Satu lagi tamparan besar di ambang sambutan Jubli Emas Rukunegara: Tengku Zafrul menyertai kelab Malu Apa Bossku

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz yang baru sahaja membawa satu tamparan besar kepada sambutan Jubli Emas Rukunegara dengan menyertai kempen Malu Apa Bossku.

Darjat Parlimen telah diturunkan kepada tahap sebuah pasar malam politik, sebuah tempat di mana helah politik dimainkan seperti pada hari Isnin lepas apabila Zafrul dalam menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, mengatakan yang terdapat 101 projek bernilai RM6.61 bilion telah pun diluluskan melalui rundingan terus di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional telah melompat gembira dan cuba untuk mengatakan perkara ini adalah bukti penyelewengan dan rasuah -- dengan seorang Ahli Parlimen kerajaan menambahkan lagi: “ Yang Berhormat Bagan cakap bersih, DAP bersih. Bersih macam mana pun, ada rundingan terus.”

Mantan Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng telah mencabar Tengku Zafrul untuk mendedahkan butiran 101 projek kerajaan bernilai RM6.61 bilion yang telah dianugerahkan oleh kerajaan Pakatan Harapan tanpa melalui proses tender terbuka ini.

Beliau mengatakan yang Tengku Zafrul mungkin berkeberatan untuk berbuat demikian kerana butiran ini mungkin akan mendedahkan Menteri Kabinet Perikatan Nasional yang dahulunya menggesa supaya kontrak-kontrak runding terus ini dianugerahkan.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah mencabar Tengku Zafrul di atas prinsip ketelusan untuk menerbitkan senarai penuh 101 projek-projek ini yang bernilai RM6.61 bilio yang didakwa diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh 22 bulan ia mentadbir, termasuklah nama mereka yang menerima kontrak ini, tanpa mengira siapa mereka.

Selepas menunjukkan keberanian di Parlimen pada hari Isnin dengan mendedahkan mengenai 101 projek yang bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan ini, mengapakah Menteri Kewangan kini kelihatan malu-malu kucing untuk mendedahkan senarai projek-projek ini, berserta dengan nama-nama penerima kontrak ini seperti yang digesa oleh mantan Perdana Menteri dan mantan Menteri Kewangan.

Jika Tengku Zafrul menjunjung prinsip-prinsip bertanggungjawab, telus, dan kedaulatan undang-undang seperti di dalam Rukunegara, beliau tidak sepatutnya menyertai Kelab Malu Apa Bossku. Sebaliknya beliau harus kembali ke Parlimen untuk membuat satu kenyataan menteri untuk mendedahkan senarai butiran 101 kontrak runding terus ini, bersama juga dengan maklumat rundingan terus di bawah kerajaan Perikatan Nasional dan juga rundingan terus di bawah kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu.

Guan Eng telah memetik 12 projek dalam tempoh lima tahun yang lepas, di antara tahun 2013 sehingga 2018 yang diluluskan secara rundingan terus dalam zaman pemerintahan Barisan Nasional yang bernilai RM139.336 bilion, dan senarai ini belum lagi menunjukkan gambaran keseluruhan jumlah kontrak runding terus di waktu itu.

Berapa banyakkah projek yang telah diluluskan oleh Zafrul dan berapakah nilainya sepanjang lima bulan beliau menjadi Menteri Kewangan? Mampukah beliau untuk berhadapan dengan penelitian awam?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayasia (SPRM) telah memberikan respons luar biasa yang amat pantas terhadap permainan politik Ahli-ahli Parlimen kerajaan ini. Badan tersebut telah mengumumkan yang ia akan mendapatkan senarai 101 projek runding terus yang bernilai RM6.61 bilion ini daripada Kementerian Kewangan untuk “siasatan lanjut” bagi menentukan sama ada terdapat sebarang unsur-unsur rasuah, penyelewengan, ataupun penyalahgunaan kuasa.

Adakah SPRM akan meminta dokumen-dokumen berkaitan dengan 12 projek yang bernilai RM139.336 bilion yang diluluskan di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dalam tahun 2013 sehingga 2018 seperti yang didedahkan oleh Guan Eng untuk menyiasat sama ada terdapat unsur-unsur rasuah, penyelewengan ataupun penyalahgunaan kuasa?

Adakah SPRM juga akan meminta butiran semua projek yang diluluskan tanpa melalui proses tender terbuka dalam tempoh sepanjang lima bulan Zafrul menjadi Menteri Kewangan, bersama-sama dengan semua projek runding terus lain dalam tempoh enam tahun di bawah kerajaan Barisan Nasional di antara tahun 2013 ke tahun 2018?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri