Pertahankan kebebasan institusi-institusi negara seperti Parlimen, Badan Kehakiman, Polis, SPRM, Pejabat Pendakwa Raya, dan Jabatan Audit Negara sebagai langkah pertama dalam menegakkan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam perjuangan melawan wabak “Malu Apa” di Malaysia
Satu persoalan yang menghantui fikiran saya kebelakangan ini adalah sama ada Perlembagaan Malaysia yang mulanya diangkat sebagai asas pembinaan Persekutuan Tanah Melayu -- dan kemudiannya negara Malaysia -- pada tahun 1957 akan diterima dan diguna pakai jika ia dibentangkan di hadapan badan perundangan tertinggi negara hari ini.
Terdapat keraguan sama ada Perlembagaan 1957 ini akan diluluskan dan diguna pakai oleh badan perundangan tertinggi negara pada hari ini, kerana Perlembagaan ini dilihat dengan tidak senang oleh sesetengah pihak yang percaya bahawa walaupun perbuatan rasuah itu perlu dijauhi, seseorang tetap perlu menyokong seorang Muslim yang mengamalkan rasuah berbanding dengan seseorang bukan-Muslim yang bersih dan jujur sebagai pemimpin; begitu juga dalam kalangan mereka yang komited terhadap politik toksik yang menunggang sentimen perkauman dan keagamaan untuk memecah-belahkan dan melaga-lagakan rakyat Malaysia langsung menjunamkan negara kita ke arah sebuah negara yang kleptokratik, mengamalkan kakistrokrasi, dan menjadi sebuah negara yang gagal.
Pandangan bahawa seseorang pemimpin beragama Islam yang korup harus disokong berbanding dengan pemimpin bukan Islam yang bersih dan jujur ini bukan sahaja tidak masuk akal dan berlawanan dengan prinsip keadilan, perkara ini juga bertentangan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara yang dirumuskan berasaskan Perlembagaan -- untuk sebuah negara di mana rakyatnya percaya kepada Tuhan, setia kepada raja dan negara, komited terhadap keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan didorong dengan kesopanan dan kesusilaan.
Dalam tempoh tujuh bulan yang lepas, negara kita, seperti negara-negara lain di seluruh dunia, telah dilanda dengan wabak Covid-19. Namun kita juga berhadapan dengan satu lagi wabak lain yang telah membelenggu negara ini sejak dua tahun yang lepas -- kempen dan mentaliti “Malu Apa” yang tidak membezakan di antara kebenaran dan kebatilan, dan tidak langsung mengenali prinsip-prinsip keadilan, kebebasan, dan integriti. Sebuah kempen dan mentaliti yang hanya akan menarik Malaysia ke belakang, ke arah sebuah negara kleptokratik, kakistokratik, dan gagal.
Kita harus mengembalikan harapan dan impian rakyat untuk sebuah Malaysia yang lebih adil, bebas, dan lebih baik, seperti yang dijanjikan di dalam Perlembagaan dan dicitakan dalam Rukun Negara.
Sebagai langkah pertama, marilah kita bersama-sama mempertahankan kebebasan institusi-institusi negara seperti Parlimen, Badan Kehakiman, Polis, SPRM, Pejabat Pendakwa Raya, dan Jabatan Audit Negara, untuk menegakkan prinsip-prinsip seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara dalam perjuangan melawan wabak “Malu Apa” ini.
SPRM telah mula memanggil para pemimpin Pakatan Harapan untuk menyoal siasat mereka berkenaan dengan pendedahan Menteri Kewangan mengenai 101 projek rundingan terus yang bernilai sejumlah RM6.61 bilion yang berlaku dalam tempoh 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, pendedahan ini dibuat dengan niat untuk menunjukkan kononnya terdapat unsur rasuah dalam pentadbiran ini.
Mantan Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menunjukkan yang kerajaan Pakatan Harapan hanya bertanggungjawab terhadap 5.3 peratus daripada ke semua kontrak-kontrak rundingan terus yang didedahkan oleh Tengku Zafrul ini, memandangkan kebanyakan projek-projek ini adalah projek warisan (67.7 peratus) dan kontrak perbekalan dan perkhidmatan (26.5 peratus) kerajaan Barisan Nasional.
Projek KVDT2 adalah contoh terbesarnya.
Jika Tengku Zafrul dan Wee jujur dan ikhlas dalam niat mereka, mereka seharusnya memuji kerajaan Pakatan Harapan kerana berjaya menjimatkan negara kita sebanyak RM790 juta di dalam projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang dengan memotong nilai projek daripada RM5.625 bilion yang dipersetujui di bawah kerajaan Barisan Nasional sehari sebelum Parlimen dibubarkan pada Mac 2018 kepada RM4.475 bilion.
Kini Wee mengatakan yang angka ini masih terlalu mahal -- ia perlu dipotong lebih lanjut sebanyak RM1.867 bilion kepada RM3.398 bilion.
Wee merupakan seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri di dalam Kabinet Najib semasa kontrak KVDT2 yang bernilai RM5.265 bilion ini dipersetujui, adakah beliau membantahnya ketika itu?
Jika mantan menteri-menteri Pakatan Harapan dipanggil oleh SPRM untuk siasatan lanjut berdasarkan penipuan dan manipulasi fakta oleh Menteri Kewangan di Parlimen, adakah SPRM akan memanggil bukan sahaja mantan Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai, tetapi juga Wee untuk menyiasat kontrak KVDT2 yang bernilai RM5.265 bilion ini, terutamanya mengenai mengapa kontrak ini dipersetujui sehari sebelum Parlimen dibubarkan pada bulan Mac 2018?