Malaysia akan mengatasi China dengan lebih banyak jumlah kes Covid-19 terkumpul dalam tempoh dua minggu jika kes Covid-19 di Malaysia terus meningkat seperti dalam minggu lepas pada kadar purata 1,210 kes sehari

Malaysia akan mengatasi China dengan lebih banyak jumlah kes Covid-19 terkumpul dalam tempoh dua minggu jika kes Covid-19 di Malaysia terus meningkat seperti dalam minggu lepas pada kadar purata 1,210 kes sehari.

Malaysia, dengan 70,236 kes Covid-19 berada di tempat ke-82 di dunia, manakala China pula berada di tempat ke-75 dengan 86,585 kes.

Kini, kedudukan di antara Malaysia dan China hanya berbeza dengan tujuh tempat kedudukan, sebelum ini, pada 1 September kedua negara ini dipisahkan dengan lebih 60 kedudukan. Pada 1 September, China mencatatkan 85,058 kes Covid-19 sedangkan Malaysia hanya mencatatkan 9,534 kes.

Sejak kejadian gelombang ketiga Covid-19 yang disebabkan oleh Pilihan Raya Negeri Sabah, peningkatan mendadak kes Covid-19 telah menyebabkan semakin menghampiri kedudukan China (yang untuk tempoh dua bulan pertama penularan wabak ini, merupakan negara di kedudukan pertama dengan jumlah kes tertinggi di seluruh dunia) dalam carta jumlah kes tertinggi dunia, dan negara kita mungkin bakal mengatasi kedudukan China dalam tempoh kurang daripada dua minggu jika kita kekal dengan trajektori semasa.

Sudah tiba masanya untuk Malaysia mengkaji semula, di mana silapnya dengan strategi negara kita untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 ini, sehinggakan negara kita sedang berada dalam trajektori untuk mengatasi kedudukan China dalam jumlah kes terkumpul, sedangkan China mempunyai lebih daripada 40 kali ganda jumlah penduduk di Malaysia -- 1.4 bilion di China berbanding dengan 32 juta orang di Malaysia.

Indonesia, yang mempunyai 275 juta penduduk, mencatatkan sejumlah 563,680 kes Covid-19, yang membawa kepada purata kira-kira 2,052 kes Covid-19 per sejuta penduduk -- yang lebih rendah berbanding dengan kadar 2,158 kes per sejuta penduduk di Malaysia. China mencatatkan kira-kira 60 kes per sejuta penduduk.

Walaupun wabak Covid-19 di Malaysia ini suatu perkara yang serius, kita masih belum termasuk dalam liga 14 negara yang mencatatkan lebih daripada sejuta kes terkumpul, iaitu: Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, Perancis Sepanyol, United Kingdom, Itali, Argentina, Colombia, Jerman, Mexico, Poland dan Iran.

Amerika Syarikat mencatatkan kadar jangkitan yang amat tinggi, dengan 44,410 kes per sejuta penduduk, namun angka ini masih di belakang Qatar yang mencatatkan 49,734 kes per sejuta penduduk, Bahrain yang mencatatkan 50,753 kes per sejuta penduduk, dan Luxembourg yang mencatatkan 58,732 kes per sejuta penduduk.

Kini terdapat satu kegilaan untuk vaksin di seluruh dunia.

Walaupun vaksin wabak Covid-19 dijangkakan akan mendapat kelulusan dan diedarkan dalam beberapa minggu lagi di seluruh dunia, vaksin ini mungkin tidak akan dapat membantu kadar jangkitan dan hospitalisasi di Amerika Syarikat, yang telah mencatatkan lebih daripada 15 juta kes jangkitan Covid-19 dan lebih daripada 285,000 kematian.

Apa yang mengejutkan kepada rakyat Malaysia adalah mesej Joe Biden dalam ucapan pertama beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari ini adalah untuk meminta rakyat Amerika untuk terus memakai pelitup muka selama 100 hari lagi.

Jumlah kes di seluruh dunia telah melepasi paras 66 juta kes jangkitan, dan kini angka ini sedang menghala ke arah 100 juta kes jangkitan terkumpul, yang mungkin akan dicapai menjelang hari ke-100 Joe Biden sebagai Presiden AS.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri