Rayuan terbuka kepada Perdana Menteri, Peguam Negara dan SPRM untuk kekal menghormati kehidupan awam dan menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap menantu saya, Betty Chew

Saya terkejut apabila Betty Chew, isteri Lim Guan Eng, ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dan akan didakwa di Mahkamah Butterworth pada Selasa depan, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) seolah-olah beliau seorang penjahat besar di Pulau Pinang yang terlibat dalam jenayah yang kebiasaannya dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram seperti pemerdagangan dadah, pembiayaan aktiviti keganasan dan rasuah.

Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai kes tersebut dan saya akan menyerahkan perkara itu kepada peguam untuk membela beliau.

‘Penjenayah’ yang mereka sebutkan itu bukan Betty Chew yang saya kenali selama tiga dekad. Betty Chew yang saya kenali ialah seorang isteri yang setia dan ibu yang penyayang kepada empat cahaya matanya. Saya berbangga dengan menantu saya yang merupakan seorang peguam dan mantan Adun di Melaka sebelum bersara. Malah saya berbangga, meskipun menghadapi tekanan kerja, bahawa beliau masih boleh menjaga Guan Eng dan membesarkan empat orang anak cucu kesayangan saya.

Saya tidak terkejut dengan penangkapan dan pendakwaan Guan Eng, kerana ini dilakukan semata-mata untuk mematahkan semangat politiknya sepertimana beliau pernah dipenjarakan pada 1998 selama 18 bulan dan dilucutkan kelayakan sebagai Ahli Parlimen, hanya kerana mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur yang dirogol.

Tuduhan rasuah terbaru terhadap beliau mungkin merupakan yang pertama terhadap pemimpin politik utama, di mana tidak disebut jumlah rasuah atau jumlah habuan tertentu tetapi amaun yang tidak jelas iaitu 10% keuntungan yang akan diperolehi kelak. Saya percaya anak saya tidak meminta dan tidak menerima wang sebagaimana yang dibuktikan bahawa tidak ada wang rasuah dijumpai secara tunai atau di dalam akaun bank peribadinya.

Ketika Guan Eng ditangkap dan didakwa semalam, saya terkenang semula perjalanan politik saya selama 55 tahun dari tahun 1965 hingga 2020 yang merangkumi tiga generasi.

Tidak pernah terlintas di fikiran saya, ketika saya membuat keputusan untuk mengabdikan diri dalam politik dan berjuang untuk Malaysia yang lebih baik pada tahun 1965 – dengan mengingkari nasihat keluarga dan rakan – bahawa sepanjang 55 tahun selepas itu saya akan melihat Guan Eng sekali lagi berdepan dengan dugaan dan penderitan.

Mereka yang tidak kuat pasti akan cepat patah semangat dengan peristiwa yang dilalui Guan Eng, dan saya akui bahawa selama 12 bulan Guan Eng ditahan di Penjara Kajang pada 1998-1999 merupakan tempoh terburuk dalam hidup saya, bahkan lebih buruk daripada dua penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang saya alami. Kali kedua adalah semasa Operasi Lalang pada tahun 1987 ketika saya dan Guan Eng berdua yang paling awal ditahan tetapi paling akhir dibebaskan dari Pusat Tahanan Kamunting.

Namun begitu, kita perlu meletakkan had dalam situasi ini. Penganiayaan dan diskriminasi terhadap lawan politik adalah sesuatu yang tidak wajar dan harus dielakkan. Kita harus kekal menghormati kehidupan awam dan tidak memusnahkan keluarga serta menyasarkan anggota keluarga. Tindakan sebegini harus dihentikan.

Saya telah mengenali Betty selama tiga dekad. Carilah di rumahnya dan anda tidak akan menemui, misalnya, 12,000 barang kemas yang terdiri daripada 2,200 cincin, 1,400 kalung, 2,100 gelang, 2,800 pasang anting-anting, 1,600 kerongsang, 14 tiara atau 423 jam tangan mewah (berjenama Rolex, Chopard dan Richard Mille), 234 cermin mata hitam mewah (berjenama Versace dan Cartier), 567 beg tangan mewah dari 72 jenama (antaranya Chanel, Prada, Versace, Bijan, KWANPEN dan Judith Leiber), 272 beg tangan dari Hermès (beg Birkin) atau wang tunai berjumlah RM116.7 juta dalam 26 mata wang yang berbeza.

Justeru mengapa ada percubaan untuk mengambarkan Betty Chew sebagai Rosmah Mansor kedua Malaysia?

Dengan ini saya membuat rayuan terbuka kepada Perdana Menteri, Peguam Negara dan SPRM untuk kekal menghormati kehidupan awam dan menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap menantu saya, Betty Chew.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri