Berdasarkan rekod beliau, besar kemungkinan yang kerajaan Pakatan Harapan dengan kepimpinan Dzulkefly akan dapat menguruskan wabak Covid-19 dengan lebih baik berbanding dengan kerajaan Perikatan Nasional
Kempen Perikatan Nasional dalam pilihan raya kecil Slim telah menunjukkan beberapa kejadian yang melampau yang menonjolkan kepada keperluan untuk suatu budaya politik baharu yang menjunjung kelima-lima prinsip Rukunegara dengan berpandukan kebenaran dan pertandingan adil.
Perkara terburuk setakat ini adalah kenyataan melampau daripada Menteri Kanan yang juga merangkap Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa bahawa negara kita akan mencatatkan lebih banyak kes Covid-19 di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Sedangkan perkara ini tidak mungkin betul sama sekali.
Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dengan Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan sebelum berlakunya Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020, sebelum negara kita dilanda gelombang kedua wabak Covid-19, negara kita mempunyai rekod yang cemerlang dalam melawan wabak ini.
Sebelum Langkah Sheraton, negara kita mencatatkan sejumlah 21 kes positif pada 15 Februari dengan sifar kematian akibat Covid-19 dan untuk tempoh selama sebelas hari di antara 16 sehingga 26 Februari, hanya terdapat satu kes dicatatkan, membawa jumlah keseluruhan kes dalam negara kepada 22 kes.
Rekod Covid-19 negara pada waktu itu (di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan) adalah antara yang terbaik di ASEAN, lebih baik berbanding Thailand. Pada 15 Februari, Thailand mencatatkan 35 kes, dengan sejumlah 40 kes menjelang 26 Februari -- pada kedua-dua tarikh, mencatatkan lebih banyak kes berbanding Malaysia.
Gelombang kedua wabak ini mula di negara kita di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional, dengan negara kita mencantas kedudukan Thailand pada 4 Mac, mencatatkan 40 kes terkumpul berbanding 43 di Thailand.
Semasa Kabinet PN dibentuk pada 7 Mac, negara kita mencatatkan sejumlah 93 kes positif, dengan peningkatan 10 kes dalam hari tersebut dan sifar kematian. Untuk perbandingan, Thailand mencatatkan 50 kes, dengan dua kes baharu dan satu kematian pada hari yang sama.
Apabila gelombang kedua wabak ini mencapai kemuncaknya pada 3 April 2020, ia telah mencatatkan sejumlah 3,333 kes dengan 53 kematian, berbanding dengan 1,978 kes di Thailand dengan 19 kematian.
Jurang ini terus melebar dan hari ini Malaysia mencatatkan 9,267 kes positif dengan sejumlah 125 kematian berbanding dengan sejumlah 3,397 kes positif dan 58 kematian di Thailand.
Dalam gelombang pertama penularan wabak ini di bawah kerajaan Pakatan Harapan, Malaysia mencatatkan rekod yang lebih baik berbanding dengan Thailand, sebuah negara yang mempunyai lebih daripada dua kali ganda jumlah penduduk berbanding Malaysia.
Namun, dalam gelombang kedua penularan wabak ini, yang berlaku di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional, keadaan ini kini terbalik dan Malaysia kini mencatatkan sejumlah 9,267 kes dengan 125 kematian berbanding dengan 3,397 kes dan 58 kematian yang dicatatkan di Thailand.
Adakah terdapatnya gelombang kedua penularan wabak Covid-19 di Malaysia?
Mari kita rujuk semula kepada Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali yang mengakui kepada akhbar The Malaysian Insight tiga minggu lalu pada 27 Julai 2020 yang Malaysia sedang melalui gelombang kedua penularan wabak Covid-19.
Beliau berkata: “Apa yang kita sedang lalui sejak Mac sehingga hari ini adalah gelombang kedua.”
Beliau mengatakan yang Malaysia telah melalui gelombang pertama wabak ini yang pendek pada akhir Januari, dengan kumpulan pertama pesakit yang datang daripada China, pusat penularan wabak tersebut.
Beliau mengatakan yang gelombang kedua wabak ini bermula pada bulan Mac, bulan yang sama perintah kawalan pergerakan mula dilaksanakan.
Perintah tersebut berkesan untuk mengekang penularan wabak ini langsung membolehkan kerajaan untuk “mendatarkan lekuk jangkitan”, kata beliau.
Selepas satu tempoh dengan kadar jangkitan yang rendah, wabak ini kelihatan telah kembali di beberapa lokasi dalam negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah mengatakan yang 120 kes baharu telah dilaporkan di antara 19 ke 25 Julai, namun dalam tempoh ini, hanya 33 kes baharu dicatatkan di Thailand!
Sudah semestinya, jika kita membandingkan Malaysia dengan negara seperti Amerika Syarikat dan negara-negara lain di Amerika Selatan, Eropah, Asia, Afrika, dan Timur Tengah, kita berada dalam keadaan yang jauh lebih baik -- namun jika dibandingkan dengan rekod di bawah pimpinan Dzulkefly dan kerajaan Pakatan Harapan, besar kemungkinan yang kerajaan PH akan dapat menguruskan pandemik ini dengan lebih baik berbanding dengan kerajaan Perikatan Nasional.
Kerana inilah penting untuk ahli politik daripada kerajaan Perikatan Nasional untuk tidak mencemarkan nama baik dan kecemerlangan profesional para petugas barisan hadapan negara, terutamanya usaha-usaha hero baharu negara, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang telah dianugerahkan darjah Tan Sri sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan kepimpinan beliau dalam melawan wabak Covid-19.
Janganlah kita cemarkan nama seorang Noor Hisham, semata-mata untuk menyelamatkan seorang menteri “air suam” ataupun seorang pengingkar SOP Covid-19.