Penurunan taraf oleh Fitch adalah satu bukti kegagalan Belanjawan 2021 Muhyiddin
Penurunan taraf kadar keingkaran pembayaran pinjaman asing jangka panjang (IDR) Fitch dari A- ke BBB + adalah satu bukti kegagalan Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz kepada Parlimen pada awal November.
Saya telah membaca kedua-dua Laporan Fitch dan kenyataan dari Menteri Kewangan.
Kenyataan tersebut adalah satu penafian yang menyedihkan -- kes yang dibentangkan tidak mempunyai kredibiliti memandangkan ia terus mengulangi angka dan dakwaan “seronok sendiri” seperti biasa.
Kenyataan tersebut gagal untuk menyentuh isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Fitch, mengenai pentadbiran yang lemah, rekod buruk rasuah, jumlah hasil yang rendah, peningkatan hutang dan jaminan kewangan, dan lain-lain lagi. Tidak ada satu pun daripada isu-isu berbangkit ini yang telah disentuh oleh Menteri Kewangan.
Kita tidak boleh terlalu terikat dengan perspektif badan agensi penarafan, memandangkan Malaysia dan seluruh dunia sedang berhadapan dengan wabak “sekali-dalam-seabad” Covid-19, yang terus meningkat dengan teruk selepas setahun, menjangkiti lebih daripada 67 juta orang dan mengorbankan lebih daripada 1.5 juta nyawa.
Tiga hari yang lepas, dunia mencatatkan rekod baharu peningkatan harian tertinggi sebanyak 688,333 kes, dengan Amerika Syarikat mencatatkan peningkatan tertinggi harian sebanyak 237,328 kes semalam.
Walaupun vaksin wabak Covid-19 dijangkakan akan mendapat kelulusan dan diedarkan dalam beberapa minggu lagi di seluruh dunia, vaksin ini mungkin tidak akan dapat membantu kadar jangkitan dan hospitalisasi di Amerika Syarikat, yang telah mencatatkan lebih daripada 15 juta kes jangkitan Covid-19 dan lebih daripada 287,000 kematian.
Apa yang mengejutkan kepada rakyat Malaysia adalah mesej Joe Biden dalam ucapan pertama beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari ini adalah untuk meminta rakyat Amerika untuk terus memakai pelitup muka selama 100 hari lagi.
Jumlah kes di seluruh dunia menghampiri kadar 67 juta kes jangkitan, dan kini angka ini sedang menghala ke arah 100 juta kes jangkitan terkumpul, yang mungkin akan dicapai menjelang hari ke-100 Joe Biden sebagai Presiden AS.
Kita perlu mempunyai belanjawan yang luar biasa untuk masa yang luar biasa, tetapi sayangnya belanjawan Tengku Zafrul adalah belanjawan yang sangat biasa pada suatu masa yang luar biasa.
Walaupun kita perlu bersedia untuk melakukan perkara-perkara luar biasa pada masa yang luar biasa ini untuk membantu nasib golongan memerlukan, seperti yang diperingkatkan oleh pakar ekonomi Malaysia yang terkenal K.S. Jomo kepada kerajaan, perkara ini bukanlah alasan untuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa berleluasa.
Kritikan yang sah dan kredibel dalam Laporan Fitch harus diberi perhatian.
Laporan Fitch menggunakan data dari sumber yang boleh dipercayai, termasuklah daripada Bank Dunia dan sebab-sebab penurunan taraf ini akan lebih sukar untuk ditangani kerana usaha-usaha reformasi yang diperlukan akan menjadi sukar memandangkan kerajaan sekarang yang goyah dan tidak berani.
Kerajaan ini tidak mempunyai kekuatan untuk melancarkan reformasi yang sudah lama tertangguh, seperti konsolidisasi fiskal, dan ketelusan serta kebertanggungjawaban yang lebih besar. Pendirian dasar kerajaan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan, jauh daripada memuaskan.
Laporan Fitch ini perlu dibaca dengan teliti. Di antara baris-baris laporan ini, terdapat mesej tajam yang mempersoalkan strategi Belanjawan mengenai isu-isu “stimulus” yang tanpa reformasi dan cubaan untuk membelanjakan wang untuk keluar daripada masalah, dan persoalan mengenai kemampanan polisi untuk memberikan bantuan tunai dengan keadaan fiskal yang tidak mengizinkan.
Agensi penarafan lain mungkin akan mengikuti langkah Fitch dalam menurunkan taraf kredit Malaysia.
Implikasi langsung yang berkaitan dengan penurunan taraf ini adalah a) ia akan mempengaruhi kos pinjaman oleh kerajaan Malaysia; b) bakal pelabur, asing dan domestik, akan berfikir dua kali untuk melabur di Malaysia.
Ringkasnya, kita menuju ke arah yang suram apabila berhadapan dengan kuasa pasaran.
Penting untuk diingati bahawa setakat ini tidak ada sebarang penurunan taraf kredit untuk negara-negara ASEAN yang lain.
Perkara ini akan melemahkan daya saing Malaysia. Perkara ini juga mempunyai implikasi dari segi hubungan luar negara kita, mungkin kita akan lebih cenderung untuk bergantung kepada China untuk mendapatkan pinjaman untuk membiayai projek berskala besar seperti yang disukai oleh kerajaan.
Kita juga mungkin akan melihat kesan kepada kadar pertukaran matawang asing, dengan ringgit terus menurun. Mungkin juga akan berlaku perlarian keluar modal daripada negara.
Reformasi yang menyakitkan jelas diperlukan, namun adakah kita akan mendapatnya daripada sebuah kakistokrasi?
Bahagian hasil Belanjawan 2021 ini perlu terus diteliti dan diberikan perhatian. Terdapat keperluan untuk memotong perbelanjaan -- di mana tidak ada sebarang keperluan untuk mempunyai Kabinet dengan 30 orang menteri ataupun peruntukan sebanyak RM81.5 juta untuk badan seperti JASA.
Kerajaan perlu menjalankan perkara ini sama ada secara sukarela ataupun akan dipaksa untuk berbuat demikian oleh IMF seperti yang berlaku kepada Indonesia pada tahun 1998.
Terdapat keperluan mendesak untuk melakukan Kajian Perbelanjaan Awam yang komprehensif untuk membentuk sistem fiskal yang lebih kukuh. Perkara ini perlu disertai dengan pengurangan peraturan dan proses untuk mewujudkan persekitaran yang mencegah rasuah.
Walaupun benar bahawa COVID-19 telah membawa kepada kerosakan ekonomi, hakikatnya adalah bahawa selama lebih daripada 20 tahun, kita telah mengalami defisit dan terus melakukan pinjaman.
Kita terus-menerus mengetatkan rejim penguatkuasaan dan gagal untuk menggalakkan persaingan. Kita bertindak seakan-akan tidak hari esok -- seakan-akan seorang penagih.
Kerana inilah reformasi fiskal ini menjadi isu yang lebih mendesak dan perlu disegerakan bersama-sama dengan pelbagai reformasi ekonomi yang lain. Persetujuan bipartisan dalam isu reformasi ini diperlukan untuk menarik negara kita daripada terhumban ke dalam gaung yang berbahaya.
Kita tidak dapat lari daripada hakikat yang penurunan taraf oleh Fitch adalah satu bukti kegagalan Belanjawan 2021 Muhyiddin.