Malaysia boleh diselamatkan oleh kombinasi tenaga dan komitmen daripada golongan muda, wanita, dan warga emas di Malaysia

Ramai rakyat Malaysia telah berfikir mengenai persoalan “Siapakah yang dapat menyelamatkan Malaysia.”

Saya percaya, jawapannya bukanlah Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Gobind Singh Deo, ataupun M Kulasegana, tetapo sama ada kita dapat memotivasikan dan menggerakkan golongan muda, wanita, dan warga emas dalam negara dengan mengumpulkan tenaga serta komitmen mereka untuk menyelamatkan Malaysia.

Adakah impian Malaysia Baharu -- untuk sebuah negara yang bersatu-padu, demokratik, adil, progressif, dan makmur, sebuah negara yang bertaraf dunia, yang berjaya menggembeleng nilai-nilai terbaik daripada kepelbagaian kaum, bahasa, dan budaya yang bertemu di dalam negara ini untuk mendapatkan perhormatan daripada seluruh dunia sebagai sebuah negara yang berjaya dan mendahului dunia dengan perpaduan, demokrasi, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti, bukannya dipandang hina sebagai sebuah kleptokrasi global dan sebuah kakistokrasi yang sedang menjunam ke arah masa depan sebuah negara yang gagal.

Kita semua berjaya menjadikan perkara yang dianggap hampir mustahil pada 9 Mei 2018 dengan menumbangkan Barisan Nasional yang dipimpin UMNO dalam usaha mengejar impian Malaysia ini.

Tetapi, 22 bulan kemudian, melalui konspirasi Langkah Sheraton, kerajaan Pakatan Harapan telah ditumbangkan, memberikan ruang untuk penubuhan sebuah kerajaan pintu belakang.

Adakah impian untuk sebuah Malaysia Baharu ini telah hilang selama-lamanya dan kita semua telah disumpah untuk kekal sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal?

Saya tidak merasakan begitu.

Mereka yang menentang Impian Malaysia ini menggunakan politik toksik yang berasaskan penipuan, fitnah, dan menakut-nakutkan dengan menyalahgunakan isu-isu perkauman dan keagamaan untuk menghasut emosi kemarahan dan kerisauan, untuk melaga-lagakan satu kaum dan agama dengan yang lain.

Sebagai contoh, saya telah dituduh bersama-sama dengan para pemimpin DAP yang lain sebagai satu ancaman terbesar terhadap orang Melayu, agama Islam, dan institusi Raja-raja Melayu, sedangkan DAP telahpun menyatakan sokongannya terhadap sistem beraja dan prinsip-prinsip utama perlembagaan berkenaan bahasa Melayu dan agama Islam sepanjang lima dekad yang lepas.

Tetapi apa yang ironinya adalah apabila di dalam 22 bulan kewujudan kerajaan Pakatan Harapan, saya telah dituduh oleh tentera siber UMNO, PAS, dan MCA sebagai satu ancaman terhadap kedua-dua komuniti Melayu dan Cina di Malaysia -- walaupun seseorang yang waras dan tenang akan menyedari kemustahilan situasi ini.

Tetapi apabila komuniti Melayu, orang Islam, bukan-Melayu, dan bukan-Islam semua telah merasakan mereka terancam, tidak ada sesiapa pun yang dapat berfikir dengan waras.

Sebagai contohnya, saya telah dituduh dilahirkan di negeri China dan datang ke Malaysia semasa saya berumur 17 tahun, dan pada masa yang sama merupakan saudara dekat Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng, sedangkan semua perkara ini adalah penipuan semata-mata.

Pada hari Jumaat, saya telah melawat rumah lama saya di No. 24 Jalan Penggaram di Batu Pahat, di mana saya telah membesar pada zaman-zaman persekolahan rendah dan menengah saya, yang telah saya tinggalkan enam puluh tahun yang lalu.

Tetapi fakta dan kebenaran tidak penting kepada tentera siber yang menyebarkan penipuan, fitnah, dan kebencian. Namun kita tidak boleh jatuh kepada paras yang jijik seperti mereka ini dan apa yang lebih penting lagi, kita harus memastikan rakyat Malaysia tidak tertipu dengan penipuan, fitnah, dan kebencian yang mereka cuba tanamkan dalam pemikiran kita semua.

Sekarang adalah masanya untuk menyemak semula, apakah yang tersilap dalam 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam seratus hari pertama Pakatan Harapan pada tahun 2018, tidak ada sebarang perkara yang dibuatnya dilihat salah. Selepas itu, segala perkara yang dibuatnya pula dilihat sebagai salah.

Mengapa?

Terdapat beberapa sebab.

Pertamanya ialah euforia dan harapan yang amat tinggi sejurus selepas kemenangan dalam pilihan raya umum yang pertama dalam sejarah negara, walaupun beberapa kesilapan yang amat besar telah dilakukan oleh Pakatan Harapan dalam tempoh beberapa bulan tersebut.

Saya tidak pernah menjangkakan yang Pakatan Harapan akan berjaya untuk menumbangkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 9 Mei 2018.

Tetapi, benih-benih kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan telah pun ditanam seawal seratus sehari pertama pentadbiran kerajaan baharu ini.

Satu kesilapan besar terawal yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan adalah keputusan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan semua bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) tanpa mempersiap-sediakan rakyat untuk menerimanya.

Perkara ini datang sebagai kejutan kepada para pemimpin DAP dan saya apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan di dalam ucapan beliau di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada bulan September 2018 yang kerajaan berhasrat untuk meratifikasi semua konvensyen-konvesyen utama PBB yang berkaitan dengan hak asasi manusia.

Perkara ini kemudiannya disusuli dengan pengumuman yang kerajaan berhasrat untuk meratifikasi ICERD menjelang suku pertama tahun 2019.

