Seruan kepada semua rakyat Malaysia untuk bersatu padu dan kembali berazam dan berjuang semula untuk mengembalikan maruah dan kesusilaan dalam sebuah Malaysia Baharu yang berteraskan perpaduan, demokrasi, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti
Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk untuk bersatu padu dan kembali berazam dan berjuang semula untuk mengembalikan maruah dan kesusilaan dalam sebuah Malaysia Baharu yang berteraskan perpaduan, prinsip-prinsip demokrasi, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti.
Dalam beberapa hari yang lepas, selain daripada penganiayaan politikal terhadap Betty Chew -- hanya kerana beliau merupakan isteri kepada Lim Guan Eng -- negara kita telah menyaksikan beberapa kejadian yang menunjukkan defisit maruah dalam negara yang semestinya menjadi satu perkara yang amat merunsingkan kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan tanah airnya, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, umur, mahupun jantina.
Kita membaca berita di mana para netizen menyatakan sokongan mereka kepada seorang pemuda yang didenda RM1,000 di atas dakwaan beliau tidak memakai topeng muka dengan betul semasa menunggu keretapi.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng telah menawarkan untuk membantu pemuda yang telah didenda tersebut dan menggesa beliau untuk menghubunginya untuk bantuan.
Malah, semua denda yang telah dikutip ini seharusnya dipulangkan semula memandangkan kita semua dapat melihat penguatkuasaan undang-undang ini tidak sekata, di mana terdapat ramai ahli politik di tempat awam diambil gambarnya tanpa memakai penutup muka.
Seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii di Parlimen sebelum ini, denda RM1,000 ini harus dikurangkan kepada RM200 ke RM300 untuk kesalahan kali pertama. Nilai RM1,000 ini memakan hampir 87% daripada gaji bulanan minima dalam negara kita -- tidak seperti denda yang dikenakan di Victoria, Australia, yang hanya memakan kira-kira 6.7% daripada gaji minima di sana.
Perkara ini tidak adil, kerana tujuan denda ini seharusnya untuk mendidik rakyat dan bukannya untuk menghukum.
Lebih baik lagi jika cadangan pemimpin DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa, supaya harga penutup muka ini diturunkan, terutamanya untuk golongan rakyat yang memerlukan, memandangkan pendapatan mereka di dalam golongan B40 berada di bawah paras purata.
Di dalam sebuah Malaysia yang mengutamakan maruah dan kesusilaan dalam kehidupan harian, masalah-masalah seperti ini tidak sepatutnya berlaku, dan jika ia berlaku, pastinya akan diselesaikan dengan pantas.
Kesopanan, kesusilaan, dan maruah dalam negara kita telah merudum teruk, di mana kita dapat melihat wakil rakyat melompat parti tanpa sebarang segan silu, seorang Menteri secara sorok-sorok “vape” di dalam Parlimen, dan penjawat awam tanpa malu dan segan, menjaja dan menyalahguna jawatan untuk kepentingan politik dan diri sendiri.
Salah satu cabaran terbesar dalam era internet dan maklumat kini adalah untuk memastikan tahap literasi media yang tinggi dalam negara kita, untuk memastikan rakyat boleh membezakan kebenaran dalam lautan penipuan dan fitnah dan untuk tidak mengongsikan berita yang diterima melalui Whatsapp, Facebook, ataupun Youtube, sehinggalah mereka dapat mengesahkan kesahihan berita tersebut.
Bukanlah sebelum ini penipuan dan fitnah tidak tersebar, tetapi kini, perkara ini tersebar dengan jauh lebih pantas dan meluas, dengan impak yang sangat hebat sehingga boleh memusnahkan reputasi seseorang itu mahupun sehingga tumbangnya sebuah kerajaan dan rosaknya sesebuah negara.
Saya teringin untuk mengetahui jika ada sesiapa yang telah dimomokkan pada tahap yang lebih teruk berbanding dengan 55 tahun perjuangan politik saya.
Dalam dekad yang lepas, saya pernah dituduh sebagai seorang komunis, tidak cukup dengan itu, saya juga dituduh sebagai seorang saudara kepada Chin Peng, tetapi penulis fitnah-fitnah ini tidak menyedari yang dalam Pilihan Raya Umum 1969 yang saya bertanding, pasukan “komunis” tersebut sedang giat berkempen untuk memastikan kekalahan saya dan juga DAP.
Saya juga telah dituduh lahir di China dan kemudiannya berenang ke Malaysia semasa saya berumur 17 tahun, tanpa mengambil kira hakikat yang saya bersekolah rendah dan menengah di Batu Pahat, Johor.
