2020 adalah satu tahun yang amat memalukan untuk Parlimen Malaysia yang telah membazirkan sebegitu banyak masa untuk hal-hal remeh, dan bukannya terus maju ke arah reformasi parlimen seperti yang berlaku di parlimen-parlimen di negara Komanwel yang lain

2020 adalah satu tahun yang amat memalukan untuk Parlimen Malaysia yang telah membazirkan sebegitu banyak masa untuk hal-hal remeh, dan bukannya terus maju ke arah reformasi parlimen seperti yang berlaku di parlimen-parlimen di negara Komanwel yang lain.

Semalam sahaja, terdapat empat insiden yang sepatutnya membawa malu kepada mana-mana Ahli Parlimen yang bertanggungjawab dan mahukan reformasi.

Pertamanya, berkenaan tuduhan salah pengiraan undi belah bahagian Belanjawan 2021 untuk Kementerian Kewangan yang berlangsung pada hari Isnin lalu, di mana Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shahbudin Yahya yang bertindak sebagai penghitung undi belah bahagian bagi Blok C, didakwa telah secara tidak sengaja menandakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai bersetuju dalam senarai undi, sedangkan beliau tidak hadir semasa pengundian dibuat.

Tidak timbul soal salah kira sebenarnya. Shahbudin sebenarnya telah mengabaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya sebagai penghitung undi dalam pengiraan undi belah bahagian di Parlimen seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat 47 (1) yang berbunyi:

“Apabila belah bahagian telah diperintahkan, maka Penghitung undi hendaklah bertanya pada tiap-tiap ahli pihak mana hendak diundinya. Setiausaha hendaklah memasukkan undi masing-masing ahli itu dan nama ahli-ahli yang tidak mengundi dalam buku Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat.”

Sekiranya Shahbudin menjalankan tugasnya sebagai penghitung undi dengan "bertanya pada tiap-tiap ahli pihak mana hendak diundinya”, sudah tentu beliau tidak akan menandakan nama Nazri sebagai menyokong, kerana mantan Menteri itu tidak berada di dalam Dewan Rakyat ketika pengiraan undi dijalankan.

Shahbudin berlaku tidak jujur dalam penjelasannya kepada Dewan Rakyat, justeru beliau harus digantung tugas sebagai Ahli Parlimen kerana ketidakjujurannya kepada Parlimen.

Kedua, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin membuat isyarat tidak senonoh kepada Dewan Rakyat, menunjukkan jari tengahnya kepada Ahli Parlimen Pembangkang, dan kemudiannya menafikan dengan tidak jujur bahawa beliau telah menunjukkan sikap tidak senonoh seumpama itu.

Rakaman video prosiding Parlimen menjadi bukti bahawa Willie Mongin telah menunjukkan sikap tidak senonoh.

Willie harus digantung tugas sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen kerana tindakannya itu.

Ketiga, tindakan tidak bertanggungjawab Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang tidak menggulung sendiri perbahasan berkaitan peruntukan kementeriannya dalam Belanjawan 2021 walaupun beliau berada di Parlimen. Beliau hanya muncul di Dewan semasa sesi undi belah bahagi dijalankan untuk memastikan kelulusan peruntukan untuk Kementeriannya.

Inilah contoh terburuk kakistokrasi -- di mana seorang Menteri tidak berani bertentang mata dengan Ahli Parlimen untuk menjawab kritikan terhadap Kementeriannya.

Keempat, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, bahawa laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2019 tidak akan dibentangkan di Parlimen tahun ini, meskipun sejarah telah tercipta pada tahun lalu apabila laporan tahunan Suhakam julung kalinya dibahaskan di Parlimen pada 5 Disember 2019.

Pada 27 Oktober 1977, ketika menggulung perbahasan usul untuk memohon Parlimen meratifikasi Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966, saya mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Malaysia.

Dua dekad telah berlalu sejak Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Kita mungkin perlu menunggu dua dekad lagi untuk melihat laporan Suhakam dibentangkan sekali lagi di Parlimen.

Kini, kita kembali ke titik mula dengan mengabaikan laporan Suhakam seperti yang berlaku semasa zaman pentadbiran Barisan Nasional.

Takiyuddin ternyata memadamkan sinar kegembiraan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Othman Hashim yang dalam pembukaan perutusannya untuk laporan tahunan Suhakam 2019, menyatakan:

"Tahun 2019 adalah tahun istimewa untuk SUHAKAM, kerana SUHAKAM menyambut ulang tahunnya yang ke-20 pada 9 September dan menyaksikan perbahasan laporan tahunannya dibahaskan di Parlimen untuk julung-julung kalinya, satu peristiwa penting bagi SUHAKAM."

Kini, "tahun istimewa" untuk "peristiwa penting" terhenti setakat itu sahaja!

Saya mendesak Kabinet Muhyiddin untuk menarik balik keputusan Takiyuddin dan menetapkan bahawa laporan tahunan Suhakam harus dibahaskan di Parlimen setiap tahun, sekaligus menegaskan bahawa Malaysia akan tetap komited dalam perjuangan hak asasi manusia.

Parlimen mempunyai Yang di Pertua yang baharu yang mempunyai latar belakang yang memberikan harapan bahawa di bawah bimbingan dan kepimpinannya, Parlimen Malaysia akhirnya bakal mengikuti jejak langkah Parlimen di negara Komanwel lain untuk membawa agenda reformasi dan inovasi parlimen, tetapi perkara ini nampaknya hanya tinggal sebagai angan-angan.

Pada pertengahan 90-an, kita memimpin dunia dengan konsep Koridor Raya Multimedia, namun lebih dua dekad kemudian, ketika negara-negara lain terus maju dengan menjalankan sidang Parlimen maya, kita masih terus mencari pelbagai alasan untuk melaksanakan sidang Parlimen secara maya.

Adakah Parlimen Malaysia sedang bergerak maju atau mundur ke belakang?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri