Apakah yang dilakukan oleh Parlimen Malaysia semasa wabak Covid-19?

Mungkinkah akan berlaku keajaiban pagi ini yang mana Kabinet menarik semula keputusan persidangan Parlimen sehari, lalu membenarkan Parlimen bersidang selama dua hari secara fizikal dan lapan hari secara maya?

Di Singapura, Parlimen Singapura akan membentangkan satu rang undang-undang untuk meminda perlembagaan negara tersebut bagi membolehkan Parlimen Singapura bersidang secara maya.

Minggu lepas, Dewan Rakyat di United Kingdom telah bersidang dan bersetuju dengan rancangan untuk menubuhkan satu kamar perbahasan digital, yang dapat memuatkan 120 ahli parlimen menggunakan aplikasi persidangan video Zoom. Pada masa yang sama membenarkan sehingga 50 orang ahli parlimen untuk hadir secara fizikal ke Dewan.

Dewan Rakyat UK telah menjalankan persidangan maya digital pertamanya pada keesokan hari, 23 April, yang merangkumi sesi pertanyaan kepada Perdana Menteri selama 45 minit yang dijalankan oleh Menteri Luar memandangkan Perdana Menteri British masih lagi dalam proses pemulihan daripada jangkitan Covid-19, 10 minit sesi kenyataan menteri oleh Menteri Kesihatan dan Penjagaan Sosial, Matt Hancock yang kemudiannya diikuti dengan 45 minit sesi soal jawab. Keseluruhan 100 minit persidangan ini bertumpukan kepada satu perkara iaitu wabak Covid-19.

Apakah yang dilakukan oleh Parlimen Malaysia semasa wabak Covid-19 ini?

Memutuskan persidangan Parlimen selama satu hari saja, iaitu pada 18 Mei. Ini merupakan keputusan yang akan meletakkan Malaysia di tangga teratas dunia dari segi tindakan terburuk semasa Covid-19. Tindakan ini seolah-olah melemahkan dan mengetepikan Parlimen yang seharusnya menjalankan tanggungjawab bagi meneliti serta menyemak imbang tindakan kerajaan semasa negara dilanda wabak Covid-19!

Tanpa keraguan, jelas bahawa keputusan kerajaan mengenai persidangan Parlimen selama sehari ini berpunca daripada salah faham nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) dan pakar perubatan pada pertengahan April. Maklumat yang disampaikan membuktikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac berkesan dan berjaya dalam memutuskan rantaian jangkitan dan mendatarkan lengkungan jangkitan. Selain itu, jumlah kes baharu kini berada dalam satu trajektori menurun.

Adakah para menteri kita telah melakukan terlalu banyak kesilapan, seperti “air suam untuk mengelak Covid-19”, “Doraemon”, “Tik-Tok”, pertuduhan berat mengenai penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi dalam pengedaran bantuan makanan kepada golongan memerlukan di kawasan Parlimen pembangkang, sehingga mereka tidak berani untuk hadir ke Parlimen bagi menjawab persoalan daripada ahli-ahli Parlimen?

Mesyuarat Kabinet pagi ini adalah peluang terakhir untuk menyelamatkan negara daripada malu besar akibat keputusan persidangan parlimen sehari kerana ia tindakan untuk melemahkan dan mengenepikan Parlimen daripada menjalankan tanggungjawabnya dalam meneliti dan menyemak imbang tindak-tanduk kerajaan sepanjang wabak Covid-19.

Adakah Kabinet akan meletakkan kepentingan negara, di atas semua kepentingan yang lain?

Adakah Kabinet akan mengisytiharkan Parlimen dan mengambil langkah adil sebagai “perkhidmatan penting” dalam wabak Covid-19? Tambahan lagi, adakah Kabinet akan berjaya menegakkan Perlembagaan Malaysia, prinsip kedaulatan Perlembagaan dalam Rukunegara, prinsip pemisahan kuasa di antara badan eksekutif, legislatif, dan kehakiman dan prinsip kedaulatan undang undang?

Mungkinkah akan berlaku keajaiban yang membolehkan persidangan secara maya?

Kita akan tahu pagi ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri