Tindakan segera diperlukan untuk menyemarakkan rakyat Malaysia dengan konsensus nasional yang baru untuk mengangkat semula negara kita supaya Malaysia tidak menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara yang gagal pada tahun 2040
Tindakan segera diperlukan untuk menyemarakkan rakyat Malaysia dengan konsensus nasional yang baru untuk mengangkat semula negara kita supaya Malaysia tidak menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara yang gagal pada tahun 2040.
Dalam hari-hari terakhir tahun 2020, banyak bukti menunjukkan bahawa kita telah gagal dengan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bertaraf dunia yang hebat yang bersatu, harmoni, demokratik, adil, makmur dan mampu memanfaatkan kedudukan unik Malaysia sebagai pertemuan empat peradaban yang unggul untuk menjadi "sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu".
Kita telah gagal dengan Perlembagaan Merdeka 1957, Perlembagaan Malaysia 1963 dan Rukun Negara 1970 untuk mewujudkan asas sebuah negara Malaysia yang hebat.
Pusat Penyelidikan Ekonomi Jepun (JCER) telah meramalkan bahawa Vietnam akan menjadi negara berpendapatan menengah atas pada tahun 2023 dan KDNKnya akan mengatasi Taiwan pada tahun 2035.
Pada tahun 1970, ketika kita mula melaksanakan Dasar Ekonomi Baru, Vietnam mempunyai KDNK yang bernilai ASD 2,775 juta, di belakang angka Malaysia sebanyak ASD 3,737 juta
Kini KDNK Vietnam adalah lebih besar dan Vietnam akan meninggalkan Malaysia jauh kebelakang dalam beberapa tahun yang akan datang. Dalam 50 tahun dari 1970 hingga 2020, KDNK Vietnam meningkat 122 kali ganda berbanding KDNK Malaysia, yang meningkat 90 kali ganda.
Kita juga telah kalah dengan Singapura, yang KDNKnya meningkat 176 kali ganda dalam tempoh 50 tahun terakhir dan juga Indonesia, yang menyaksikan peningkatan 111 kali ganda.
Di mana silapnya?
Dalam laporan pertama Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) yang diterbitkan pada tahun 1995, daripada satu siri laporan integriti tahunan yang berterusan selama 25 tahun, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 41 negara, ataupun negara pada kedudukan ke-6 tertinggi di Asia-Pasifik selepas New Zealand -1, Singapura - 3, Australia - 7, Hong Kong - 17 dan Jepun - 20, dengan markah CPI 5.28. (10 untuk sangat "sangat bersih" dan 0 untuk "sangat korup")
Selama 24 tahun, walaupun dengan pelbagai kempen anti-rasuah, dua undang-undang anti-rasuah utama, “penaiktarafan” Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Malaysia terus jatuh ke peringkat terendah dan satu markah terendah dalam TI-CPI pada tahun 2017.
Selepas TI-CPI 2019, di mana Malaysia berada di kedudukan ke-51 dengan markah 53 -- prestasi terbaik pada suku terakhir abad yang menyaksikan peningkatan enam mata untuk markah TI-CPI dan 10 kedudukan dalam masa setahun -- saya tidak mempunyai harapan yang tinggi kepada TI-CPI 2020 untuk Malaysia, yang akan diterbitkan bulan depan.
Dalam 25 tahun yang lepas, negara-negara lain yang berada di bawah dalam senarai TI-CPI 1995 pantas menyusul ke atas sementara kedudukan Malaysia terus merudum!
China, Thailand, India dan Indonesia adalah contoh di Asia.
China berada di kedudukan ke-40 dari 41 negara dengan markah CPI 2.16 pada tahun 1995. Pada tahun 2019, China berada di kedudukan ke-80 dengan markah CPI 41.
Adakah China bukan sahaja akan mengejar merapati kedudukannya dengan Malaysia tetapi meninggalkan Malaysia di belakang dalam TI-CPI, baik dalam kedudukan dan markah pada tahun-tahun mendatang?
Negara-negara Asia lain seperti Thailand, Indonesia dan India mencatatkan peningkatan besar dalam memerangi rasuah. Thailand, yang berada di kedudukan ke-34 dengan markah CPI 2.79 pada tahun 1995 kini berada di kedudukan ke-85 (dari 183 negara) dengan markah yang bertambah baik dari 40 dari 100. India berada di kedudukan ke-35 dengan markah CPI 2.78 pada tahun 1995 kini berada di tangga ke-80 dengan China dengan markah 41 yang bertambah baik.
Bahkan Indonesia juga mencatatkan peningkatan signifikan dalam bidang antirasuah. Berada di kedudukan paling bawah ke-41 pada tahun 1995, dengan markah CPI 1.94, Indonesia kini berada di tangga ke-101 dengan markah CPI yang meningkat pada 36 pada tahun 2019.
Di manakah silapnya?
Hari-hari kebelakangan ini memberikan lebih banyak petanda bahawa kita perlu segera bangun semula jika kita ingin mengelak daripada terhumban ke arah sebuah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara yang gagal, di mana:
- Kita telah mengatasi kedudukan China, yang memiliki 40 kali ganda lebih ramai orang berbanding Malaysia, dengan lebih banyak jumlah keseluruhan kes Covid-19, dan dijangkakan untuk mencecah 100,000 kes terkumpul Covid-19 menjelang Krismas;
- Siasatan tidak berasas dan gangguan terhadap Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago dan aktivis hak asasi manusia dari Citizen Action Group On Enforced Disappearance (CAGED), Sevan Doraisamy mengenai forum SUARAM yang berlangsung lebih daripada setahun yang lepas mengenai penahanan 12 individu, termasuk pemimpin DAP, di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) kerana didakwa sebagai penyokong kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) yang tidak lagi berfungsi;
- Pengabaian Hari Pencegahan Rasuah Sedunia pada 9 Disember dan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia pada 10 Disember oleh Kerajaan Muhyiddin, mengabaikan pesanan penting oleh Setiausaha Jeneral PBB, Antonio Guterres bahawa “isu hak asasi manusia tidak boleh diabaikan dalam merangka tindak balas Covid-19”.
Masanya telah tiba untuk bertindak merangka suatu konsensus kebangsaan yang baharu jika kita mahu menyelamatkan negara kita daripada nasib menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara yang gagal menjelang 2040.