Saya juga dituduh sebagai merancang kempen Kristianisasi untuk mengubah Malaysia kepada negara Kristian, sedangkan saya bukan beragama Kristian.
Saya juga dituduh anti-Melayu dan anti-Islam, sedangkan tidak ada seketul pun tulang saya yang bersifat anti-Melayu mahupun anti-Islam.
Terdapat satu video Presiden Pas, Datuk Hadi Awang, semasa kempen pilihan raya kecil Teluk Intan 2014, yang menceritakan bagaimana DAP mempertahankan PAS pada tahun 1978 apabila kerajaan negeri Kelantan tumbang kepada Barisan Nasional yang kemudiannya menyebabkan kucar-kacir dalam negeri tersebut.
Hadi mengatakan, Barisan Nasional yang berkerjasama dengan PAS pada masa itu, tidak berbuat apa-apa untuk membantu mereka. Hanya DAP yang mempertahankan mereka pada masa itu.
Perkara itu pada tahun 2014. Saya tidak pasti sama ada Hadi masih berpegang kepada ucapan kempen PRK Teluk Intan itu pada hari ini.
Kempen untuk memburukkan nama saya dan Guan Eng mula mengambil bentuk yang lebih terancang dan buruk selepas tsunami politik 2008, selepas Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
Semasa cucu saya berumur 15 tahun, beliau telah dituduh mencabul kehormatan seorang rakan sekelas beliau di Pulau Pinang oleh tentera siber UMNO. Sehinggakan nama seorang “mangsa” didedahkan, yang kemudiannya didapati bahawa beliau berasal daripada Hong Kong dan tidak pernah datang ke Pulau Pinang!
Beberapa tahun kemudian, cucu saya ini sekali lagi menjadi tumpuan tentera siber UMNO yang menuduh beliau telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura kerana cuba menyeludup sejumlah RM2 juta dalam bentuk tunai dan kononnya Guan Eng yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan telah terbang ke Singapura untuk memastikan anaknya dibebaskan.
Semua ini adalah penipuan tidak berasas, seperti yang telah didedahkan oleh Ketua Polis Negara, yang telah menyatakan tiada sebarang tangkapan telah dibuat di Singapura dan Guan Eng tidak pernah meninggalkan negara ke Singapura dalam tempoh tersebut.
Kini tentera siber UMNO sedang cuba pula untuk menggambarkan Betty Chew seperti seorang Rosmah 2.0.
Perkara ini telah memberikan inspirasi kepada seorang netizen untuk bersatira seperti berikut:
“Pihak SPRM dan Polis telah menggeledah rumah Betty Chew. Pihak berkuasa merampas barang-barang berharga berikut, antaranya, berkotak-kotak buku terbitan Mills and Boons dan buku-buku Enid Blyton, pelbagai jenis pengikat rambut, sudu garpu serta set pinggan mangkuk (dengan kesan retak), perabut Formica, sejumlah besar terompah kayu Cina, kelim kuih kapit, beg tangan PVC, pengeriting rambut, alatan memasak, dan setengah botol minyak masak berjenama Knife dan pelbagai lagi barang-barang yang didakwa berkaitan dengan pertuduhan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan beliau. Teruk sekali! Pemandu lori yang dilantik oleh SPRM, Ahmad, telah bertanya kepada pihak SPRM “Ini barang nak hantar ke pejabat atau tempat besi buruk Ramasamy?”
Tetapi sekarang bukanlah masa untuk politik dendam picisan.
Sekarang adalah masa untuk semua rakyat Malaysia yang cintakan negara, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang tempat, umur, mahupun jantina, bersama menyelamatkan negara kita dengan satu azam dan perspektif yang dikongsi bersama, di mana semua rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, sama ada yang beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Taoist, mempunyai lebih banyak persamaan di antara kita semua berbanding mana-mana orang lain di dalam dunia ini, bersama-sama menikmati kehidupan dengan perpaduan, demokrasi, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, integriti, dan kesusilaan.
Ingatlah kata-kata Edmund Burke -- Satu-satunya perkara yang akan memenangkan kejahatan adalah apabila orang-orang baik berdiam diri!
Marilah kita semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, jantina, mahupun umur, meneruskan usaha kita untuk menjadikan negara kita sebuah negara berkelas dunia dengan menggembelengkan nilai serta aset kepelbagaian kaum, agama, bahasa, dan budaya yang telah bertemu di Malaysia!
Negara kita berhak untuk menjadi lebih baik!