Bagaimana seorang Menteri Kabinet menjadi pelarian daripada sistem undang-undang?

Dua hari lepas, Menteri Kanan Kluster Keselamatan Ismail Sabri Yaakob mengatakan yang beliau tidak pasti sama ada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali telah ke Turki secara berseorangan ataupun bersama dengan orang lain.

“Saya cuma tahu mengenai menteri tersebut. Jika ada orang lain yang mengikutinya, saya tidak pasti”, kata beliau dalam sidang media hariannya.

Kejadian di mana Menteri tersebut tidak mengetahui mengenai perkara ini adalah mengejutkan.

Bukankah Khairuddin telah melaporkan kepada Kabinet pada minggu lepas selepas Ahli Parlimen Seputeh Teresa kok di Parlimen pada hari Selasa lepas telah mendedahkan kejadian di mana Khairuddin dan rombongannya telah mengingkari SOP kuarantin Covid-19 sejurus selepas pulang daripada satu lawatan ke luar negara daripada Turki.

Sekiranya Khairuddin tidak melaporkan mengenai perkara ini kepada Kabinet sekalipun, takkanlah beliau dan menteri kabinet lain tidak meminta Khairuddin untuk melaporkan apa yang terjadi?

Adakah Malaysia mempunyai satu Kabinet yang tidak bijak di mana para menteri tidak berani untuk mengambil tahu hal ehwal menteri lain, walaupun perkara tersebut boleh merosakkan reputasi negara di mata dunia?

Adakah Ismail cuba mengatakan sehingga hari ini, tidak ada mana-mana menteri kabinet, termasuklah Perdana Menteri sendiri, yang tahu sama ada Khairuddin telah ke Turki berseorangan atau bersama dengan orang lain, dan siapakah “orang lain” ini?

Pihak Polis telah memanggil Khairuddin semalam untuk memberikan keterangan beliau berkenaan pengingkaran SOP ini.

Mengapa pihak Polis kelihatan lambat dalam mengendalikan kes ini, sedangkan seluruh negara telah diberitahu sejak minggu lepas lagi yang pihak Polis akan menyiasat perkara ini.

Jawapan perlu diberikan untuk menjawab persoalan bagaimana seorang Menteri Kabinet boleh menjadi pelarian daripada undang-undang.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri