Adakah Kabinet akan menyelamatkan maruah Malaysia dan Parlimen Malaysia memandangkan keputusan bagi mengadakan sidang Parlimen selama sehari adalah salah faham berasaskan nasihat daripada Kementerian Kesihatan mengenai situasi Covid-19 pada pertengahan bulan April?

Jawapannya sudah bocor.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam, Kementerian Kesihatan tidak pernah menasihatkan supaya persidangan Parlimen selama sehari. Ia seolah-olah menghina sistem demokrasi berparlimen dan melumpuhkan fungsi Parlimen dalam meneliti serta menyemak imbang tindakan kerajaan dalam mengendalikan wabak Covid-19 di negara kita.

Jelas sekali Menteri yang bertanggungjawab dengan Hal Ehwal Parlimen, Datuk Takiyauddin Hassan telah salah faham ataupun memutarbelitkan nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan berikutan situasi Covid-19.

Sekali lagi kenyataan saya terbukti benar apabila berasa skeptikal bahawa kononnya cadangan persidangan Parlimen selama sehari pada 18 Mei ini datang daripada Kementerian Kesihatan memandangkan menjelang 17 April, ketika Setiausaha Dewan Rakyat menyampaikan notis kepada semua Ahli Parlimen mengenai persidangan sehari ini, sudah tentu Ketua Pengarah Kesihatan dan pakar-pakar yang lain sudah boleh menjangkakan yang negara kita telahpun melepasi kemuncak gelombang kedua wabak Covid-19 yang kemudiannya disahkan oleh angka-angka jangkitan pada hari-hari yang seterusnya.

Jika saya menyatakan “terdapat tanda-tanda memberangsangkan bahawa jangkaan JP Morgan bahawa Malaysia akan berhadapan dengan 6,300 kes menjelang pertengahan April mungkin terbukti salah” pada 31 Mac, dan pada 7 April saya boleh menjangkakan yang kemuncak gelombang kedua wabak ini telahpun berlalu pada 3 April dengan 3,333 kes. Jadi, tak mungkinlah para pakar di Kementerian Kesihatan yang diketuai oleh Ketua Pengarah Kesihatan tidak dapat menjangkakan perkara yang sama. Berbeza sama sekali dengan situasi di negara Eropah seperti di United Kingdom, Sepanyol, Perancis, dan Itali dan juga di Amerika Syarikat.

Dengan melihat kadar jangkitan harian, jelas dapat dilihat bahawa PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac berkesan dan berjaya memutuskan rantaian jangkitan wabak ini.

Dalam tempoh dua minggu antara 18 Mac (yang merekodkan 117 kes) ke 31 Mac, jumlah peningkatan harian tertinggi adalah 235 kes pada 26 Mac. Dalam tempoh 1 April ke 16 April pula, jumlah peningkatan harian tertinggi adalah pada 2 dan 3 April dengan 208 dan 217 kes sehari, manakala selebihnya merekodkan kurang daripada 200 kes malah merekodkan serendah 85 kes pada 15 April. Daripada 17 April pula, jumlah peningkatan harian telah menurun daripada kadar tiga angka sehari kepada dua angka.

Tidak ada pakar di Kementerian Kesihatan yang berkelayakan akan memberitahu Takiyuddin bahawa lengkungan jangkitan Covid-19 di negara kita sedang berada di dalam trajektori ke atas sebagai alasan untuk mengadakan persidangan Parlimen selama sehari pada 18 Mei kerana trajektori ini sedang menghala ke bawah.

Saya tidak percaya yang Ketua Pengarah Kesihatan ataupun para pakar di Kementerian Kesihatan telah mengelirukan Takiyuddin. Ini berikutan kenyataannya bahawa keputusan persidangan sehari ini berasaskan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar berkaitan untuk kebaikan dan keselamatan semua pihak. Apa yang mungkin berlaku adalah sama ada Takiyuddin tidak memahami nasihat yang diberikan ataupun beliau dengan sengaja memutar belit nasihat ini.

Saya berikan Takiyuddin peluang, kerana kemungkinan beliau tidak memahami nasihat yang diberikan kepadanya. Mungkin juga beliau betul-betul bimbang negara kita mungkin sedang menghadapi situasi yang semakin teruk, sedangkan PKP yang dilaksanakan telahpun berjaya dalam memutuskan rantaian jangkitan dan mendatarkan lengkungan jangkitan, walaupun negara kita masih memerlukan masa untuk membawa jumlah peningkatan jangkitan harian kepada sifar.

Takiyuddin harus sedar, pendataran lengkungan jangkitan tidaklah bermakna negara kita mempunyai sifar kes Covid-19. Apa yang dimaksudkan dengan pendataran lengkungan adalah jumlah kes dalam negara berada pada kadar yang boleh dikendalikan oleh hospital dalam negara.