Perkara ini telah memberikan peluru kepada pimpinan UMNO dan PAS untuk melancarkan serangan dengan memainkan isu keagamaan dan perkauman, yang kononnya perkara ini bertentangan dengan perlembagaan negara, kononnya perkara ini akan menghakis keistimewaan orang Melayu, dan menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, langsung mencipta satu ilusi yang kononnya terdapat pergolakan perkauman dan keagamaan dalam negara.

Presiden PAS semasa itu mendakwa yang rancangan untuk meratifikasi konvensyen ini tidak diasaskan kepada lunas agama dan kemanusiaan dan menggesa rakyat untuk tidak terpengaruh dengan negara barat yang telah mengabaikan “agama dan etika sebenar kemanusiaan”.

Tidak ada sekelumit pun kebenaran dalam semua penipuan dan penyelewengan ini.

Sejumlah 179 buah negara, yang merangkumi hampir 99% populasi 1.8 bilion orang Islam di seluruh dunia telah pun meratifikasi ICERD -- termasuklah 55 daripada 57 negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Dalam setengah abad yang lepas, tidak ada satu pun komuniti mahupun agama yang telah terjejas akibat ratifikasi ICERD.

Selain daripada Malaysia dan Brunei, 36 daripada 38 negara dengan sistem beraja telah pun meratifikasi ICERD, dan tidak ada satu pun daripada 36 negara ini telah menghapuskan sistem berajanya akibat proses ratifikasi ICERD. Di antara negara-negara ini adalah; United Kingdom, Thailand, Arab Saudi, Jordan, Jepun, Belanda, Norway, Denmark, dan Sweden.

Jika ICERD ini merupakan satu ancaman yang amat teruk terhadap kepentingan orang Melayu, agama Islam, dan Raja-raja Melayu, para pemimpin DAP semestinya tidak akan menyokongnya, malah, semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum, agama, mahupun kawasan akan membantahnya.

Namun, pengamal politik toksik yang mempergunakan penipuan, fitnah, dan isu-isu perkauman serta keagamaan secara berterusan cuba untuk menghasut emosi, sehinggakan mereka memberikan amaran yang orang Melayu mungkin akan mengamuk dan “rindu 13 Mei”.

Saya berani mengatakan yang selepas enam dekad berlakunya peristiwa gelap 13 Mei 1969, tidak ada mana-mana rakyat Malaysia yang mahu negara ini meratifikasikan ICERD jika harganya adalah satu lagi rusuhan perkauman seperti 13 Mei.

Tetapi, pusingan-U kerajaan mengenai keputusan ratifikasi ini datang terlalu lewat dan langsung tidak efektif untuk menenangkan ribut perkauman dan keagamaan yang diwujudkan untuk menguatkan sokongan kepada UMNO dan PAS dalam kalangan orang Melayu dan Islam -- yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Dua perkara yang paling ironi dalam kesemua kejadian ini adalah:

  1. arkitek utama kekecohan isu ICERD kini menjawat jawatan menteri utama di dalam kerajaan yang dibentuk selepas pengkhianatan pintu belakang Langkah Sheraton ini. Malah beliau adalah antara mereka yang terawal yang bercakap mengenai usaha-usaha “daulah terpendam” dalam mensabotaj rancangan dan objektif kerajaan Pakatan Harapan.
  2. DAP dipersalahkan kononnya mendesak kerajaan meratifikasi ICERD, sedangkan pada hakikatnya para menteri dan pimpinan DAP tidak mengetahui apa-apa mengenainya.

Kemudiannya, kita menyaksikan pemergian tragis petugas bomba Muhammad Adib Mohd Kassim semasa Rusuhan Kuil Seafield pada 26 November 2018, yang kemudiannya dieksploitasi sepenuhnya oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang sedang mencuba untuk menyebabkan kekecohan dalam negara dengan menggunakan penipuan, fitnah, dan menyebarkan ketakutan menggunakan isu-isu perkauman dan keagamaan.

Selebihnya tinggal sejarah.

Terdapat mereka yang menjangkakan kemusnahan DAP di dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Tetapi sambutan luar biasa terhadap kempen kutipan derma “RM10 seorang” untuk menampung kos ikat jamin Lim Guan Eng dan Betty Chew yang mencecah RM3,947,000 apabila kempen tersebut ditutup pada tengah malam jumaat lepas menjadi bukti yang berlawanan kepada jangkaan ini.

Namun begitu, kita tidak boleh berasa selesa.

DAP dan Malaysia kini berada di satu persimpangan.

Sama ada DAP melupakan Impian Malaysia ini dan kembali kepada politik lama di mana DAP digambarkan oleh lawannya sebagai sebuah parti yang hanya mewakili bukan-Melayu, ataupun kita bergerak ke hadapan dengan berani dalam usaha untuk mengejar impian Malaysia ini, dengan menolak politik perkauman dan keagamaan dan mewakili semua rakyat Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih demokratik, adil, dan cemerlang untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama, mahupun kawasan.

Masa depan Malaysia kini berada di tangan golongan muda, wanita, dan warga emas negara kita. Hampir 17% rakyat Malaysia berada di dalam kumpulan umur 15-24 tahun, manakala kumpulan warga emas berusia lebih daripada 55 tahun pula mewakili hampir 15 peratus penduduk negara. Separuh daripada rakyat Malaysia pula adalah wanita.

Jika kita dapat menggembeleng tenaga dan aspirai golongan muda, warga emas, dan wanita di Malaysia ini, maka impian untuk sebuah Malaysia Baharu ini belum lagi terpadam.

Inilah cabaran baharu yang dihadapi oleh DAP dan semua rakyat Malaysia untuk tahun mendatang.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri