Kerajaan harus membentangkan satu strategi pelan keluar yang bijak dan fleksibel di Parlimen untuk mengelakkan penularan semula wabak Covid-19 dan pada masa yang sama melonjakkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19
Kita telah memasuki fasa keempat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang akan berlangsung sehingga 12 Mei.
Dalam tempoh 12 ke 24 bulan yang akan datang, kita semua perlu menyesuaikan diri dengan era baharu yang akan menjadi norma baharu kita untuk hidup bersama dengan virus Covid-19 ini, sehinggalah satu vaksin yang berkesan dicipta dan tersedia secara meluas.
Norma baharu ini haruslah diasaskan kepada peningkatan kapasiti ujian saringan, penjajakan kontak rapat, kuarantin, dan pembatasan sosial secara universal oleh semua rakyat Malaysia pada setiap masa.
Bahkan perkara ini bukan sahaja terpakai di Malaysia, malah di seluruh dunia. Wabak ini telah sampai ke 216 buah negara dan kawasan, di mana 177 daripadanya telah merekodkan kematian. French Guiana dan Chad telah melaporkan kematian pertama mereka dua hari yang lepas.
Semasa Malaysia mula melaksanakan PKP pada 18 Mac yang lepas, jumlah kematian global berada di paras 8,925 kematian. Dalam tempoh enam minggu yang lalu, jumlah ini telah meningkat 25 kali ganda kepada 226,893 kes. China yang dahulunya mendahului dunia dari jumlah kes positif dan kematian kini tidak lagi berada di dalam kedudukan sepuluh negara dengan jumlah kematian tertinggi dan negara tersebut dijangkakan akan keluar daripada kedudukan sepuluh negara teratas dengan jumlah kes positif Covid-19.
18 negara yang telah merekodkan jumlah kematian empat angka adalah:
- Amerika Syarikat - 61,112
- Itali - 27,682
- United Kingdom - 26,097
- Sepanyol - 24,275
- Perancis - 24,087
- Belgium - 7,501
- Jerman - 6,399
- Iran - 5,957
- Brazil - 5,150
- Belanda - 4,711
- China - 4,633
- Turki - 3,081
- Kanada - 2,954
- Sweden - 2,462
- Switzerland - 1,716
- Mexico - 1,569
- Ireland - 1,190
- India - 1,079
Di peringkat global, lebih daripada tiga juta orang telah dijangkiti dengan Covid-19. Wabak ini mengambil masa 92 hari untuk mencapai sejuta kes yang pertama, 13 hari untuk mencapai sejuta kes kedua dan 12 hari untuk mencapai sejuta kes yang ketiga. Jumlah keseluruhan kes global kini adalah 3,200,414 kes.
Malaysia telah berjaya mengawal penularan gelombang kedua wabak ini, namun kita tidak boleh berasa selesa dan harus sentiasa berjaga-jaga dan mengunapakai strategi yang fleksibel, kreatif, dan lincah untuk mengelakkan sebarang gelombang penularan baharu dan juga untuk membina semula ekonomi negara yang telah dirosakkan oleh wabak ini.
Semasa kita mula melaksanakan PKP pada 18 Mac, Malaysia berada di kedudukan ke-18 dari jumlah kes positif di dunia, dan kedudukan ke-33 dari jumlah kematian. Kini negara kita berada di kedudukan ke-58 dari jumlah kes positif dan kedudukan ke-48 dari jumlah kematian.
Kerajaan telah mengumumkan pelonggaran kawalan pergerakan, di mana sektor yang telah dibenarkan untuk beroperasi secara terhad dalam tiga fasa pertama PKP kini dibenarkan untuk beroperasi secara penuh mulai hari ini.
Kita sekarang berada di dalam satu era baharu yang belum pernah diterokai dalam usaha untuk melonggarkan kawalan pergerakan dan pada masa yang sama berusaha untuk mengekang penyebaran wabak ini dan melonjakkan semula ekonomi negara.
Oleh itu kita haruslah mencontohi tauladan yang baik dan juga perdebatan, dari dalam dan luar negara -- untuk belajar daripada kesilapan negara lain, mencontohi kejayaan mereka, dan membangunkan strategi kita sendiri dalam era ekonomi pandemik.
Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, semasa membentangkan rancangan keluar Kerajaan Perancis telah mengatakan yang tidak mungkin kita boleh fikirkan yang virus ini akan hilang dengan begitu sahaja dan menekankan bahawa rakyat perlu belajar untuk “hidup bersama dengan virus” ini sehinggalah satu vaksin yang berkesan dibangunkan dan tersedia dengan meluas.
Menggunakan istilah perubatan, Philippe berkata “kita perlu belajar untuk hidup bersama dengan virus ini … tidak ada vaksin dalam tempoh terdekat ini, tidak ada rawatan, dan kita tidak ada apa yang dipanggil sebagai imuniti kelompok”.
Menerangkan situasi ini sebagai suatu situasi yang unik, Philippe berkata:
“Siapa yang boleh bayang sebuah Perancis di mana sekolah, universiti, kafe, restoran, kebanyakan perniagannya, perpustakaan … pantai, stadium … ditutup. Kita tidak pernah membayangkan situasi ini di negara kita, baik semasa perang, penjajahan, mahupun semasa wabak sebelum ini.”
Bukan Perancis sahaja yang tidak pernah menghadapi situasi seperti ini, bahkan semua negara di seluruh dunia juga tidak pernah menghadapinya.
Oleh itu, kerajaan harus merangka satu strategi keluar yang bijak dan fleksibel untuk mengelakkan penularan semula wabak Covid-19 dan pada masa yang sama melonjakkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat wabak ini. Kita harus mencuba sebaik mungkin untuk mengelakkan penutupan seluruh negara mahupun seluruh negeri pada masa hadapan.
Rancangan keluar ini kemudiannya haruslah dibentangkan kepada Parlimen untuk diperbahaskan dan diluluskan.