Malaysia mungkin akan mengatasi kedudukan China dengan lebih banyak kes terkumpul Covid-19 sebelum sesi Dewan Rakyat ditangguhkan pada hari Khamis, 17 Disember

Pada 1 Disember, saya telah bertanya sama ada Malaysia akan mengatasi China dengan lebih banyak jumlah kes Covid-19 terkumpul sebelum atau selepas berakhirnya sesi persidangan Parlimen semasa -- Dewan Rakyat yang akan berakhir pada 17 Disember dan Dewan Negara pada 29 Disember 2020.

Semalam, Malaysia mencatatkan peningkatan harian sebanyak 1,937 kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah kes terkumpul sebanyak 82,246 kes.

Jumlah kes terkumpul di Malaysia kini sangat hampir sama dengan China, dengan Malaysia berada di kedudukan ke-80 di antara negara-negara di dunia dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 tertinggi, sementara China berada di di kedudukan ke 79 dengan 86,791 kes.

Sekiranya peningkatan harian kes Covid-19 minggu depan terus berada dalam julat 2000 kes sehari, maka Malaysia akan mengatasi China sebelum sesi Dewan Rakyat ditangguhkan pada hari Khamis, 17 Disember 2020.

Bayangkan, Malaysia mengatasi China dari jumlah terkumpul kes Covid-19, sedangkan China mempunyai lebih dari 40 kali jumlah penduduk Malaysia -- 1.4 bilion penduduk di China berbanding 32 juta orang di Malaysia.

Pada satu masa dahulu, Malaysia dipisahkan dari China dengan lebih dari 60 tempat kedudukan. Pada 1 September, misalnya, China mempunyai 85,058 kes Covid-19 sementara Malaysia mempunyai 9,354 kes.

Di manakah silapnya dan apakah yang boleh kita buat?

Peningkatan mendadak kes Covid-19 ini menambahkan keperluan mendesak untuk ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19, dan saya menyeru kepada Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, yang mempengerusikan Jawatankuasa Pemilih untuk tidak menggagalkan rakyat Malaysia dengan memanggil mesyuarat khas Jawatankuasa Pemilih untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 ini supaya ia dapat menjalankan pendengaran awam dan mencari sebab mengapa negara kita telah gagal dan tidak menggunapakai pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” sehinggakan Malaysia bakal mengatasi kedudukan China dalam wabak Covid-19 ini.

Mantan Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen PH Kuala Selangor, adalah calon yang ideal untuk menjadi pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 ini.

Terdapat kontroversi yang semakin meningkat di Malaysia dan di seluruh dunia mengenai keselamatan vaksin Covid-19 yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

Jawatankuasa Pilihan Khas ini perlu mengadakan pendengaran awam mengenai isu ini untuk membantu mengurangkan kebimbangan orang ramai mengenai perkara ini.

Sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Integriti juga perlu ditubuhkan sebelum sidang Parlimen ditangguhkan pada 17 Disember.

Pada bulan hadapan, Transparency International (TI) akan menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020.

Adakah Malaysia akan mempunyai sebab untuk berasa bangga atau malu mengenai isu rasuah apabila TI menerbitkan CPI 2020 ini?

Dalam TI CPI 2019, Malaysia berada di kedudukan ke-51 dengan 53 markah, mencatatkan peningkatan enam mata untuk markah dan 10 tempat dalam kedudukan TI CPI dalam masa setahun, yang merupakan prestasi terbaik untuk negara kita dalam tempoh suku abad yang lepas.

Saya tidak menjangkakan Malaysia mencatatkan kemajuan dalam TI CPI 2020, tetapi adakah Malaysia akan maju ke hadapan atau mundur ke belakang?

Dalam Barometer Rasuah Global Asia 2020 yang dikeluarkan oleh TI pada akhir bulan lalu, laporan tersebut mendapati bahawa:

  • 71% rakyat Malaysia berpendapat bahawa rasuah dalam kerajaan adalah masalah besar;
  • 39% rakyat Malaysia berpendapat rasuah telah meningkat dalam 12 bulan sebelumnya;
  • 30% rakyat Malaysia berpendapat bahawa kerajaan tidak melakukan yang terbaik untuk memerangi rasuah;
  • Tahap kepuasan untuk SPRM adalah 74%;
  • Bahawa 36% rakyat Malaysia percaya bahawa Ahli Parlimen adalah korup.

Mengapa Parlimen sebegitu lembab dalam menjadikan agenda memerangi rasuah dan integriti awam sebagai keutamaan negara dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan mengenai Rasuah dan Integriti?

Salah satu objektif Pelan Integriti Nasional (NIP) 2004-2008 yang dilancarkan pada tahun 2004 adalah untuk meletakkan Malaysia di antara 30 negara teratas dunia dalam integriti awam.

Adakah kerajaan Muhyiddin telah menyerah kalah dan berputus asa kepada cabaran untuk menjadikan Malaysia antara 30 negara teratas di dunia yang anti-rasuah dan berintegriti awam?

Masih belum terlambat untuk Parlimen menubuhkan kedua-dua Jawatankuasa Pilihan Khas ini, memandangkan masih terdapat cukup masa untuk menubuhkan Jawatankuasa ini dalam minggu hadapan, sekiranya kerajaan mempunyai kehendak politik untuk berbuat demikian.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri