Adakah pimpinan PAS bersedia untuk menegur Sanusi Md Nor atas tindakan beliau mengeluarkan cacian bersifat perkauman yang biadab, tidak sensitif, dan tidak boleh diterima dalam satu masyarakat majmuk dengan analogi todi beliau terhadap pengkritiknya mengenai isu perobohan kuil?

Adakah pimpinan PAS bersedia untuk menegur tindakan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor yang mengeluarkan cacian bersifat perkauman yang biadab, tidak sensitif, dan tidak boleh diterima dalam satu masyarakat majmuk apabila beliau menggunakan perumpamaan “mabuk todi” terhadap pengkritik beliau mengenai isu perobohan kuil di Kuala Kedah?

Adakah pimpinan PAS kini tidak lagi mampu untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan, di antara perkara yang adil dan zalim?

Adakah para pimpinan PAS telah mencapai satu tahap di mana apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin PAS tidak boleh dianggap sebagai salah, kononnya hanya orang bukan Islam sahaja yang boleh melakukan kesalahan, seperti mana para pimpinan PAS telah mencabuli ajaran Islam dengan mengatakan para pengundi Muslim harus menyokong pemimpin Muslim yang korup berbanding dengan pemimpin bukan Islam yang bersih dan jujur?

Adakah pimpinan PAS bersetuju dengan pendirian Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Taoism (MCCBCHST) yang menyatakan kekecewaan mereka terhadap kenyataan Sanusi berkenaan dengan isu perobohan Kuil Hindu Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah?

MCCBCHST mengatakan yang kuil tersebut telah berada di tapak tersebut selama 50 tahun dan Menteri Besar Kedah sepatutnya mengadakan dialog untuk mencapai penyelesaian yang dapat dipersetujui bersama memandangkan Majlis Bandaraya Alor Setar telah mengetahui mengenai kewujudan kuil ini untuk sekian lamanya.

Mereka mengatakan mana-mana rumah ibadat yang telah dibenarkan untuk dibina dan tidak pernah dibantah tidak boleh dikira sebagai binaan haram, terutamanya memandangkan kuil tersebut telah dibina lebih daripada 50 tahun yang lalu.

Adakah PAS sedar akan hakikat yang Malaysia ini adalah sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum, bahasa, budaya, dan agama, dan semua pemimpin, sama ada di peringkat persekutuan mahu pun negeri, perlu mempunyai sifat peka dan sensitif kepada semua kaum, bahasa, budaya, dan agama dalam negara ini?

Adakah para pimpinan PAS menerima kelima-lima prinsip pembinaan negara seperti yang dimahsyurkan dalam Rukun Negara?

Para pimpinan PAS perlu menjelaskan mengapa mereka meletakkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak mampu menghormati dan menghargai kemajmukan budaya di Kedah dan Malaysia untuk menjadi Menteri Besar Kedah.

Tiga hari yang lepas, saya telah mengatakan episod biadab Sanusi ini sebagai salah satu daripada tiga “contoh terburuk kakistokrasi” dalam negara kita. Dan saya katakannya sebelum Sanusi melakukan satu tindakan yang lebih buruk dengan menggunakan perumpamaan “mabuk todi” terhadap pengkritik beliau.

Apakah tindakan para pimpinan PAS mengenai perkara ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri