Kakistokrasi terburuk di Malaysia -- tiga kejadian yang berlaku semalam, termasuklah keperluan melantik pemerhati kepada penghitung undi belah bahagian, yang menunjukkan Ahli Parlimen di negara kita tidak boleh dipercayai dengan tanggungjawab yang ringkas sekalipun

Semalam mencatatkan contoh kakistokrasi yang terburuk di Malaysia -- dengan tiga kejadian yang berlaku semalam, termasuklah keperluan melantik pemerhati kepada penghitung undi belah bahagian, yang menunjukkan Ahli Parlimen di negara kita tidak boleh dipercayai dengan tanggungjawab yang ringkas sekalipun.

Pelantikan ini semestinya menjadi rekod baharu dalam sejarah Parlimen Komanwel dan perkara ini memberikan mesej yang salah, pertama, bahawa Ahli Parlimen tidak boleh dipercayai untuk menjalankan tugas yang mudah; dan kedua, yang lebih serius, bahawa Ahli Parlimen tidak boleh dipercayai sama sekali!

Pelantikan pemerhati ini dibuat semata-mata untuk mengelakkan daripada perlu merujuk Ahli Parlimen UMNO Tasek Glugor, Shahbudin Yahya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana pelanggaran Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dengan tindakan melulu, cuai, dan tidak bertanggungjawab semasa menjalankan tanggungjawabnya sebagai penghitung undi dalam undi belah bahagian pada perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa pada hari Isnin yang lepas.

Shahbudin seharusnya digugurkan daripada menjadi penghitung undi di Parlimen, tetapi perkara ini jelas tidak berlaku memandangkan beliau masih lagi ditugaskan untuk menghitung undi dalam undi belah bahagian.

Parlimen perlu memberikan penjelasan kepada rakyat Malaysia, mengapakah Shahbudin masih lagi menjadi seorang penghitung undi sedangkan beliau telah dibuktikan tidak mampu untuk diberikan kepercayaan untuk menjalankan tugas mudah ini.

Apa yang perlu dilakukan oleh seorang penghitung undi menurut Peraturan Mesyuarat 47(1) adalah seperti berikut:

“Apabila belah bahagian telah diperintahkan, maka Penghitung undi hendaklah bertanya pada tiap-tiap ahli pihak mana hendak diundinya. Setiausaha hendaklah memasukkan undi masingmasing ahli itu dan nama ahli-ahli yang tidak mengundi dalam buku Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat.”

Apa yang perlu dilakukan oleh Shahbudin hanyalah untuk “bertanya pada tiap-tiap ahli pihak mana hendak diundinya” di mana Shahbudin diamanahkan untuk bertanggungjawab kepada 26 orang Ahli Parlimen dalam blok C.

Sekiranya beliau tidak mampu untuk menjalankan tugas semudah ini dalam kalangan 26 orang Ahli Parlimen, bagaimanakah beliau boleh layak untuk menjadi Ahli Parlimen?

Saya tidak bersetuju bahawa telah berlakunya kesilapan dalam mengira, memandangkan apa yang telah berlaku ini adalah satu penyalagunaan hak dan keistimewaan beliau sebagai seorang Ahli Parlimen, dan beliau sepatutnya digantung daripada jawatan Ahli Parlimennya.

Kes ini adalah satu contoh di mana penawarnya lebih teruk daripada penyakitnya, dalam cubaan untuk mengelakkan daripada merujuk Shahbudin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, semua Ahli Parlimen di Malaysia kini digambarkan sebagai tidak boleh dipercayai dan tidak kompeten.

Saya menyeru supaya sistem pemerhati ini dibatalkan dan untuk kita kembali kepada sistem seperti sebelum ini -- dan supaya Shahbudin dilucutkan daripada tanggungjawab menghitung undi.

Contoh kedua kakistokrasi dalam negara kita adalah dengan kenyataan tidak sensitif oleh kerajaan semalam terhadap hak golongan wanita dan kanak-kanak yang ditunjukkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said.

