Amat menyedihkan melihat Rukun Negara menjadi mangsa terburuk dalam sambutan jubli emasnya
Sidang Parlimen yang baru berakhir semalam menunjukkan bagaimana para menteri Perikatan Nasional mempunyai serendah-rendah hormat terhadap Rukun Negara dan merupakan salah satu pencabul terbesar prinsip-prinsipnya.
Terdapat satu keperluan mendesak untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai makna dan tujuan kelima-lima prinsip Rukun Negara, bermula dengan Menteri-menteri Kabinet dan Ahli-ahli Parlimen.
Adakah semua Menteri Kabinet dan Ahli-ahli Parlimen bersedia untuk menyatakan sokongan dan komitmen mereka terhadap kelima-lima prinsip Rukun Negara ini?
Tidak ada gunanya kita memerlukan setiap pelajar di sekolah untuk menghafal prinsip-prinsip Rukun Negara setiap hari, apabila rakyat dapat melihat para menteri dan ahli-ahli Parlimen mencabuli prinsip-prinsip ini sewenang-wenangnya.
Jika para menteri kabinet berpegang kepada prinsip-prinsip Rukun Negara ini, perkara-perkara berikut pastinya tidak akan berlaku:
- Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menerbitkan 101 senarai projek runding terus yang bernilai RM6.61 bilion, dengan cubaan untuk mengatakan terdapat unsur rasuah dalam 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan. Sedangkan kerajaan PH sepatutnya dipuji kerana memenuhi Manifesto PRU14 untuk menggalakkan tender terbuka dan membanteras projek rundingan terus untuk projek kerajaan.
- Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengingkari SOP kuarantin Covid-19 selepas pulang bersama rombongan beliau daripada satu lawatan ke Turki pada 7 Julai, dan kemudiannya memberitahu beberapa penipuan seperti:
- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membenarkan lawatan ini diadakan;
- Terdapat satu “ujian saringan khas” untuk para Menteri dan VVIP yang perlu ke luar dan masuk negara yang mengecualikan mereka daripada kuarantin; dan
- Turki adalah sebuah “negara zon hijau” yang merupakan satu penipuan yang terang dan jelas memandangkan Turki pada waktu itu (dan masih lagi) merupakan satu pusat penularan utama wabak Covid-19.
- Menteri Industri dan Perdangangan Antarabangsa, Datuk Seri Azmin Ali yang membuat kenyataan tidak masuk akal yang kononnya negara kita bakal berhadapan dengan jauh lebih banyak kes Covid-19 dan kematian akibatnya di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Sedangkan perkara ini tidak boleh lebih jauh daripada kebenaran apabila kita lihat datanya. Di seluruh dunia, pelbagai negara sedang bersedia untuk menghadapi gelombang kedua wabak ini sedang di Malaysia pula, gelombang kedua ini telah berlaku di bawah kerajaan Perikatan Nasional dan kita semua hanya mampu berharap yang gelombang ketiga tidak akan melanda negara kita.
- Kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dalam cubaan untuk mempertahankan keputusan Perikatan Nasional yang menarik semula Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) ( No. 2) 2019 yang berkaitan dengan had dua penggal Perdana Menteri, kononnya penarikan semula ini berlaku kerana “perbezaan falsafah” -- suatu kenyataan yang amat mengejutkan daripada salah seorang arkitek utama kesilapan kerajaan Pakatan Harapan dalam cubaan meratifikasikan ICERD tanpa mempersediakan rakyat untuk memahaminya dahulu.
Namun begitu, dua “kejutan” hebat dalam menghina Rukun Negara ini berlaku di luar Parlimen (i) dakwaan Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki yang UMNO kini “lebih bersih” daripada Bersatu, selepas Bersatu dilanda skandal surat sokongan sebanyak dua kali dalam tempoh dua minggu dan (ii) seruan daripada Ketua Pemuda Bersatu yang baru dilantik, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, supaya sekolah vernakular dimansuhkan -- menunjukkan jalan pintas yang sering diambil oleh ahli politik di Malaysia adalah dengan menggunakan politik ekstremis dalam hal-hal perkauman dan keagamaan.
Dengan tamparan sehebat ini, mampukah Rukun Negara mengekalkan nilai, tujuan, dan kegunaannya dalam proses pembinaan negara? Inilah persoalan yang perlu dijawab oleh semua Menteri Kabinet kita.