Kemenangan besar UMNO dalam PRK Slim adalah kemenangan untuk kempen “Malu Apa?” yang berlawanan dengan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaa, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan seperti di dalam Rukun Negara
Kemenangan besar UMNO dalam PRK Slim adalah kemenangan untuk kempen “Malu Apa?” yang berlawanan dengan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaa, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan seperti di dalam Rukun Negara.
Perkara ini mengingatkan saya kepada dua kemenangan besar Barisan Nasional dalam dua pilihan raya kecil terakhir Parlimen ke-13, -- PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang berlangsung pada bulan Jun 2016.
Dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar tersebut, buat pertama kalinya Presiden UMNO mengalahkan Presiden PAS dalam mendakwa kononnya terdapat bantuan daripada tuhan yang membawa kepada kemenangan mereka.
Presiden UMNO dan Perdana Menteri semasa itu, Datuk Seri Najib Razak berkata yang beliau telah berdoa kepada Tuhan untuk memastikan sama ada beliau berada di jalan yang benar atau pun sama ada beliau telah terpesong, dan kemudiannya “kemenangan besar Barisan Nasional di Kuala Kangsar dan Sungai Besar ini merupakan jawapan Tuhan kepada doanya”. Najib berkata: “Saya tidak membalas kata-kata kasar. Saya hanya mahu menjalankan tugas. Saya berdoa kepada Allah, jika saya berada di jalan yang benar, maka tunjukkanlah. (Kemudian) Allah memberikan kami kemenangan besar melebihi jangkaan kami”.
Najib kini akan mendakwa yang kemenangan dalam PRK Slim ini adalah bukti yang beliau tidak bersalah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai di atas kesalahan pecah amanah dan salah guna kuasa terhadap beliau adalah salah.
Rakyat Malaysia harus mengingat kembali kejadian politik selepas dua kemenangan besar Barisan Nasional di Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini -- kejatuhan rejim Najib yang dilihat seakan-akan kebal dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
Walaupun perjalanan mereka yang ingin mempertahankan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam melawan kempen “Malu Apa” ini kelihatan sukar dan hampir mustahil, saya seru semua rakyat Malaysia yang mahu melihat sebuah Malaysia yang lebih baik untuk tidak menggunakan politik perkauman, keagamaan, ataupun kebencian, penipuan mahupun fitnah, dan untuk tidak berputus asa, tetapi untuk terus kekal kuat dan komited walaupun dengan kekalahan dalam PRK Slim ini.
Seperti mana ramai rakyat Malaysia yang tertanya-tanya mengenai masa depan Malaysia selepas dua kemenangan besar Najib dan BN pada bulan Jun 2016, kita tidak boleh berputus asa dan hilang harapan untuk sebuah Malaysia yang lebih baik.
Marilah kita merenung kembali, memandangkan kita sudah menempa perjalanan politik yang agak panjang.
Hanya 12 tahun yang lalu, sebelum PRU 2008, jika sesiapa pun bertanya sama ada kita akan dapat melihat perubahan dalam kerajaan Persekutuan, jawapannya pasti “Tidak”.
Namun begitu, tsunami politik Pilihan Raya Umum 2008 telah mengubah landskap politik negara, perkara yang sebelum ini “mustahil” dan “tidak dapat dibayangkan” kini berubah menjadi perkara yang “mungkin berlaku”, “boleh diusahakan”, dan “boleh dicapai”, dan persoalan perubahan kerajaan persekutuan berubah daripada persoalan “bolehkah” kepada “bila” dan “bagaimana”.
Pilihan Raya Umum 2013 diperjuangkan di atas platform perubahan Kerajaan Persekutuan, dan walaupun 53% pengundi telah mengundi untuk perubahan, mereka telah dinafikan kemenangan oleh sistem pilihan raya yang tidak demokratik yang telah membenarkan Najib untuk menjadi Perdana Menteri minoriti yang pertama dalam sejarah negara dengan memenangi 60 peratus kerusi Parlimen dengan 47% undi popular.
Pilihan Raya Umum 2018 menunjukkan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional yang berlaku secara aman dan demokratik yang disusuli dengan pembentukan kerajaan Pakatan Harapan.
Namun, dalam bulan Februari 2020, mandat demokratik rakyat yang diberikan dalam PRU14 ini telah dirompak oleh sebuah kerajaan pintu belakang melalui Langkah Sheraton.
Walaupun dengan segala halangan dan rintangan ini, kejadian-kejadian ini membuktikan yang sebuah Malaysia yang lebih baik bukanlah satu impian yang mustahil untuk dicapai, tetapi semua rakyat Malaysia haruslah bersedia untuk bersatu dan bekerjasama untuk memastikan kemenangan prinsip-prinsip Rukun Negara dan bukannya mentaliti “Malu Apa”.
Perkara ini harus menjadi cabaran dalam sambutan keraian bertiga -- Hari Merdeka, Hari Malaysia, dan Jubli Emas Rukun Negara -- untuk memastikan dalam setiap aspek kehidupan rakyat Malaysia, prinsip-prinsip Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan yang terkandung dalam Rukun Negara ini menang, dan bukannya mentaliti serta kempen “Malu Apa”.