Dalam jawapannya semasa Waktu Pertanyaan di Parlimen semalam, Ismail memetik kebimbangan mengenai hal ehwal keselamatan negara dalam menafikan hak kewarganegaraan untuk anak-anak wanita rakyat Malaysia yang mengahwini pasangan warga asing.

Adakah Ismail sedar bahawa Malaysia tergolong dalam minoriti negara-negara di dunia di mana undang-undang kewarganegaraan tidak memberikan wanita hak yang sama dengan lelaki dalam memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka, yang menjadi penyebab ketiadaan kewarganegaraan dan menjadi kebimbangan bagi Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di bawah mandatnya untuk mencegah dan mengurangkan kes ketiadaan kewarganegaraan?

Tinjauan UNHCR mengenai undang-undang kewarganegaraan menunjukkan bahawa kesaksamaan antara lelaki dan wanita dalam hal berkaitan dengan hak pemberian kewarganegaraan kepada anak-anak belum tercapai di 27 negara di dunia, dan Malaysia adalah salah satu dari 27 negara ini.

Saya setuju bahawa kenyataan Ismail yang bersifat jahil dan tidak berfikiran panjang ini menunjukkan sikap yang tidak sensitif terhadap status wanita dan kanak-kanak di Malaysia, yang merupakan satu langkah besar ke belakang dalam perjuangan untuk kesaksamaan gender dan diskriminasi di Malaysia.

Dalam masyarakat moden yang progresif dan adil, semua warga negara perlu diberikan layanan yang saksama di hadapan undang-undang dan diberi hak yang sama untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka, tanpa mengira jantina.

Pada tahun 2010, menteri dalam negeri ketika itu, Hishammuddin Hussein mengatakan bahawa ibu-ibu Malaysia mempunyai hak yang sama dengan bapa Malaysia untuk menyerahkan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Mengapa Malaysia mundur ke belakang?

Adakah Ismail akan menarik balik kenyataannya dan meminta maaf atas kenyataannya yang tidak sensitif di Parlimen?

Contoh ketiga kakistokrasi yang teruk adalah perlantikan seorang “menusia jahil” sebagai Menteri Besar.

Bukan saya yang mengatakan perkara ini. Tetapi Presiden MIC dan mantan Yang di Pertuan Dewan Negara, S. Vigneswaran, yang membidas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd kerana mengatakan bahawa MIC perlu diharamkan jika parti tersebut didapati menghasut orang ramai untuk melanggar undang-undang -- merujuk kepada isu perobohan kuil dan kekurangan dana untuk tempat-tempat ibadat bukan Islam di negeri tersebut.

Vigneswaran berkata: “Inilah yang terjadi apabila orang yang jahil dipilih menjadi MB. Kita berhak bertanya kerana kebebasan beragama ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika mempertahankan hak masyarakat kita dapat dianggap sebagai hasutan, maka PAS harus diharamkan, jika dilihat dari jumlah demonstrasi yang mereka lakukan mengenai isu-isu antarabangsa dan dakwaan mengenai sesetengah daripada mereka yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pengganas.

“Inilah yang kita dapat apabila seseorang yang tidak matang menjadi MB. Adakah beliau lupa yang presiden partinya sebelum ini berjanji untuk tidak merobohkan mana-mana kuil?”

Sehubungan dengan itu, Menteri Besar Kedah harus memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai perobohan kuil berusia 80 tahun di hadapan stesen Alor Star pada bulan Julai tahun ini.

Kuil ini dibina pada zaman penjajahan sebelum sebahagian besar undang-undang Malaysia dikuatkuasakan.

Mengapa tapak alternatif tidak disediakan untuk kuil itu sebelum ia dirobohkan?

Adakah Tan Sri Muhyiddin bangga bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk sebuah kakistokrasi?

Apa langkah yang diambilnya untuk memastikan bahawa Malaysia tidak dihina di seluruh dunia sebagai sebuah kakistokrasi?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri