Sudah tiba masanya untuk kita mempunyai lebih ramai pemimpin daripada kalangan anak muda memandangkan merekalah yang akan mengharungi masa hadapan negara
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya melepasi ujian kepercayaan Ahli Parlimen dengan lulusnya Belanjawan 2021, belanjawan yang teramat biasa pada suatu masa yang luar biasa yang dibawa oleh wabak “sekali dalam seabad” Covid-19. Namun, beliau belum berjaya menunjukkan yang beliau mendapat kepercayaan Ahli Parlimen, rakyat Malaysia dan seluruh dunia, seperti yang dapat dilihat melalui penurunan taraf Fitch Ratings terhadap penarafan kredit Kerajaan Malaysia, keadaan di mana Malaysia bakal mengatasi kedudukan China dengan lebih banyak jumlah kes Covid-19 terkumpul hari ini, dan sidang media bersama oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh pada petang Isnin yang lalu.
Ini adalah salah satu situasi yang tidak normal di mana Muhyiddin telah berjaya melepasi ujian kepercayaan di Parlimen tetapi tidak mendapat keyakinan rakyat terhadap kerajaannya.
Akan menjadi satu kesilapan besar kepada Muhyidin sekiranya beliau menganggap kelulusan Belanjawan 2021 dengan undian 110-108 semalam di Dewan Rakyat -- dan saya tidak jangkakan sebarang masalah untuk Belanjawan 2021 ini lulus di Dewan Negara -- sebagai satu undian kepercayaan yang membolehkan beliau untuk membuang gelaran “pintu belakang” terhadap kerajaan dan Kabinet beliau.
Kerajaan Muhyiddin ini adalah sebuah kerajaan pintu belakang dan kerajaan yang tidak sah, jika tidak, tidak akan ada persidangan media bersama oleh Mahathir dan Razaleigh sehari sebelum hari pengundian untuk Bacaan Ketiga Belanjawan 2021, memandangkan wujudnya kemungkinan untuk kerajaan Muhyiddin tumbang semalam.
Sidang media bersama Mahathir-Razaleigh ini bukanlah ditujukan kepada rakyat Malaysia, tetapi kepada Yang di Pertuan Agong jika situasi di mana sebuah kerajaan baharu perlu ditubuhkan timbul.
Bagaimanakah rakyat boleh untuk mempunyai keyakinan dalam kerajaan Muhyiddin memandangkan negara kita bakal mengatasi kedudukan China dengan lebih banyak jumlah kes Covid-19 terkumpul, sedangkan China mempunyai lebih daripada 40 kali ganda penduduk (1.4 bilion) berbanding dengan 32 juta orang di Malaysia?
Malaysia kini berada di tempat ke-80 berbanding dengan negara-negara lain dengan jumlah kes Covid-19 terkumpul, mencatatkan 86,618 kes; manakala China pula berada di tempat ke-79 dengan 86,758 kes -- dengan hanya 140 kes di antara dua negara ini.
Dengan kadar jangkitan baharu dalam negara yang mencecah purata empat angka setiap hari, sehingga 1,937 kes pada 12 Disember dan 2,234 kes pada 10 Disember, Malaysia dijangkakan akan mengatasi kedudukan China dengan lebih banyak kes Covid-19 hari ini.
Adakah peristiwa suram ini akan membawa keyakinan kepada Kabinet Muhyiddin atau sebaliknya?
Inilah perkara yang perlu difikirkan oleh rakyat Malaysia.
Walau bagaimanapun, Pembangkang di Malaysia perlu fokus kepada cabaran yang bakal dihadapi dalam pilihan raya umum yang akan datang dan bukannya usaha untuk menumbangkan kerajaan tidak sah dan kabinet pintu belakang Muhyiddin ini.
Ini juga masanya untuk meletakkan lebih ramai anak muda dalam kedudukan kepimpinan memandangkan merekalah yang akan mengharungi cabaran masa hadapan negara kita.
Saya mencadangkan bulan lalu supaya kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah menubuhkan pasukan petugas yang diketuai oleh Veveonah Mosibin yang berusia 18 tahun untuk melakukan tinjauan di Sabah untuk memastikan bahawa tidak ada lagi sesiapa pun yang perlu meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok atau berhimpun di atas jambatan gantung sehingga runtuh jambatan tersebut di kawasan pedalaman Sabah untuk mendapatkan akses Internet yang lebih baik demi mendapatkan pendidikan.
Perkara ini pastinya mengejutkan sesetengah pihak, bagaimanakah sebuah pasukan tugas khas kebangsaan boleh diketuai oleh seorang gadis yang berusia 18 tahun.
Kita berada dalam satu era yang baharu dan kita perlu bersedia untuk menggunakan kaedah baharu untuk mengatasi masalah negara.
Pada minggu lepas, salah satu berita utama yang berlegar dalam negara adalah mengenai Jocelyn Yow, yang berketurunan Cina Malaysia-Vietnam daripada Kedah yang bakal menjadi Datuk Bandar Eastvale, satu bandar dengan populasi seramai 55,000 orang kira-kira satu jam di timur Los Angeles, California.
Malaysia akan sekali lagi menjadi bualan di seluruh dunia sekiranya Veveonah Mosibin dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Tugas Khas Kerajaan Persekutuan-Kerajaan Negeri Sabah untuk menyelesaikan masalah sambungan internet di kawasan pedalaman Sabah bagi melancarkan proses pembelajaran atas talian semasa wabak Covid-19.
Perkara ini akan menjadi bukti yang Malaysia menghargai sumbangan golongan muda, wanita, dan minoriti untuk bersama-sama menyelesaikan masalah negara, terutamanya masalah yang dihadapi oleh golongan muda dalam pembelajaran atas talian.
Tetapi, cadangan ini langsung tidak disambut oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Persoalan boleh ditimbulkan, mengenai sama ada Veveonah yang berusia 18 tahun sesuai untuk mengetuai pasukan tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri untuk menangani jurang digital di pedalaman Sabah.
Saya jawab; mengapa tidak? Dari kepetahan, keazaman, dan usahanya, bahkan beliau berusaha meluangkan 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan akses internet yang lebih baik untuk menduduki peperiksaan dalam talian. Saya yakin sepenuhnya dengan kelayakan beliau untuk mengetuai pasukan tindakan ini untuk memerangi kemiskinan digital di pedalaman Sabah. Beliau akan mengetuai usaha untuk menyelesaikan masalah yang pernah dihadapinya sendiri.
Sekiranya Sanna Marin, 34 tahun, boleh menjadi Perdana Menteri Finland, Jacinda Ardern sebagai Perdana Menteri Selandia Baru pada usia 37 tahun, Alexandria Ocasio-Cortex adalah wanita termuda yang terpilih ke Amerika Syarikat Kongres pada usia 29 tahun, Sebastian Kurz, Canselor Austria pada usia 31 tahun, Luigi DiMaio Timbalan Perdana Menteri Itali pada usia 31 tahun dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada usia 25, dan 25- Jocelyn Yow, bekas dari Kedah, boleh menjadi walikota di Amerika Syarikat, saya tidak melihat sebab mengapa Veveonah Mosibin yang berusia 18 tahun tidak dapat menjadi Ketua Pasukan Petugas Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah jurang digital di Sabah.
Sekiranya Sanna Marin yang berusia 34 tahun boleh menjadi Perdana Menteri Finland, Jacinda Ardern menjadi Perdana Menteri New Zealand pada usia 37 tahun, Alexandria Ocasio-Cortex adalah wanita termuda yang terpilih ke Kongres Amerika Syarikat pada usia 29 tahun, Sebastian Kurz yang diundi sebagai Canselor Austria pada usia 31 tahun, Luigi DiMaio sebagai Timbalan Perdana Menteri Itali pada usia 31 tahun dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada usia 25 tahun, saya tidak nampak apa-apa sebab mengapa Veveonah Mosibin yang berusia 18 tahun tidak dapat mengetuai pasukan tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri untuk menangani masalah jurang digital di Sabah.
Sudah tiba masanya golongan millennial (mereka yang dilahirkan di antara awal 1980-an dan pertengahan 1990-an hingga awal 2000) diperkasakan dengan lebih banyak kepercayaan, tanggungjawab dan kuasa memandangkan 54 peratus rakyat Malaysia berusia di bawah 30 tahun dan sekitar 70% rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun.
Jadikan era ini sebagai era millenial -- bermula dengan Veveonah Mosibin!
Kabinet Muhyiddin tidak mempunyai suara untuk golongan millennial di Malaysia, tidak ada seorang pun Menteri yang berusia di bawah 40 tahun.
Terdapat empat orang Menteri dalam Kabinet Muhyiddin yang berumur di bawah 50 tahun, masing-masing berusia 43, 44, 46 dan 47 tahun -- suatu perbandingan yang buruk dengan Kabinet Pakatan Harapan, yang bermula dengan menteri yang berusia 25 tahun, 35 tahun dan lima orang Menteri yang berumur di bawah 50 tahun.
Malah, Pakatan Harapan dengan Perdana Menteri yang berusia 93 tahun mempunyai purata umur Kabinet 55.7 tahun, lebih muda berbanding Kabinet 32 orang Muhyiddin yang mencatatkan usia purata 57.5 tahun!