Takwim Parlimen perlu diubah untuk memberikan ruang untuk membahaskan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri susulan penurunan taraf kredit negara oleh Fitch sebelum Belanjawan 2021 diundi pada 16 Disember
Seruan daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya satu usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibentangkan patut disokong oleh semua Ahli Parlimen, termasuklah dalam kalangan Ahli Parlimen Perikatan Nasional, susulan daripada penurunan taraf kredit negara oleh agensi penarafan kredit Fitch.
Penurunan taraf kredit oleh Fitch ini tidak boleh diabaikan sebegitu sahaja oleh kerajaan dan Parlimen memandangkan kredibiliti dan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Kabinet gergasi beliau kini dipersoalkan dan hanya dapat diputuskan melalui satu undi percaya atau undi tidak percaya, supaya gelaran kerajaan pintu belakang yang diberikan kepada kerajaan Muhyiddin ini dapat ditinggalkan.
Amatlah malang sekiranya selepas 10 bulan berkuasa kerajaan Muhyiddin masih tidak berani untuk berhadapan dengan usul percaya atau usul tidak percaya untuk dibentangkan dan diundi di Parlimen. Berapa lama lagi rakyat Malaysia perlu menunggu?
Perbahasan dan undian terhadap kepercayaan Ahli Parlimen yang dimiliki oleh kerajaan ini lebih mendesak memandangkan penurunan taraf kredit oleh Fitch ini diterbitkan kira-kira sebulan selepas pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan perkara ini boleh dilihat sebagai satu undian tidak percaya daripada komuniti antarabangsa terhadap Belanjawan 2021.
Izinkan saya untuk bertanya kepada Muhyiddin, mengapakah beliau sangat takut untuk berhadapan dengan usul berkenaan kepercayaan terhadap beliau di Parlimen dan sama ada beliau takut kejadian yang berlaku di Perak pada minggu lepas -- di mana satu undi kepercayaan terhadap Menteri Besar Perak berakhir dengan penolakan terhadap Menteri Besar Perak -- mungkin berulang di Parlimen dan berakhir dengan penolakan beliau sebagai seorang Perdana Menteri?
Adakah pegangan Muhyiddin terhadap jawatan Perdana Menteri kelapan ini sebegitu rapuh sekali -- sehinggakan selepas satu undian tidak percaya komuniti antarabangsa melalui penurunan taraf kredit oleh Fitch, beliau tidak berani untuk berhadapan dengan undian kepercayaan terhadap kepimpinan beliau di Parlimen untuk menebus maruahnya?
Saya menyeru supaya takwim Parlimen untuk dipinda bagi membolehkan satu usul kepercayaan atau usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, susulan daripada penurunan taraf kredit oleh Fitch untuk dibahaskan sebelum bacaan kali ketiga dan terakhir untuk Belanjawan 2021 diundi pada 16 Disember ini.
Bagaimana takwim Parlimen ini patut dipinda untuk memberikan ruang untuk perkara ini patut ditentukan secara bersama oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang.
Kita tidak boleh terlalu terikat dengan perspektif badan agensi penarafan, memandangkan Malaysia dan seluruh dunia sedang berhadapan dengan wabak “sekali-dalam-seabad” Covid-19, yang terus meningkat dengan teruk selepas setahun, menjangkiti lebih daripada 68 juta orang dan mengorbankan lebih daripada 1.5 juta nyawa. Bulan yang akan datang ini dijangkakan akan mencatatkan angka yang lebih buruk walaupun kerja-kerja pembangunan vaksin terus berjalan dengan pantas.
Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga wabak Covid-19 yang serius yang berlaku akibat Pilihan Raya Negeri Sabah, mencatatkan 1,600 kes semalam.
Kita dijangka untuk mengatasi kedudukan China dari segi jumlah kes terkumpul sebelum berakhirnya sidang Parlimen semasa pada pertengahan bulan Disember -- yang merupakan satu perkara yang mengejutkan memandangkan China mempunyai sejumlah 1.4 bilion penduduk berbanding dengan 32 juta di Malaysia.
Kita sepatutnya mempunyai satu belanjawan yang luar biasa untuk waktu yang luar biasa, malangnya, belanjawan Tengku Zafrul adalah belanjawan yang teramat biasa pada satu waktu yang luar biasa.
Walaupun kita perlu bersedia untuk melakukan perkara-perkara luar biasa pada masa yang luar biasa ini untuk membantu nasib golongan memerlukan, seperti yang diperingkatkan oleh pakar ekonomi Malaysia yang terkenal K.S. Jomo kepada kerajaan, perkara ini bukanlah alasan untuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa berleluasa.
Pakar ekonomi seperti Terence Gomez juga telah memberikan amaran yang Malaysia sedang mensia-siakan usaha untuk mengstrukturkan semula ekonomi negara untuk mengatasi ketidakseimbangan struktur ekonomi kita.
Kritikan yang sah dan kredibel dalam Laporan Fitch harus diberi perhatian.
Malaysia perlu bersifat berani untuk menjalankan reformasi yang telah lama tertangguh, iaitu, konsolidasi fiskal dan lebih banyak fokus kepada ketelusan dan akauntabiliti.
Di antara baris-baris laporan ini, terdapat mesej tajam yang mempersoalkan strategi Belanjawan mengenai isu-isu “stimulus” yang tanpa reformasi dan cubaan untuk membelanjakan wang untuk keluar daripada masalah, dan persoalan mengenai kemampanan polisi untuk memberikan bantuan tunai dengan keadaan fiskal yang tidak mengizinkan.
Implikasi langsung yang berkaitan dengan penurunan taraf ini adalah a) ia akan mempengaruhi kos pinjaman oleh kerajaan Malaysia; b) bakal pelabur, asing dan domestik, akan berfikir dua kali untuk melabur di Malaysia.
Ringkasnya, kita menuju ke arah yang suram apabila berhadapan dengan kuasa pasaran.
Penting untuk diingati bahawa setakat ini tidak ada sebarang penurunan taraf kredit untuk negara-negara ASEAN yang lain.
Adakah kakistokrasi Muhyiddin ini mampu untuk menggerakkan reformasi yang menyakitkan tetapi amat diperlukan ini?
Persoalan-persoalan ini yang akan dibangkitkan dan dibahaskan dalam usul kepercayaan atau usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri susulan daripada penurunan taraf kredit negara kita oleh Fitch.