Adakah Muhyiddin seorang Perdana Menteri yang teramat lemah sehinggakan beliau tidak berani untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Menteri Kabinet beliau sendiri yang tanpa segan silu telah melanggar dan mengabaikan arahan beliau

Kesunyian daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam beberapa hari ini amat membingitkan.

Skandal Menteri Kabinet yang melanggar SOP Covid-19 dengan tidak menjalani kuarantin selama 14 hari sejurus selepas pulang daripada lawatan selama lima hari di luar negara pada awal Julai lalu telah menimbulkan persoalan terhadap kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Adakah beliau terlalu lemah sebagai seorang Perdana Menteri sehingga beliau tidak mampu mendisiplinkan Menteri Kabinet beliau yang secara terang-terangan telah melanggar dan mengabaikan arahan beliau.

Empat hari telah pun berlalu sejak perkara ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Parlimen.

Gelagat yang ditunjukkan oleh Menteri berkenaan kelihatan serupa dengan apa yang dilakukan oleh seorang bekas Perdana Menteri yang terkenal dengan kempen “Malu Apa Bossku”!

Tidak ada sebarang penafian mengenai pelanggaran SOP Covid-19 oleh Menteri tersebut dalam tempoh masa empat hari yang lepas.

Beliau kelihatan seakan-akan tidak peduli terhadap kerosakan yang disebabkannya terhadap usaha-usaha anti-Covid-19 petugas barisan hadapan yang diketuai oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah -- yang baru-baru ini telah dianugerahkan darjah Tan Sri. Menteri tersebut juga kelihatan seakan-akan beliau tidak peduli kepada hakikat yang beliau telah menjadi suatu contoh yang buruk kepada generasi muda dengan menyalah gunakan kedudukan dan tidak dapat membezakan perkara yang baik dengan perkara yang buruk.

Tindakan beliau juga telah memperbodohkan sidang akhbar harian Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu perkembangan terkini mengenai berapa ramai individu yang telah ditahan dan dihukum kerana melanggar SOP Covid-19. Kini, sidang media harian ini hanya menjadi satu peringatan kepada kegagalan kerajaan untuk memastikan keadilan dan kesaksamaan dalam pelaksanaan SOP Covid-19, di mana rakyat biasa wajib mematuhi SOP tetapi pada masa yang sama golongan VVIP dan para menteri boleh melanggar SOP dengan sewenang-wenangnya.

Pada hari Khamis lalu, Menteri berkenaan telah mengatakan: “Tunggu kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)”.

Walaupun Timbalan Menteri Kesihatan semalam telah menyatakan tidak ada sebarang tindakan pilih kasih dalam menghukum mereka yang tidak mematuhi SOP Covid-19, termasuklah terhadap penjawat tinggi kerajaan, menteri “air suam” beliau terus berdiam diri.

Tindakan Menteri Kesihatan untuk tidak memberikan sebarang komen mengenai isu ini tidaklah mengejutkan, semestinya beliau lebih daripada rela untuk melepaskan tanggungjawab ini kepada Perdana Menteri sendiri.

Tetapi, beranikah Perdana Menteri kita mendisiplinkan Menterinya sendiri?

Maka perkara ini menjadi ujian sama ada kita sedang mempunyai Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah yang tidak mampu mahupun berani untuk mendisiplinkan Menterinya sendiri yang secara terang-terangan melawan arahannya!

Sekarang, Menteri tersebut sedang cuba untuk menyelamatkan dirinya, tanpa menyedari kesalahannya sendiri.

Beliau berkata, hakikat di mana beliau dibenarkan untuk hadir ke Istana pada 17 Ogos membuktikan yang beliau telahpun disahkan negatif daripada dijangkiti Covid-19, menunjukkan kegagalan beliau untuk memahami isu sebenar skandal ini -- di mana sejurus pulangnya beliau dari Turki pada 7 Julai, beliau bersama dengan ahli keluarganya gagal untuk menjalani kuarantin bermula daripada 7 Julai sehingga 21 Julai seperti yang diwajibkan mengikut SOP Covid-19.

Perkara ini membangkitkan pelbagai persoalan mengenai sama ada Menteri terbabit dapat membezakan di antara perkara yang betul dan salah dan sama ada beliau masih sesuai untuk menjadi seorang menteri kabinet.

Jelas sekali Menteri tersebut tidak akan memahami tindakan berikut:

  1. Peletakan jawatan Menteri Pertanian Ireland, Dara Calleary semalam akibat pelanggaran peraturan Covid-19. Dara Calleary telah menghadiri satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh kelab golf Parlimen Ireland bersama-sama dengan 80 tetamu yang lain, pada malam hari yang sama kerajaan Ireland memperketatkan undang-undang kawalan Covid-19 di seluruh negara untuk mengekang penularan wabak tersebut.
  2. Pada 3 Julai, Menteri Kesihatan New Zealand, David Clarke telah meletakkan jawatan selepas didapati melanggari peraturan kawalan pergerakan Covid-19.
  3. Pada awal Julai yang lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Ghana, Carlos Kingsley telah meletakkan jawatan selepas didapati melawat pejabat pendaftaran pengundi tanpa menghabiskan tempoh kuarantin kendiri beliau.
  4. Pada bulan Jun, Menteri Kesihatan Chile, Jaime Manalich telah meletakkan jawatan selepas berhadapan dengan kritikan daripada persatuan sivil dan barisan pembangkang berkenaan dengan pengendalian krisis koronavirus yang diuruskan beliau dalam negara tersebut.
  5. Pada bulan Mei di UK, Menteri di Jabatan Scotland, Douglas Ross telah meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap tindakan Perdana Menteri beliau, Boris Johnson yang enggan untuk membuang penasihat utama beliau, Dominic Cummings yang telah didapati melanggar peraturan kawalan pergerakan.
  6. Pada 4 Mei, Menteri Kesihatan Bahamas, Dr Duane Sands telah meletakkan jawatan selepas didapati melanggari protokol berkaitan Covid-19.

Adakah Menteri berkenaan bertanggungjawab terhadap tiga penipuan apabila beliau mendakwa yang lawatan beliau ke Turki itu telah pun mendapat kelulusan Perdana Menteri, bahawa beliau telah menjalani satu “ujian saringan khas” untuk Menteri, Timbalan Menteri dan penjawat tinggi kerajaan, dan bahawa Turki adalah sebuah “negara zon hijau” sedangkan dalam tempoh lima hari beliau berada di sana, lebih daripada 5,500 pesakit berada di dalam unit rawatan rapi, lebih daripada 2,000 orang memerlukan bantuan pernafasan, dan kadar jangkitan di negara tersebut melebihi empat angka?

Menteri berkenaan harus diingatkan yang negara kita bakal menyambut tiga keraian besar dalam masa terdekat -- Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, dan Ulang tahun ke-50 Rukunegara -- dan keberadaan beliau di dalam Kabinet boleh mencemarkan sambutan ini memandangkan beliau secara jelas sekali tidak menghormati dan telah pun mencabuli prinsip kelima Rukunegara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan!

Negara kita kini mencatatkan sejumlah 9,249 kes Covid-19 terkumpul -- meletakkan Malaysia di tempat ke-89 di seluruh dunia. Adakah Menteri ini menyokong usaha untuk memastikan negara kita kekal mencatatkan kurang daripada 10,000 kes menjelang sambutan tiga keraian yang akan berlangsung sehingga Hari Malaysia pada 16 September 2020?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri