Seruan kepada Muhyiddin untuk menbentangkan dapatan penyiasatan dalaman Kementerian Kesihatan ke atas pengingkaran SOP Kuarantin Covid-19 Khairuddin

Pengakuan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengatakan pengurusan tinggi Kementeriannya tidak tahu mengenai skandal pengingkaran SOP kuarantin Covid-19 Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali agak mengejutkan.

Apa yang lebih menghairankan adalah penyiasatan dalaman terhadap beberapa kejadian selepas kepulangan Menteri tersebut daripada satu lawatan ke Turki pada 7 Julai telah disorok daripada pihak umum.

Dalam sidang media beliau semalam, Noor Hisham mengakui yang beliau, bersama dengan timbalan ketua pengarah kementeriannya dan ketua jabatan penyakit berjangkit, tidak diberitahu mengenai perkara ini sehinggalah ia diterbitkan di dalam berita.

Beliau berkata, beliau telah mengarahkan suatu siasatan dalaman untuk diadakan dan beliau telah pun menerima laporan penuh mengenai kejadian yang berlaku.

Khairuddin telah menempa beberapa rekod politik baharu kebelakangan ini -- termasuklah dengan mempunyai hampir 50,000 orang menandatangani satu petisyen atas talian yang mendesak beliau untuk meletakkan jawatannya sebagai seorang menteri.

Apabila pelanggar SOP kuarantin oleh Khairuddin didedahkan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di Parlimen pada Selasa lepas, perkara ini telah menimbulkan kemarahan di seluruh negara yang disebabkan oleh penyebaran maklumat yang salah oleh Khairuddin yang mendakwa kononnya lawatan beliau ini telah pun diluluskan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kononnya terdapat satu “ujian saringan khas” untuk para menteri, dan ahli-ahli VVIP bagi membolehkan mereka untuk ke luar dan masuk negara, dan kononnya Turki adalah sebuah “negara zon hijau” semasa tempoh lawatan beliau sedangkan negara tersebut merupakan salah satu daripada pusat penularan utama wabak Covid-19.

Disebabkan oleh semua perkara ini, satu petisyen atas talian telah dibuat untuk mendesak Khairuddin untuk meletakkan jawatannya sebagai menteri kabinet.

Petisyen ini mulanya mencatatkan sekitar 24,000 tandatangan sehinggalah perkembangan terkini diumumkan pada petang hari Sabtu yang lepas, di mana Kementerian Kesihatan mengakui yang Khairuddin telah pun mengingkari SOP kuarantin Covid-19 pada 7 Julai, bersama-sama dengan kenyataan daripada pihak kementerian yang mengatakan yang Khairuddin telah pun dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 pada 7 Ogos yang telah pun dibayar.

Kemarahan rakyat bertambah-tambah lagi selepas pengumuman ini.

Khairuddin jelas sekali tersilap dalam membaca perasaan dan sentimen rakyat apabila beliau mengeluarkan satu kenyataan memohon maaf dan “mendermakan” gajinya sebagai seorang Menteri bagi tempoh di antara Mei sehingga Ogos kepada Tabung Covid-19 -- seakan-akan wang mampu untuk menyelesaikan permasalahan di antara perkara yang betul dan yang salah, lebih-lebih lagi apabila perkara ini dilihat sebagai jurang perbezaan layanan yang berbeza di antara dua darjat rakyat Malaysia yang makin membesar.

Kenyataan Perdana Menteri yang dikeluarkan seminggu selepas segala dongeng daripada Khairuddin dan alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan jelas sekali tidak mencukupi untuk meredakan kemarahan rakyat Malaysia.

Apakah perkara yang cuba disorok oleh Muhyiddin dan kerajaan disebalik dapat penyiasatan dalam Kementerian Kesihatan ke atas pengingkaran SOP kuarantin Covid-19 Khairuddin ini?

Oleh itu, saya menyeru Muhyiddin untuk mendedahkan dapatan siasatan dalaman Kementerian Kesihatan ke atas pengingkaran Khairuddin ini bagi membolehkan rakyat menilai skandal keseluruhan skandal ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri