Kegagalan terbesar Parlimen adalah ketidakupayaannya untuk menubuhkan dua Jawatankuasa Pilihan Khas -- satu untuk wabak Covid-19 dan satu lagi berkenaan Rasuah dan Integriti

Persidangan November-Disember Dewan Rakyat hanya tinggal seminggu lagi sebelum ditangguhkan -- iaitu bermula Isnin hadapan sehingga hari Khamis, 14 ke 17 Disember 2020.

Saya menganggap kegagalan terbesar Parlimen adalah ketidakupayaannya untuk menubuhkan dua Jawatankuasa Pilihan Khas -- satu untuk wabak Covid-19 dan satu lagi berkenaan Rasuah dan Integriti.

Malah, Parlimen akan melakukan satu tindakan yang lalai yang amat tidak bertanggungjawab dengan tidak menubuhkan kedua-dua jawatankuasa pilihan khas ini, yang mencerminkan Kabinet Muhyiddin sebagai satu kakistokrasi terburuk.

Semalam, Malaysia mencatatkan rekod baru peningkatan harian jangkitan Covid-19 apabila 2,234 kes Covid-19 baru dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia kepada 78,499 kes Covid-19.

Negara kita dengan pantas sekali merapatkan jurang kedudukannya dengan China dan akan mengatasi China dengan lebih banyak jumlah kes terkumpul Covid-19 dalam beberapa hari lagi.

Malaysia kini adalah negara ke-80 dari jumlah kes terkumpul Covid-19, manakala China berada di kedudukan ke-78 dengan 86,673 kes Covid-19.

Malaysia akan mengatasi China dalam masa sembilan hari jika kadar peningkatan purata kes Covid-19 harian di Malaysia kekal pada kadar sekitar 2,000-angka, atau pun dalam masa 18 hari jika purata peningkatan harian ini kekal di dalam julat kira-kira 1,000 kes.

Sama ada sembilan hari atau 18 hari, hakikat di mana Malaysia mengatasi kedudukan China dalam jumlah kes terkumpul Covid-19 sebelum berakhirnya tahun ini mestilah dipandang serius dan harus disiasat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Wabak Covid-19 untuk mengenal pasti di manakah silapnya dengan strategi kita dalam memerangi wabak Covid-19 sehingga jumlah kes terkumpul di Malaysia dapat mengatasi jumlah di China sedangkan China mempunyai lebih dari 40 kali ganda jumlah penduduk berbanding Malaysia - 1.4 bilion di China berbanding dengan 32 juta orang di Malaysia.

Pada satu masa dahulu, Malaysia dipisahkan dari China dengan lebih dari 60 tempat kedudukan. Pada 1 September, misalnya, China mempunyai 85,058 kes Covid-19 sementara Malaysia mempunyai 9,354 kes.

Di manakah silapnya dan apakah yang boleh kita buat?

Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Wabak Covid-19 ini perlu menyiasat mengapa kerajaan Muhyiddin gagal menerapkan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak ini sehinggakan Malaysia kini bakal mengatasi kedudukan China dari segi jumlah kes terkumpul.

Terdapat kontroversi yang semakin meningkat di Malaysia dan di seluruh dunia mengenai keselamatan vaksin Covid-19 yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi. Jawatankuasa Pilihan Khas ini perlu mengadakan siasatan awam mengenai isu ini untuk membantu mengurangkan kebimbangan orang ramai mengenai perkara ini.

Pada bulan hadapan, Transparency International (TI) akan menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020.

Adakah Malaysia akan mempunyai sebab untuk berasa bangga atau malu mengenai isu rasuah apabila TI menerbitkan CPI 2020 ini?

Dalam TI CPI 2019, Malaysia berada di kedudukan ke-51 dengan 53 markah, mencatatkan peningkatan enam mata untuk markah dan 10 tempat dalam kedudukan TI CPI dalam masa setahun, yang merupakan prestasi terbaik untuk negara kita dalam tempoh suku abad yang lepas.

Saya tidak menjangkakan Malaysia mencatatkan kemajuan dalam TI CPI 2020, tetapi adakah Malaysia akan maju ke hadapan atau mundur ke belakang?

Dalam Barometer Rasuah Global Asia 2020 yang dikeluarkan oleh TI pada akhir bulan lalu, laporan tersebut mendapati bahawa:

  • 71% rakyat Malaysia berpendapat bahawa rasuah dalam kerajaan adalah masalah besar;
  • 39% rakyat Malaysia berpendapat rasuah telah meningkat dalam 12 bulan sebelumnya;
  • 30% rakyat Malaysia berpendapat bahawa kerajaan tidak melakukan yang terbaik untuk memerangi rasuah;
  • Tahap kepuasan untuk SPRM adalah 74%;
  • Bahawa peratusan rakyat Malaysia yang berpendapat bahawa kebanyakan atau semua orang di institusi ini adalah korup:
  • Presiden/Perdana Menteri - 25%
    Ahli Parlimen - 36%
    Pegawai kerajaan - 28%
    Pegawai kerajaan tempatan - 18%
    Polis - 30%
    Hakim dan majistret - 13%
    Pemimpin keagamaan - 9%
    NGO - 15%
    Eksekutif Perniagaan - 27%
    Pegawai bank - 10%
    Pemimpin tentera - 9%

Mengapa Parlimen sebegitu lembab dalam menjadikan agenda memerangi rasuah dan integriti awam sebagai keutamaan negara dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan mengenai Rasuah dan Integriti?

Salah satu objektif Pelan Integriti Nasional (NIP) 2004-2008 yang dilancarkan pada tahun 2004 adalah untuk meletakkan Malaysia di antara 30 negara teratas dunia dalam integriti awam.

Adakah kerajaan Muhyiddin telah menyerah kalah dan berputus asa kepada cabaran untuk menjadikan Malaysia antara 30 negara teratas di dunia yang anti-rasuah dan berintegriti awam?

Masih belum terlambat untuk Parlimen menubuhkan kedua-dua Jawatankuasa Pilihan Khas ini, memandangkan masih terdapat cukup masa untuk menubuhkan Jawatankuasa ini dalam minggu hadapan, sekiranya kerajaan mempunyai kehendak politik untuk berbuat demikian.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri