Malaysia akan mengatasi kedudukan China dengan lebih banyak kes terkumpul Covid-19 apabila sesi Dewan Rakyat ditangguhkan pada hari Khamis, 17 Disember, jika tidak lebih awal lagi menjelang hari Rabu ini

Sekiranya kadar peningkatan harian kes Covid-19 baru di Malaysia kekal pada paras sedia ada, Malaysia akan mengatasi kedudukan China dengan lebih banyak kes terkumpul Covid-19 apabila sesi Dewan Rakyat ditangguhkan pada hari Khamis, 17 Disember ini, jika tidak lebih awal lagi menjelang hari Rabu ini.

Ini bukan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh Malaysia, kerana China mempunyai lebih dari 40 kali ganda jumlah penduduk berbanding dengan Malaysia, di mana China mempunyai 1.4 bilion penduduk berbanding dengan 32 juta penduduk di Malaysia.

Malaysia kini berada di kedudukan ke-80 di antara negara-negara di dunia dengan jumlah kes Covid-19 terkumpul, iaitu sebanyak 83,475 kes berbanding dengan China, di kedudukan No. 79, dengan 86,725 kes.

Semalam, Malaysia mencatatkan peningkatan harian sebanyak 1,229 kes, walaupun satu penurunan berbanding dengan angka pada hari sebelumnya (1,937 kes), peningkatan ini masih berada dalam julat empat angka sepertimana pada 10 Disember (2,234 kes) dan 11 Disember (1,810 kes).

Malah, nampaknya Malaysia dengan trajektori semasa ini akan melepasi angka 100,000 kes terkumpul Covid-19 sebelum berakhirnya tahun ini, meninggalkan China jauh di belakang.

Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat (IHME) mengunjurkan yang Malaysia akan terus mencatatkan peningkatan dalam kes Covid-19 sehingga pertengahan Mac 2021, dengan lebih daripada 5,000 jangkitan setiap hari pada 25 Februari.

Model IHME, yang juga digunakan oleh pentadbiran Trump, meramalkan 2,987 kes baharu di Malaysia pada 1 Januari, meningkat kepada 4,176 jangkitan Covid-19 pada 1 Februari, dan 5,130 kes pada 1 Mac.

Trend ini dijangka meningkat hingga 21 Mac dengan 5,379 jangkitan pada tersebut dan kemudian menurun kepada 5,301 kes pada 1 April.

Sekiranya model IHME ini terbukti betul, maka Malaysia boleh menjadi antara 30 atau 40 negara teratas di dunia dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 menjelang suku kedua tahun hadapan.

Tetapi, perkara ini sebenarnya boleh dielakkan, jika kerajaan mengguna pakai pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19 ini.

Inilah cara pemikiran dan pendekatan yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika mengisytiharkan wabak Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020 -- ketika ada sekitar 118,000 jangkitan Covid-19. Hari ini, terdapat lebih daripada 72.6 juta kes Covid-19 di dunia dan wabak tersebut telah mengorbankan lebih daripada 1.6 juta nyawa.

Selepas setahun, kerajaan Muhyiddin masih gagal untuk menerapkan cara pemikiran dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19.

Disebaliknya, apa yang kita dapat adalah layanan berbeza diberikan kepada Menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan di mana prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 hanya terpakai kepada rakyat biasa tetapi tidak kepada mereka ini dan juga golongan VIP.

Sudah tiba masanya Malaysia menerapkan cara pemikiran dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19.

Malaysia perlu berazam untuk menjadi antara 30 negara teratas di dunia dalam perang menentang rasuah dan dalam integriti awam, dan tidak termasuk di antara 30 negara teratas di dunia yang gagal dalam dasar kesihatan awam dengan jumlah terkumpul kes Covid-19 yang tertinggi.

Marilah jadikan Malaysia satu kisah kejayaan dalam melawan Covid-19, seperti di Korea Selatan yang berada di kedudukan ke 90, atau Hong Kong yang berada di kedudukan ke-132, atau Thailand yang berada di kedudukan ke-151, atau Vietnam yang berada di kedudukan ke-169 di antara negara-negara di seluruh dunia, dan bukannya seperti Amerika Syarikat, yang berada di tempat pertama, atau Brazil di tempat ke 3 atau United Kingdom yang di tempat ke 6 di dunia dengan sebilangan besar jumlah kes Covid-19.

Langkah pertama bagi Malaysia untuk menerapkan cara pemikiran dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19 adalah untuk Dewan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 yang diketuai oleh mantan Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, untuk mengadakan pendengaran awam dan melibatkan pemikir-pemikir terbaik dalam negara dalam perang melawan wabak Covid-19.

Saya telah membuat cadangan ini berkali-kali tetapi kelihatan seperti cadangan saya ini tidak diendahkan sama sekali.

Sekiranya Dewan Rakyat tidak melakukan apa-apa untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19, adakah Dewan Negara di bawah Presiden barunya, Rais Yatim, bersedia untuk melakukannya?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri