Sambutan tiga keraian kebangsaan tahun ini dicemari oleh tindakan seorang Menteri yang secara terang-terangan menghina dan melanggar prinsip Rukunegara

Tiga keraian kebangsaan tahun ini -- Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, dan Ulang Tahun ke-50 Rukunegara -- telah dicemari dengan tindakan seorang Menteri yang secara terang-terangan menghina dan melanggar prinsip-prinsip Rukunegara.

Apakah pengajaran yang kita semua pelajari daripada berita mengejutkan di mana seorang Menteri Kabinet telah didapati tidak menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang daripada luar negara?

Selepas 63 tahun Merdeka, 57 tahun Malaysia ditubuhkan, dan 50 tahun Rukunegara mula diperkenalkan, pengajaran yang dapat kita pelajari daripada perkara yang mengejutkan ini adalah tidak ada kedaulatan undang-undang dalam negara ini memandangkan jelas sekali terdapat dua kelas yang berbeza dalam kalangan rakyat Malaysia -- iaitu rakyat biasa yang perlu mematuhi undang-undang dan golongan VVIP yang boleh sewenang-wenangnya melanggar undang-undang negara.

Alasan yang diberikan untuk perkara ini amatlah tidak boleh diterima -- alasan pertamanya ialah Menteri tersebut telah menjalani ujian saringan khas Covid-19 pada 7 Julai sejurus selepas pulang ke Malaysia daripada satu lawatan ke Turki yang berlangsung di antara 3 - 7 Julai, sedangkan rakyat Malaysia yang pulang daripada luar negara dalam tempoh tersebut terpaksa menjalani kuarantin selama 14 hari; alasan kedua yang diberikan pula adalah lawatan tersebut telahpun diluluskan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kononnya negara Turki dikategorikan sebagai sebuah “negara zon hijau”.

Perdana Menteri perlulah menjelaskan kepada semua rakyat Malaysia sebab-sebab beliau memberikan kelulusan kepada Menteri berkenaan untuk melawat negara Turki, yang kemudiannya telah melanggar SOP Covid-19 serta menyatakan siapakah yang telah mengisytiharkan Turki sebagai negara “negara zon hijau” -- adakah perisytiharan ini dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kerajaan Turki, ataupun Kabinet Malaysia?

Wabak Covid-19 ini disahkan menular di negara Turki pada 11 Mac 2020, pada hari yang sama wabak ini diumumkan sebagai suatu pandemik oleh WHO. Kematian pertama akibat Covid-19 di Turki direkodkan pada 15 Mac 2020 dan menjelang 1 April 2020, wabak ini telah disahkan menular ke keseluruhan wilayah di dalam negara tersebut.

Semasa Menteri daripada Malaysia tersebut melawat Turki selama lima hari pada bulan Julai yang lalu, negara tersebut berhadapan dengan lebih daripada 1,000 kes positif baharu setiap hari, dengan jumlah kes terkumpul yang melebihi paras 200,000 kes.

Pada 19 April 2020, jumlah kes yang disahkan di Turki telah pun melepasi paras yang dicatatkan di Iran, membuatkannya sebagai sebuah negara yang paling terjejas dari segi jumlah kes terkumpul di Timur Tengah. Jumlah kes terkumpul di Turki juga telah melepasi rekod yang dicatat oleh China pada 20 April.

Data terkini negara tersebut merekodkan sebanyak 253,108 kes Covid-19 dengan 6,039 kematian dan Turki kini dikira sebagai salah satu daripada 10 negara Asia dengan jumlah kes tertinggi. Sejak bila pula Turki dikira sebagai sebuah “negara zon hijau” dan siapakah yang mengisytiharkan perkara ini?

Jika Menteri terbabit dan/atau kerajaan boleh menipu mengenai situasi semasa Covid-19 di Turki, perkara ini menjadi perkara yang paling ironi dalam sambutan Jubli Emas Rukunegara, di mana prinsip kelimanya adalah “Kesopanan dan Kesusilaan”!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri