Apakah yang akan dilakukan kerajaan untuk memastikan bahawa unjuran IHME yang meramalkan Malaysia akan mencapai 5,000 peningkatan kes Covid-19 setiap hari menjelang akhir Februari tidak menjadi kenyataan?

Dengan kadar kenaikan harian kes Covid-19 semasa, Malaysia akan mencatatkan sejumlah 100,000 kes terkumpul menjelang perayaan Krismas minggu depan.

Institut Penilaian dan Metrik Kesihatan (IHME) yang berpusat di AS meramalkan peningkatan berterusan kes Covid-19 sehingga pertengahan Mac 2021, dengan lebih daripada 5,000 jangkitan setiap hari pada akhir Februari.

Sekiranya model IHME terbukti benar, maka Malaysia akan menyertai 30 negara teratas di dunia dengan lonjakan jangkitan Covid-19 yang paling pantas, kerana terdapat kurang dari 25 negara di dunia yang mencatat kenaikan harian sebanyak 5,000 jangkitan Covid-19.

Semalam, Amerika Syarikat, yang mencatatkan lebih daripada 17 juta kes Covid-19 dan hampir 318,000 kematian, mencatatkan rekod baharu peningkatan harian sebanyak 250,160 kes Covid-19 dan 3,561 kematian.

Rakyat Malaysia berhak mengetahui apakah usaha kerajaan untuk memastikan bahawa unjuran IHME yang menyatakan Malaysia akan mencapai 5,000 peningkatan kes Covid-19 setiap hari pada akhir Februari tidak menjadi kenyataan.

Keseluruhan jangkitan global Covid-19 adalah berjumlah lebih dari 75 juta kes dengan 1.6 juta kematian dicatatkan.

Siapa sangka pada 11 Mac -- ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Covid-19 sebagai pandemik -- bahawa kes jangkitan wabak tersebut akan meningkat menjadi lebih dari 75 juta kes dan meragut 1.6 juta nyawa sehingga hari ini.

Bilakah kita akan menyaksikan 100 juta kes Covid-19 di dunia direkodkan?

Kes pertama dilaporkan di China pada awal Januari dan mengambil masa tiga bulan untuk mencapai 1 juta kes di dunia. Dalam dua hari terakhir, peningkatan jangkitan global Covid-19 setiap hari masing-masing adalah 725,814 dan 716,970 kes.

Melihat kepada kadar tersebut, angka 100 juta kes Covid-19 di dunia dijangka akan dicapai sebelum akhir Januari.

Sebenarnya, model yang dijalankan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS menganggarkan bahawa jumlah sebenar jangkitan Covid-19 di Amerika Syarikat mungkin telah melepasi angka 100 juta, kerana agensi tersebut mendapati bahawa jumlah jangkitan sebenarnya adalah sekitar lapan kali ganda jumlah yang dilaporkan, yang merangkumi hanya kes yang disahkan oleh ujian makmal.

Kerajaan Muhyiddin telah mengecewakan rakyat Malaysia kerana tidak menerapkan strategi "keseluruhan kerajaan" dan "keseluruhan masyarakat" dalam usaha untuk memerangi pandemik Covid-19 dan ini terbukti apabila Malaysia mengatasi China dengan merekodkan lebih banyak jumlah kes Covid-19 terkumpul.

Adakah kerajaan Muhyiddin mahu menunggu khabar yang lebih buruk sebelum akhirnya sedar dan menerapkan pendekatan dan strategi "keseluruhan kerajaan" dan "keseluruhan masyarakat" dalam perang melawan pandemik Covid-19?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri