Adakah Malaysia akan mengatasi China dengan lebih banyak kes Covid-19 terkumpul sebelum atau selepas tamatnya persidangan Parlimen sesi Belanjawan?

Menurut kajiselidik yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet, hari ini, 1 Disember, mencatatkan setahun sejak pesakit pertama Covid-19 direkodkan menunjukkan simptom wabak ini di Ibu Kota daerah Hubei, Wuhan.

Persoalan yang patut ditanyakan kita adalah sama ada Malaysia akan mengatasi China dengan lebih banyak kes Covid-19 terkumpul sebelum atau selepas tamatnya persidangan Parlimen sesi Belanjawan -- 17 Disember 2020 untuk Dewan Rakyat dan 23 Disember 2020 untuk negara?

Semasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak ini sebagai satu pandemik pada 11 Mac 2020, badan tersebut mengatakan sejumlah 118,000 kes di 114 buah negara telah dicatatkan, dengan 4,291 kematian.

Sebenarnya, jumlah kes terkumpul global pada 11 Mac 2020 telah pun mencecah paras 148,822 kes pada hari tersebut, dengan 80,793 kes di China, yang lebih banyak daripada kes-kes yang dicatatkan di luar China. Namun, menjelang keesokan harinya pada 12 Mac, jumlah kes Covid-19 di luar China (81,392) telah mengatasi jumlah kes di China (80,813).

Sepanyol adalah negara pertama yang mencatatkan lebih banyak kes terkumpul berbanding China pada 18 Mac, apabila negara tersebut mencatatkan sejumlah 81,179 kes berbanding dengan 80,928 kes yang dicatatkan di China.

Negara kedua yang mengatasi jumlah kes di China adalah Amerika Syarikat, pada 26 Mac, apabila negara tersebut mencatatkan 86,488 kes berbanding 81,394 kes di China.

Sejak daripada hari tersebut, kedudukan China terus merosot secara drastik, walaupun negara tersebut merupakan negara dengan jumlah kes tertinggi dalam tempoh tiga bulan terawal pandemik ini. Kini China berada di tempat ke-71 dengan 86,530 kes -- yang jauh berbeza dengan 12 negara yang mencatatkan lebih daripada sejuta kes, iaitu:

  1. Amerika Syarikat - 13.9 juta
  2. India - 9.5 juta
  3. Brazil - 6.3 juta
  4. Rusia - 2.3 juta
  5. Perancis - 2.2 juta
  6. Sepanyol - 1.7 juta
  7. United Kingdom - 1.6 juta
  8. Itali - 1.6 juta
  9. Argentina - 1.4 juta
  10. Colombia - 1.3 juta
  11. Mexico - 1.1 juta
  12. Jerman - 1.1 juta

Hari ini, sejumlah 65.3 juta kes dan sejumlah 1.5 juta kematian telah dicatatkan di seluruh dunia, dan wabak ini terus merebak.

Malaysia, yang berada di tempat ke-83 dengan 65,697 kes Covid-19 sedang merapati kedudukan China dengan pantas.

Jika China terus mencatatkan peningkatan rendah kes baharu dalam julat satu ke dua angka, dan Malaysia terus mencatatkan peningkatan harian dalam julat empat angka, negara kita bakal mengatasi kedudukan China sebelum berakhirnya persidangan Dewan Negara pada 23 Disember ini.

Jika Malaysia terus mencatatkan purata peningkatan harian seperti sebelum ini, kira-kira 1,305 kes sehari, negara kita akan mengatasi kedudukan China dalam masa 16 hari, sebelum sesi persidangan Dewan Rakyat berakhir pada 17 Disember.

Berbalik kepada deklarasi WHO yang mengisytiharkan Covid-19 sebagai satu pandemik, jelas sekali yang Kerajaan Malaysia telah gagal untuk bertindak dengan nasihat Setiausaha Agung WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus yang menggesa kerajaan untuk melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam usaha melawan Covid-19.

Hakikat di mana kita sebegitu hampir untuk mengatasi kedudukan China dengan lebih banyak jumlah jangkitan Covid-19 ini bukanlah satu benda yang baik untuk Kerajaan Malaysia!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri