PRK Slim: Pertempuran mencari jiwa Malaysia -- di antara prinsip-prinsip Rukunegara dan “Malu Apa Bossku?”

Pilihan Raya Kecil Slim yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini, dengan pengundian awal yang berlangsung pada hari ini, bakal menjadi medan pertempuran mencari jiwa Malaysia -- pertempuran di antara prinsip-prinsip Rukunegara dan “Malu Apa Bossku?”.

Tidak mengejutkanlah Najib merupakan salah seorang pengempen utama di Slim, yang menggunakan PRK ini sebagai tempat uji kaji pertama kempen besar-besaran "Malu Apa Bossku?"

Telah terdapat 11 PRK, lima di peringkat Parlimen dan enam di peringkat Dewan Undangan Negeri sejak Pilihan Raya Umum bersejarah ke-14 pada 9 Mei 2018, yang telah membawa kepada pengakhiran pemerintahan Barisan Nasional dan UMNO untuk menyelamatkan negara kita daripada menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal. Namun PRK Slim yang bakal berlangsung pada hari Sabtu ini merupakan PRK pertama selepas bekas Perdana Menteri tersebut disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun berserta dengan denda sebanyak RM210 juta ke atas ketujuh-tujuh pendakwaan atas kesalahan penyalahgunaan dana SRC International yang bernilai RM42 juta yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Perdana Menteri tersebut telah berkempen dalam pilihan raya kecil pertama selepas PRU14 di Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018 dan beliau telah dituduh sebagai menjadi punca kekalahan UMNO di dalam PRK ini.

Akibat perkara ini, beliau telah mengelakkan daripada menghadiri kempen-kempen dalam PRK Balakong dan Seri Setia dan hanya hadir tanpa kempen besar-besaran dalam PRK Port Dickson.

Namun, kempen “Malu Apa Bossku” ini telah muncul buat pertama kalinya dalam PRK Cameron Highlands pada Januari 2019, seterusnya dilihat telah membawa kepada kemenangan UMNO dalam PRK Semenyih, Rantau, Tanjong Piai, Kimanis, dan Chini.

Kini, Najib kelihatan seakan-akan menggerakkan keseluruhan kempen PRK di Slim River dan kemenangan untuk UMNO di Slim akan dilihat sebagai kemenangan untuk kempen “Malu Apa Bossku” ini, dan kemenangan UMNO dalam PRK Slim ini kelihatan seperti sesuatu yang telah pun ditakdirkan.

Walaupun begitu, sebelum hari mengundi lagi kempen ini telah berjaya, dengan menarik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi PAS, Khairuddin Aman Razali, yang seakan-akan mengatakan “Malu Apa” terhadap skandal pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 selepas beliau pulang daripada lawatan ke luar negara di Turki di antara 3 -7 Julai untuk menyertainya.

Kini kelihatan seakan-akan Menteri PAS ini telah menyatakan tiga penipuan: bahawa lawatan beliau ke Turki itu adalah lawatan rasmi, kononnya lawatan ini telah dibenarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan kononnya Turki adalah negara zon hijau sedangkan negara tersebut adalah salah satu pusat penularan utama wabak Covid-19.

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan di dalam sidang media harian beliau hari ini yang beliau tidak pasti sama ada Khairuddin telah ke Turki secara seorang berseorangan ataupun dengan orang lain.

Perkara ini menunjukkan rasa tanggungjawab beliau sebagai seorang Menteri Kanan yang bertanggungjawab dalam memimpin negara dalam melawan wabak Covid-19 -- yang merupakan satu bentuk corak pemikiran “Malu Apa Bossku” dalam bentuk yang berlainan.

Apa yang ironinya adalah, kita berada di ambang sambutan Jubli Emas Rukunegara dengan kempen “Malu Apa Bossku” ini yang secara terang-terangan bertentangan dengan prinsip-prinsip “kedaulatan undang-undang” dan “kesopanan dan kesusilaan”.

Pada minggu lepas, mahkamah di Hawaii telah mendedahkan berjuta ringgit telah dibelanjakan oleh Jho Low untuk lawatan bekas Perdana Menteri Najib berjumpa dengan Donald Trump sebagai salah satu usaha untuk memaksa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk menggugurkan kes-kesnya yang berkaitan dengan pengubahan wang haram 1MDB dan penyelewengan wang bernilai berbilion dollar AS.

Kesenyapan kerajaan dan bekas Perdana Menteri tersebut mengenai pendedahan ini amatlah membingitkan.

Malu Apa Bossku!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri