Adakah Perdana Menteri atau Menteri Kesihatan akan memastikan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 ditubuhkan dalam persidangan semasa Parlimen untuk mengikuti perkembangan terkini krisis kesihatan awam, ekonomi, serta pembinaan negara semasa yang dibawa wabak ini?

Sekitar jam 7 pagi waktu Malaysia hari ini, jumlah kes terkumpul Covid-19 seluruh dunia telah melepasi paras 20 juta jangkitan.

Semasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Covid-19 sebagai satu pandemik pada 11 Mac 2020, terdapat sejumlah 118,000 kes Covid-19 di 114 buah negara, dengan sejumlah 4,291 nyawa terkorban.

Lima bulan selepas WHO mengumumkan wabak ini sebagai pandemik, kini terdapat 24 buah negara yang mencatatkan lebih daripada 118,000 kes positif, didahului oleh Amerika Syarikat dengan lebih daripada 5 juta kes, diikuti oleh Brazil dengan lebih daripada 3 juta kes, dan India dengan lebih daripada 2 juta kes. Wabak ini telah tersebar ke 220 negara di seluruh dunia, dengan jumlah korban global mencapai hampir tiga per empat juta, kira-kira 170 kali ganda kadar kematian lima bulan lepas.

Baru-baru ini, WHO telah memberikan amaran yang wabak koronavirus ini mungkin berlanjutan lama selepas jawatankuasa kecemasannya bermesyuarat untuk mempertimbangkan impak wabak ini selepas enam bulan diisytiharkan sebagai satu pandemik. WHO juga memberikan amaran mengenai “kelesuan tindak balas” memandangkan kadar tekanan sosio-ekonomi yang dihadapi oleh pelbagai negara.

Keutamaan tertinggi untuk negara kita dalam berhadapan dengan krisis kesihatan “sekali seumur hidup” ini adalah untuk memastikan rakyat dalam negara kita dapat belajar untuk hidup bersama dengan virus ini untuk mengatasi krisis kesihatan awam, ekonomi, dan pembinaan negara yang dibawanya.

Parlimen Malaysia perlu menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 sesegera yang mungkin bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen untuk mengikuti dan meneliti perkembangan terkini krisis Covid-19.

Persoalannya sekarang, adakah Perdana Menteri ataupun Menteri Kesihatan bersedia untuk menjadikan perkara ini satu keutamaan dengan memastikan Jawatankuasa Pilihan Khas ini ditubuhkan dalam persidangan Parlimen semasa.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri