraan beliau sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dan sebagai Duta Khas Perdana Menteri, telah mengatakan:
“Saya tidak mahu melihat cucu saya membesar dalam sebuah negara Taliban.
“Saya datang daripada satu latar belakang masyarakat berbilang kaum, dan kami (pada masa dahulu) tidak pernah mempersoalkan latar belakang masing-masing. Hari ini, terdapat terlalu banyak isu yang memecah-belahkan masyarakat.
“Sudah tiba masanya untuk kita semua bangkit.”
Malangnya, seruan daripada kumpulan ini enam tahun yang lalu tidak membawa kepada pembentukan konsensus kebangsaan baharu dalam polisi pembinaan negara bangsa, dan negara kita terpaksa menunggu sehingga PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 untuk mencuba menetapkan semula polisi pembinaan negara bangsa kita.
Tetapi, Kerajaan Pakatan Harapan ini tidak panjang umurnya memandangkan ia telah ditumbangkan selepas 22 bulan oleh konspirasi Langkah Sheraton yang telah membawa masuk kerajaan pintu belakang Muhyiddin yang tidak mempunyai keabsahan dan bersaiz gergasi.
Apakah perkembangan yang paling toksik dalam tempoh 32 bulan pentadbiran Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional sejak berlangsungnya PRU-14 pada 9 Mei 2018?
Semestinya ia adalah kempen penipuan, fitnah, dan berita palsu yang berjalan secara sistematik yang bertujuan untuk memecah-belahkan masyarakat dengan memainkan isu-isu perkauman dan keagamaan dalam negara. Di mana terdapat cubaan untuk meracun minda orang Melayu untuk percaya yang hak, maruah, dan masa hadapan orang Melayu sedang diancam, melainkan sekiranya UMNO kembali berkuasa, kerana kononnya kerajaan Pakatan Harapan hanyalah satu kerajaan DAP dan Perdana Menteri semasa itu, Tun Dr Mahathir ini hanyalah seorang pak turut DAP, dan perkara ini disertai dengan pelbagai fitnah yang mengatakan kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, malah DAP itu kononnya komunis.
Hasilnya, landskap politik negara telah berubah, kini wujud politik Malaysia dan politik Melayu.
Sekiranya orang Melayu terpedaya dengan penipuan, fitnah, dan berita palsu yang disebarkan oleh UMNO ini, akhirnya seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, mahupun Orang Asli akan menjadi mangsa polarisasi perkauman dan keagamaan di negara kita.
Malaysia hanya mampu menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia sekiranya kita mampu menggembeleng kedudukan unik kita sebagai pertemuan empat peradaban hebat dunia untuk membina sebuah negara yang bersatu-padu, harmoni, demokratik, adil, makmur, dan progresif.
Sekiranya polisi politik dan hegemoni Melayu ini berjaya dalam tempoh 50 tahun yang lepas untuk mengangkat taraf ekonomi orang Melayu, maka, orang Melayu hari ini tidak akan berada dalam keadaan yang miskin dan berasa tidak selamat seperti hari ini. Sehinggakan Khoo Boo Teik, seorang profesor yang telah bersara, boleh menulis satu artikel sepanjang 19 muka surat di Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS), yang bertajuk “Politik Melayu: Keadaan tidak Menentu, Masalah yang berterusan”.
Kita memerlukan permulaan baharu dalam proses pembinaan negara bangsa Malaysia dengan satu konsensus kebangsaan yang baharu, untuk menjadikan Malaysia satu “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu” dan bukannya untuk menjadikan Malaysia sebagai Venezuela atau Zimbabwe Asia.
Terdapat segolongan mereka yang tidak mahu wujudnya konsensus kebangsaan yang baharu ini dan mereka cuba sedaya upaya untuk mensabotaj usaha ini.
Semasa saya berjumpa dengan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim pada hari Jumaat yang lepas, saya telah memberikan jaminan kepada beliau yang pimpinan DAP tidak pernah mencadangkan penukaran Ketua Pembangkang, tetapi, kumpulan Pembangkang perlu mara ke hadapan dan arah yang baharu yang berfokuskan kepada keperluan untuk menguatkan dan merapatkan semua blok pembangkang dalam negara kita dengan sebuah konsensus kebangsaan yang baharu.
Saya terkejut dengan kenyataan terkini Setiausaha Agung Pakatan Harapan, kerana beliau perlulah bercakap bagi pihak ketiga-tiga parti dalam PH dan bukannya untuk hanya sebuah parti politik.
Setiap hari, kita dikejutkan dengan bukti baru yang menunjukkan negara kita kembali ke arah sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal menjelang 2040. Sama ada dengan pengumuman terkini daripada kerajaan Muhyiddin yang mengatakan kerajaan menjangkakan penerimaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 daripada Pfizer pada bulan Februari tahun hadapan -- berbanding dengan Singapura yang akan memulakan program vaksinasi secara besar-besaran dalam minggu pertama bulan Januari dengan memberikan keutamaan kepada golongan warga emas dan petugas penting dahulu, dengan sasaran untuk memberikan vaksin kepada seluruh 5.3 juta orang penduduk secepat mungkin. Begitu juga dengan nasib “generasi yang hilang”, seperti yang cuba ditonjolkan oleh mantan Menteri Pendidikan Maszlee Malik di Parlimen mengenai kira-kira sejuta pelajar sekolah di Malaysia yang akan terkesan dan dipinggirkan daripada kemajuan akademik, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di tadika dan pelajar sekolah tahun satu dan dua.
Seperti yang saya katakan semalam, masa tidak menunggu sesiapapun, dan masa untuk membentuk sebuah konsensus kebangsaan yang baharu adalah sekarang memandangkan Malaysia mesti diselamatkan daripada nasib menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal menjelang 2040.