Adakah SPRM akan menyiasat mantan Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai kerana meluluskan Fasa 2 projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) pada nilai RM5.265 bilion sedang Menteri Pengangkutan sekarang mengatakan yang projek ini bernilai RM3.398 bilion sahaja -- perbezaan sebanyak RM1.867 bilion?

Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan ke atas mantan Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai kerana meluluskan projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) pada nilai RM5.265 bilion sedangkan Menteri Pengangkutan semasa Wee Ka Siong mengatakan yang projek ini hanya memakan kos sebanyak RM3.398 bilion -- perbezaan sebanyak RM1.867 bilion?

Kerajaan Perikatan Nasional berhasrat untuk memerangkap mantan Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu langkah yang di rancang di Parlimen apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu Ahli Parlimen UMNO Pontian Ahmad Maslan yang terdapat 101 projek dengan nilai perolehan sebanyak RM6.61 bilion telah diluluskan melalui rundingan terus dalam tempoh 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Perkara ini diharapkan dapat memberikan gambaran yang terdapat unsur rasuah dalam pentadbiran tersebut -- yang kemudiannya disusuli dengan satu kenyataan media daripada pihak SPRM pada keesokan harinya yang agensi tersebut sedang mendapatkan maklumat daripada kementerian kewangan untuk menentukan jika terdapat sebarang unsur rasuah, penyelewengan, ataupun penyalahgunaan kuasa.

Guan Eng telah menyatakan yang kerajaan Pakatan Harapan hanya bertanggungjawab terhadap 5.3 peratus daripada kesemua projek rundingan terus yang bernilai RM6.6 bilion yang didedahkan oleh Tengku Zafrul itu. Memandangkan sejumlah besar daripada RM6.61 bilion ini diperbelanjakan untuk projek-projek legasi (67.7 peratus) dan kontrak-kontrak untuk perbekalan atau perkhidmatan (26.5 peratus) yang telah diluluskan dibawah kerajaan Barisan Nasional.

Projek KVDT2 ini adalah satu contohnya.

Jika Tengku Zafrul dan Wee jujur dan telus, mereka sepatutnya memuji kerajaan Pakatan Harapan yang berjaya menjimatkan sejumlah RM790 juta dalam projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 ini dengan memotong kos perjanjian bernilai RM5.265 bilion yang diluluskan sehari sebelum Parlimen dibubarkan untuk PRU14 kepada hanya RM4.475 bilion.

Sekarang, Wee cuba mengatakan yang angka ini masih terlalu mahal -- yang angka ini sepatutnya dipotong sebanyak RM1.867 bilion!

Bukankah Wee juga berada di dalam Kabinet BN yang meluluskan projek KVDT2 ini?

Adakah SPRM akan menyiasat bukan sahaja Liow, tetapi juga menyiasat Wee dan menteri-menteri lain termasuk Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak berkenaan mengapa kos KVDT2 ini bernilai RM5.265 bilion, dan terutamanya, mengapa projek ini diluluskan sehari sebelum Parlimen dibubarkan pada bulan Mac 2018?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri