Rakyat Malaysia memerlukan konsensus nasional yang baharu, dan kita tidak boleh berputus asa dalam usaha untuk membina Malaysia yang adil, makmur, dinamik dan bertaraf dunia
Hari ini adalah hari terakhir persidangan Dewan Rakyat di mana banyak harapan telah dilaburkan dan kini telah lebur -- sama ada negara kita dapat menebus maruahnya sendiri untuk mempunyai sebuah pentadbiran yang sah yang mempunyai mandat rakyat, dan bukannya sebuah kerajaan pintu belakang yang tidak sah.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya melepasi ujian terhadap kepercayaan yang dipegang oleh beliau di Parlimen dengan majoriti yang tipis, tetapi beliau masih tidak berjaya memenangi keyakinan rakyat Malaysia mahupun komuniti antarabangsa.
Dalam masa dua minggu lagi, kita akan menyaksikan penutupan Wawasan 2020 selama 30 tahun yang menjanjikan sebuah negara yang bersatu, merangkumi semua aspek kehidupan, dari kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial, pendidikan berkelas dunia, kestabilan politik dan keseimbangan psikologi.
Sembilan cabaran strategik Wawasan 2020 ini, jika dibaca hari ini menjadi bukti kegagalan usaha pembinaan negara bangsa Malaysia selama enam dekad -
- Untuk mewujudkan negara Malaysia yang bersatu yang terdiri daripada satu Bangsa Malaysia.
- Untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas secara psikologi, aman dan maju.
- Memupuk dan membangun masyarakat demokratik yang matang.
- Membentuk masyarakat yang bermoral dan beretika sepenuhnya.
- Untuk mewujudkan masyarakat liberal dan bertoleransi yang matang.
- Membentuk masyarakat saintifik dan progresif.
- Membentuk masyarakat yang prihatin.
- Untuk mewujudkan masyarakat yang adil dari segi ekonomi, di mana terdapat pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama.
- Membentuk masyarakat yang makmur dengan ekonomi yang kompetitif, dinamik, mantap dan berdaya tahan.
Hari ini, Malaysia memdapat satu lagi catatan yang buruk -- di mana negara kita baru sahaja mengatasi China dengan lebih banyak jumlah keseluruhan kes Covid-19, dengan Malaysia berada di kedudukan ke-79 dengan 87,913 kes sementara China berada di kedudukan ke-80 dengan 86,770 kes (worldometers.info), sedangkan China mempunyai 40 kali jumlah penduduk Malaysia dengan 1.4 bilion penduduk.
Ini adalah petanda terbaru bahawa Malaysia sedang ketinggalan kebelakang berbanding dengan negara lain.
Korea Selatan kini berada di kedudukan ke-90 dengan 45,442 kes; Hong Kong berada di kedudukan ke-131 dengan 7,804 kes; Thailand menduduki tempat ke-152 dengan 4,261 kes; Vietnam berada di kedudukan ke-169 dengan 1,405 kes; Taiwan menduduki tempat ke-176 dengan 749 kes; Kemboja menduduki tempat ke-189 dengan 362 kes.
Mengapakah kita tidak berada dalam kalangan negara-negara ini, sebaliknya, menjadi di antara 30-40 negara teratas di dunia dengan kes Covid-19 terkumpul yang paling banyak. Senarai yang kini didahului oleh “dunia ketiga” dari segi kesihatan awam, Amerika Syarikat, yang mencatatkan lebih daripada 74 juta kes dan lebih daripada 314,000 kematian, dengan India di tempat kedua dengan hampir 10 juta kes dan lebih dari 114,000 kematian dan Brazil di tempat ketiga dengan lebih daripada 7 juta kes dan lebih dari 183,000 kematian.
Ketika pengundi di Malaysia memilih untuk menolak Barisan Nasional yang kelihatan seakan-akan tidak dapat dikalahkan dan menjatuhkan Najib Razak sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan menggalas tugas sukar untuk mengubah Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global untuk memanfaatkan kepelbagaian kaum, bahasa, budaya, agama dan peradaban di Malaysia untuk membina negara bangsa yang bertaraf dunia secara berintegriti dan berkepakaran dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia.
Tetapi kerajaan Pakatan Harapan tidak bertahan lama, kerana telah digulingkan oleh konspirasi Langkah Sheraton yang membawa Malaysia kembali ke arah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara yang gagal.
Semalam, tiga Ahli Parlimen wanita DAP, Yeo Bee Yin (Bakri), Teo Nie Ching (Kulai) dan Hannah Yeoh (Segambut) mengatakan dalam satu kenyataan bersama bahawa rakyat Malaysia memerlukan "harapan baharu".
Apa pun halangan dan cabarannya, rakyat Malaysia tidak boleh berputus asa untuk terus berusaha membina Malaysia yang adil, makmur, dinamik dan bertaraf dunia.
Rakyat Malaysia memerlukan konsensus nasional yang baru untuk mengembalikan kehebatan Malaysia.
Kita harus kembali kepada visi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman untuk negara menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang gelap dan terganggu"”
Kita tidak boleh menjadi “sinar cahaya” sekiranya Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi global, kakistokrasi atau mengatasi China dalam jumlah terkumpul kes Covid-19.
Rakyat Malaysia mesti berani berazam dan berharap, dan menjadi agen pemacu perubahan untuk menyelamatkan negara dari (i) semangat tidak bertoleransi dan ekstremisme antara kaum dan agama, (ii) rasuah dan (iii) untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah contoh kejayaan Pertemuan Peradaban dan bukannya kegagalan akibat pertembungan budaya.
Rakyat Malaysia mesti mengusahakan konsensus nasional yang baharu untuk semua rakyat Malaysia.