Pembacaan yang tepat mengenai situasi Covid-19 pada pertengahan April adalah pada fasa keempat PKP, yang dilaksanakan daripada 29 April sehingga 12 Mei, yang boleh memastikan wabak ini berada di bawah kawalan, yang tidak memberikan sebarang alasan untuk persidangan parlimen sehari 18 Mei.

Bukan sahaja Malaysia, bahkan seluruh negara di dunia perlu berhadapan dengan norma baharu era pasca-Covid-19 di mana pembatasan sosial akan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian sehingga satu vaksin dicipta dalam tempoh 12 ke 24 bulan yang akan datang dan tersedia secara meluas. Adalah lebih penting untuk Parlimen menjalankan tanggungjawabnya dalam meneliti dan menyemak imbang tindak tanduk kerajaan dalam mengendalikan wabak ini, walaupun melalui persidangan secara maya.

Memandangkan nasihat KKM telah disalahfahami, ini membawa kepada situasi persidangan sehari Parlimen. Jadi, mesyuarat Kabinet pada hari esok haruslah menyelamatkan maruah negara dan Parlimen Malaysia daripada keputusan ini untuk memastikan kita bukanlah satu-satunya negara dalam dunia yang menyisihkan fungsi Parlimen.

Parlimen haruslah bersidang untuk sekurang-kurangnya 10 hari untuk meneliti dan menyemak imbang pengendalian wabak Covid-19 oleh pihak kerajaan.

Wajah global Covid-19 telah banyak berubah sejak kes pertama diumumkan di China pada Disember lepas.

Semasa kita mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac, sepuluh negara teratas dengan kes Covid-19 adalah China, Itali, Iran, Sepanyol, Jerman, Amerika Syarikat, Perancis, Korea Selatan, Switzerland dan United Kingdom.

Hari ini, Korea Selatan dan Switzerland tidak lagi berada di dalam kedudukan sepuluh teratas ini dan China daripada kedudukan teratas kini berada di tempat kesepuluh. Sepuluh negara teratas ini adalah:

  • Amerika Syarikat 1,007,162 kes; 56,595 kematian (5.6%)
  • Sepanyol 229,422 kes; 23,521 kematian (10.2%)
  • Itali 199,414 kes;. 26,977 kematian (13.5%)
  • Perancis 165,842 kes; 23,293 kematian (14%)
  • Jerman 158,434 kes; 6,061 kematian (3.8%)
  • UK 157,149 kes; 21,092 kematian (13.4%)
  • Turki 112,261 kes; 2,900 kematian (2.6%)
  • Iran 91,472 kes; 5,806 kematian (6.3%)
  • Rusia 87,147 kes; 794 kematian (0.9%)
  • China 82,830 kes; 4,633 kematian (5.6%)

Beberapa lagi catatan suram juga telah berlaku di peringkat dunia dalam peperangan melawan wabak Covid-19 -- jumlah kes global telah melepasi paras tiga juta kes, dengan Amerika Syarikat sahaja merekodkan hampir sejuta kes, satu pertiga jumlah kes global.

Jumlah kematian global kini melepasi paras 200,000 kematian, dengan 211,147 kematian -- pada masa yang sama, Timur Tengah telah mengatasi Asia, di belakang Eropah dan Amerika Utara sebagai kawasan ketiga dengan jumlah Covid-19 tertinggi.

Peperangan melawan Covid-19 ini adalah peperangan global, bukan tempatan.

Kerana inilah perlu menjadi keutamaan kepada Parlimen untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Kebajikan Sosial untuk mengikuti perkembangan terkini wabak ini, dengan mempelajari kejayaan dan kesilapan negara-negara lain, sama ada China, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Singapura, Indonesia, Itali, Sepanyol, Perancis, Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat, Turki, Iran atau Arab Saudi.

Iran akan mengikuti pengkelasan kawasan dalam negara kepada empat zon berwarna seperti yang dilakukan di Malaysia mengikut jumlah kes dan kematian sebagai sebahagian daripada rancangan negara tersebut untuk melonggarkan kawalan pergerakan.

Kita pula perlu membantu membangunkan kaedah terbaik dalam perjuangan ini dan mengelakkan sebarang cadangan tidak tepat seperti mencadangkan persidangan Parlimen untuk satu hari sahaja.

Semua negara di dunia perlu mengambil langkah bijak memandangkan Covid-19 adalah satu pandemik global dan bukanlah satu masalah tempatan dan semua negara sama-sama berhadapan dengan cabaran untuk beroperasi di dalam satu era yang tidak pernah dilalui oleh manusia lain sebelum ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri