Rakyat Malaysia di kawasan dusun durian di Pahang menyambut Hari Kebangsaan walaupun mereka menjadi sasaran pelbagai rancangan yang bertentangan dengan tema “Prihatin Rakyat” hari Kebangsaan dan dituduh sebagai menentang prinsip kedua Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Pada hari ini, 63 tahun yang lalu, semasa saya berada di dalam Tingkatan Tiga di Sekolah Tinggi Batu Pahat, para pelajar telah berkumpul di padang sekolah untuk mendengar Proklamasi Kemerdekaan yang dibacakan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur di mana beliau menamatkan perisytiharan tersebut: “mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Kami semua pulang ke rumah dengan bangga pada hari itu, membawa satu salinan Proklamasi Kemerdekaan dengan harapan yang tinggi untuk negara ini, sebuah negara yang tidak lagi terhad dalam potensi pencapaiannya.

Hari ini, 63 tahun kemudian, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam perutusan Hari Kebangsaan beliau mengatakan yang kerajaan akan menjadi “Prihatin Rakyat” sebagai prinsip utamanya dalam menentukan masa depan negara dan menjaga kebajikan rakyat.

Semalam, saya telah melawat kawasan dusun durian di Pahang semasa para pekebun durian ini sedang menyambut sambutan Hari Kebangsaan walaupun mereka sedang menjadi sasaran pelbagai rancangan yang bertentangan dengan tema “Prihatin Rakyat” Hari Kebangsaan tahun ini, dan pada masa yang sama cuba digambarkan sebagai melawan prinsip kedua Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Lawatan ini adalah acara awam pertama saya sejak beberapa bulan yang lepas, memandangkan saya dijangkiti chikungunya dan tidak beberapa sihat dan pergerakan saya terhad disebabkan kesakitan kepada sendi dan otot-otot dalam tempoh dua bulan yang lepas.

Namun saya berpendapat bahawa para pekebun durian ini merupakan mangsa terbaharu ketidakadilan yang bertentangan dengan tema “Prihatin Rakyat” Hari Kebangsaan tahun ini dan pada masa yang sama cuba digambarkan sebagai melawan prinsip kedua Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, dan saya percaya yang cerita mereka perlu didengari oleh semua rakyat Malaysia.

Kerana inilah dalam lawatan saya semalam, saya telah menyatakan harapan saya supaya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat melawat para pekebun durian ini dalam tempoh di antara Hari Kebangsaan (hari ini) dan Hari Malaysia, kerana kerajaan yang baik adalah yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Saya amat terkejut mendengar yang walaupun enam menteri dan timbalan menteri datang daripada Pahang, tidak ada seorang pun daripada mereka yang telah melawat para pekebun durian ini ataupun menunjukkan yang mereka peduli mengenai masalah yang dihadapi oleh para pekebun durian ini dalam tempoh dua bulan yang lepas.

Dalam perutusan Hari Kebangsaan ke-63 beliau, Muhyiddin menggesa supaya semua orang memupuk semangat mengambil berat antara satu sama lain.

Saya sokong penuh dan bersetuju dengan mesej Hari Kebangsaan Perdana Menteri ini. Marilah kita mula melaksanakan prinsip-prinsip tema Hari Kebangsaan ini dengan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para pekebun durian di Pahang ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri