Sokongan kepada pendirian Prof Tajuddin bahawa Sanusi harus diganti sebagai Menteri Besar Kedah kerana beliau tidak layak memegang jawatan dalam masyarakat majmuk

Saya menyokong pendirian Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi bahawa Sanusi Md Nor harus diganti sebagai Menteri Besar Kedah kerana beliau tidak layak dan tidak sesuai untuk memegang jawatan tinggi dalam masyarakat majmuk.

Dua hari yang lalu, saya telah bertanya apakah kepimpinan PAS bersedia untuk menegur Sanusi di atas cacian bersifat perkauman yang biadab, tidak sensitif, dan tidak boleh diterima dalam masyarakat majmuk apabila beliau menggunakan perumpamaan “mabuk todi” terhadap pengkritik beliau mengenai isu perobohan kuil di Kuala Kedah.

Saya telah menanyakan, sama ada pimpinan PAS kini tidak lagi mampu untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan, di antara perkara yang adil dan zalim?

Adakah para pimpinan PAS telah mencapai satu tahap di mana apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin PAS tidak boleh dianggap sebagai salah, kononnya hanya orang bukan Islam sahaja yang boleh melakukan kesalahan, seperti mana para pimpinan PAS telah mencabuli ajaran Islam dengan mengatakan para pengundi Muslim harus menyokong pemimpin Muslim yang korup berbanding dengan pemimpin bukan Islam yang bersih dan jujur?

Pemimpin PAS diam seribu bahasa terhadap persoalan-persoalan ini menjadi jawapannya.

Sanusi sepatutnya memohon maaf di atas cacian beliau yang biadab, tidak sensitif dan tidak boleh diterima itu, sebaliknya, beliau telah memburukkan lagi keadaan apabila beliau memberitahu para pengkritik beliau untuk mengambil kelas Bahasa Malaysia kerana tidak memahami apa yang cuba disampaikan beliau.

Profesor Tajuddin mengatakan Sanusi telah melakukan empat "dosa besar" sebagai seorang rakyat Malaysia dan seorang Muslim.

Apa yang jelas adalah, negara ini tidak boleh mempunyai seorang Menteri Besar atau pemegang jawatan tinggi yang tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya yang bertemu dalam Malaysia ini kerana perkara ini akan melanggari prinsip kelima Rukun Negara “Kesopanan dan Kesusilaan”.

Walaupun pimpinan PAS tidak pernah menyatakan sokongan mereka terhadap kelima-lima prinsip Rukun Negara, perkara ini tidak bermakna yang rakyat Malaysia patut membiarkan pemimpin PAS untuk terus menerus mencabuli prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri