Shahbudin Yahya patut digantung daripada jawatan Ahli Parlimennya memandangkan beliau telah mencabuli Peraturan Mesyuarat dan membawa malu kepada Parlimen

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shahbudin Yahya patut digantung daripada jawatan Ahli Parlimen beliau memandangkan beliau telah mencemarkan nama baik dan memalukan Parlimen dengan mencabuli Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Shahbudin adalah contoh buruk terkini rejim kakistokrasi, di mana mereka yang tidak berkelayakan menjawat jawatan kepimpinan negara.

Sama ada beliau tidak memahami bahasa mudah Peraturan Mesyuarat, atau beliau cuai dan tidak cermat dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya sebagai Penghitung Undi semasa belah bahagi diadakan, kedua-duanya menimbulkan persoalan terhadap kelayakan beliau untuk menjadi Ahli Parlimen.

Peraturan Mesyuarat 47(1) mengatakan:

“Apabila belahbahagian telah diperintahkan, maka Penghitung undi hendaklah bertanya pada tiap-tiap ahli pihak mana hendak diundinya. Setiausaha hendaklah memasukkan undi masing-masing ahli itu dan nama ahli-ahli yang tidak mengundi dalam buku Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat.”

Mana-mana pelajar sekolah yang mempunyai kecerdasan dan boleh membaca pastinya boleh memahami tanggungjawab yang diberikan kepada penghitung undi. Tetapi, jelas sekali yang Shahbudin tidak memahami tugasnya ini.

Shahbudin patut digugurkan serta-merta daripada tugas menghitung undi ini dan beliau perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat untuk menggantung kedudukan beliau sebagai seorang Ahli Parlimen.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri