“Jutaan maaf” Khairuddin tidak ikhlas langsung, malah merupakan satu tindakan yang oportunistik, di mana beliau kini mengatakan beliau tidak berbuat apa-apa kesalahan dalam melanggar SOP kuarantin Covid-19

Permohonan “jutaan kemaafan” Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali Sabtu lepas tidak kelihatan jujur langsung malah ianya kelihatan oportunistik apabila beliau kini mengatakan yang beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam melanggar SOP kuarantin Covid-19 semasa beliau pulang daripada Turki pada 7 Julai.

Beliau berkata: “ Saya tak buat salah melibatkan kerja, tetapi melibatkan kekhilafan dalam isu prosedur operasi standard (SOP).

"Sebenarnya saya tak nak buat keterangan panjang (berkenaannya) dan serahkan kepada polis, walaupun saya ada pandangan sendiri.

"Bagi saya (isu itu sudah) selesai, walaupun saya ada pandangan sendiri," katanya kepada pemberita di Slim River hari ini.”

Gaya Khairuddin dalam kempen pilihan raya kecil Slim semalam menunjukkan yang beliau kini sedar yang beliau tidak dapat disentuh sebagai seorang menteri, tanpa mengira apa-apa kesalahan yang dibuatnya. Semuanya hanyalah kerana kerajaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ini amatlah rapuh dan kerajaan ini akan tumbang jika Perdana Menteri cuba untuk mengamalkan prinsip di mana tiada sesiapa pun berada di atas sistem perundangan negara.

Akibatnya, Perdana Menteri hanya mampu mengatakan yang tiada sesiapa pun berada di luar keadilan sistem perundangan negara sedangkan seluruh rakyat Malaysia dapat melihat standard berbeza yang diamalkan oleh pemerintahan beliau.

Jika benar Khairuddin tidak ada berbuat kesilapan, mengapakah beliau mendermakan gajinya sebagai menteri kepada Tabung Dana Covid-19?

Perkara sebenarnya adalah, selepas sepuluh hari pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 oleh Khairuddin ini didedahkan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, kita masih belum dapat menerima gambaran penuh yang sebenarnya, misalnya mengenai benarkah Khairuddin mendapat kelulusan Perdana Menteri untuk membuat lawatan ini, berapa besarkah delegasi beliau, mengapa tidak ada seorang pun daripada mereka yang memakai gelang tangan merah jambu dan dikuarantin selama 14 hari, mengapa beliau menipu mengenai “ujian saringan khas” untuk para menteri dan kononnya Turki merupakan “negara zon hijau” semasa lawatan ini berlangsung, sedangkan Turki merupakan salah satu pusat penularan utama dunia sewaktu itu.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri